Sunday, November 18, 2018

Mati itu pasti

Teks Nor Affizar Ibrahim

Mati itu pasti

Semalam, saya menerima satu berita kematian. Berita diterima itu amat mengejutkan.

Tidak ada khabar berita yang menyatakan arwah sakit, tiba-tiba dikejutkan berita arwah pergi buat selama-selamanya meninggalkan dunia fana.

Arwah adalah anak jiran sebelah yang duduk berjiran dengan keluarga saya lebih 30 tahun.

Pemergian Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan sepasang anak, masing-masing berusia 16 tahun dan 8 tahun.

Tidak diketahui, apa sebab kematiannnya. Arwah dikatakan rebah tiba-tiba di bilik tidur. Sebelum itu, beliau mengadu sakit perut dan mengalami berpeluh begitu banyak.

Peristiwa hari ini mengingatkan saya, bahawa bukan hanya sakit dan usia tua saja yang menghantarkan manusia pada kematian.

Mati. Satu perkataan yang sering kita dengar. Mungkin juga ia satu perkataan yang digeruni oleh sesetengah individu.

Bahkan, ada yang percaya bahawa perkataan ini tidak baik disebut berulang kali. Ada juga melihat, bahawa hidup ini terlalu indah untuk sekadar membicarakan kematian yang menurutnya menakutkan.  

Oleh itu dia berpendapat elaklah bercerita mengenai ajal. Tetapi, bukankah menurut Islam mengingati mati itu menghidupkan hati?

Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

Baginda menjawab: “Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik.” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah

Ternyata mati itu pasti. Oleh sebab itulah Rasulullah menyuruh kita mengingatkannya. Jangan sombong dengan wang banyak atau darjat tinggi di dunia yang kita miliki kerana semua itu tidak boleh menghalang kematian kita apabila tiba masanya.

Manusia tidak kebal untuk menangkis ajal. Sembunyilah ke gua atau tembok setebal apapun tetapi ingatlah, malaikat Izrail pasti datang untuk menjemput nyawa yang sudah waktunya pulang.

Tidak kiralah walau di pelusuk dunia mana sekalipun kita berada atau bersembunyi. Jika sudah sampai masanya kita dipanggil untuk menghadap Illahi, kita takkan mampu lari daripada kematian.

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai detik kematian dan bertemu ajal!

Hanya yang hidup sahaja yang terus menikmati kehidupan akan tetapi kematian pasti akan menjemput bagi setiap makhluk yang bernyawa.

Kematian juga sebenarnya adalah suatu ujian.  Menerima hakikat kehilangan orang yang dikasihi, sesungguhnya bukanlah sesuatu yang mudah.

Namun, ujian terhadap diri  atau jiwa seperti ini adalah bentuk pengerahan tenaga untuk berjihad pada jalan Allah SWT.

Justeru, marilah sama-sama  kita muhasabahkan diri. Adakah amalan kita sudah mencukupi? Adakah kita sudah bersedia tempuhi saat itu?

Bersyukurlah, hari ini kita masih dapat bernafas, masih dapat menikmati segala nikmat yang ALLAH berikan.

Sesungguhny,a rasa sedih itu alami dan akan muncul ketika kita kehilangan sesuatu.

Cita-cita, mimpi, dan harapan adalah sesuatu yang belum pasti di masa depan. Satu yang pasti pada masa depan, mahu atau siap atau tidak, akan menghampiri kita adalah kematian. 

Pilihannya sekarang bukan bila waktu kita akan mati  tetapi dalam keadaan dan persiapan seperti apa, kita memilih akhir kehidupan ini. 

No comments:

Post a Comment