Wednesday, November 14, 2018

Tukarkan kesedihan kepada keceriaan

Teks: Nor Affizar Ibrahim


Tukar kesedihan kepada keceriaan



Emosi manusia ini beragam. Ada ketika gembira dan ceria tetapi ada masanya murung atau pun sedih. 

Apabila anda gembira tentunya ia membawa aura positif. Namun, awas! Emosi sedih yang boleh membawa tekanan dan kemurungan adalah sesuatu yang negatif dan perlu dielakkan. 

Jika dilanda perasaan atau emosi seumpama itu, dapatkan bantuan. 

Dalam dunia kaunseling, bagi memahami individu yang dilanda emosi sedih ada beberapa perkara yang perlu dilakukan.

Pertama sekali, binalah hubungan dengan individu itu.  Teroka dan selami perasaan yang dialaminya. 

Pada peringkat persediaan ini, perkara yang perlu dilihat ialah mengkaji latar belakang individu terbabit.

Segala maklumat peribadinya perlu dikumpul secara teratur dan sistematik untuk memudahkan anda memahami persoalan sebenar dirinya.

Pada tahap ini anda perlu membentuk hubungan dan seterusnya barulah memberikan pertolongan. Pada awal sesi, anda haruslah menjadikan klien lebih selesa. 

Perlu juga  ada empati atau 'meletakkan diri' kita dalam dirinya. Apabila dia sudah ada kepercayaan kepada anda, pastinya indvidu terbabit bersikap terbuka untuk berkongsi masalah dihadapinya.

Jika dia mudah bercakap dan meluahkan segala isi hatinya, anda bolehlah terus memberi dorongan kepadanya untuk terus bercerita. 

Seandainya, dia sukar untuk bercerita, maka anda hendaklah bijak mengemukakan soalan-soalan yang terbuka agar menggalakkan dia untuk bercerita. 

Anda hendaklah mengelakkan pendekatan 'soal-selidik' dikemukakan kepadanya kerana ini akan menyebabkan dia berasa terancam atau takut. 

Jadilah pendengar yang baik untuk membantunya menyelesaikan masalah dan menukarkan kesedihan dihadapi kepada gembira. 

Mungkin bukan mudah untuk melakukan semua itu tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil.















No comments:

Post a Comment