Teks Nor Affizar Ibrahim
Kampung Kerinchi VS Bangsar South
Pada Sabtu, 19 Januari lalu, Bangsar South dikenali dengan nama
asalnya iaitu Kampung Kerinchi.
Majlis pengisytiharan dirasmikan
oleh Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah
Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Walaupun acara itu diadakan dalam
suasana sederhana, detik itu dianggap penuh simbolik dan bermakna.
Sebagai salah seorang penduduk
yang sudah menetap lebih 40 tahun di Kampung Kerinchi, tentu sahaja saya berasa
gembira dengan pengisyhtiharan itu.
Ia dilihat sebagai satu hari bersejarah yang boleh dianggap
penuh bermakna, khususnya bagi penduduk asal penempatan bandar itu yang mula
dibangunkan pada 1870-an.
Permasyhuran nama Kampung Kerinchi
juga begitu bermakna bagi penduduk seperti saya yang sudah bertahun-tahun
menetap di kawasan itu, dari satu generasi ke satu generasi.
Mengimbas pengenalan kepada Bangsar
South, nama itu mula digunakan pada tahun 2012, selepas Kampung Kerinchi dinaik
taraf.
Namun, kini ia dikembalikan
kepada nama asal, Kampung Kerinchi, sekali gus menyuntik nostalgia dan memori
lalu kepada saya.
Menurut laporan media, hal ini
diputuskan kerana kawasan Kampung Kerinchi adalah satu warisan sejarah setempat
yang sepatutnya dipertahankan dan dijadikan satu kebanggaan.
Ramai mengetahui, sejarah
Kampung Kerinchi sudah sekian lama wujud sebelum wujudnya Lebuhraya Persekutuan
dan kemerdekaan Malaya.
Justeru, ada berpendapat, seharusnya mengekalkan nama kawasan Kampung
Kerinchi tersebut kerana kita haruslah memartabatkan sejarah bangsa, nusa dan
negara kita yang selama ini kita perjuangkan.
Bagaimanapun, tidak semua menyambut baik pertukaran semula nama
itu. Ada yang tidak setuju dan memberikan pelbagai alasan tersendiri.
Ada segelintir yang berasa malu untuk menyatakan dirinya bekerja
atau tinggal di Kampung Kerinchi.
Berbanding sebelum ini, begitu bangga menyebut dirinya tinggal
atau bekerja di kawasan moden dan berlatarkan bangunan tinggi di Bangsar South.
Justeru, ada pula menyarankan kenapa tidak diberikan nama Ville
Kerinchi? Katanya, nampak moden dan
maju.
Betul ke? Begitulah
dangkalnya fikiran. Asal perkataan bahasa asing atau barat sahaja dikatakan,
moden dan maju.
Pergilah ke negara seperti Jepun, Korea, Itali dan Perancis,
adakah rakyat di sana bangga dengan bahasa asing.
Percayalah, ia tidak sebegitu malah kebanyakan tulisan di papan
tanda di negara berkenaan menggunakan
tulisan rasmi negara masing-masing.
Hinggakan, adakala menyukarkan pelancong asing untuk mendapatkan
panduan arah.
Ada pula yang memberikan pendapat, penggunaan Kampung Kerinchi
akan menjatuhkan pasaran harga hartanah di kawasan lokasi strategik itu.
Dengan riak berkata, pemaju harus diberikan hak untuk menamakan
sesuatu kawasan yang mereka bangunkan.
Tambahnya, warga asing dan ekspatriat pula sudah terbiasa dengan
gelaran Bangsar South dan sekiranya nama ditukar semula, ia akan menimbulkan
kekeliruan.
Namun, ada juga pakar hartanah menafikan perkara itu kerana mereka
yakin walaupun nama sesebuah kawasan memainkan peranan sebelum sebarang
keputusan membeli hartanah dibuat, ia tidaklah sepenting kemudahan dan bosster
yang tersedia di kawasan terbabit.
Jujurnya, saya tidak menolak pembangunan. Bawalah kemajuan dan
berikan sentuhan moden kepada Kampung Kerinchi
jika itu yang terbaik untuk kawasan itu.
Saya dan rasa-rasanya majoriti penduduk asal dan yang sudah
berkurun menetap di situ, akan menerimanya dengan terbuka.
Tetapi jauh di sudut hati, saya ingin sekali melihat pembangunan
dan kemewahan yang ada di Kampung Kerinchi itu dapat dinikmati bersama penduduk
yang sudah bertahun-tahun duduk di situ.
Tak perlulah pemaju mendabik dada bahawa mereka yang membawa
pembangunan di kawasan itu.
Jika tidak ia semata-mata memenuhi kantung poket, mahukah mereka
datang dan melabur di kawasan itu?
Tanpa mereka dulu pun, kami juga membangun dan maju, cuma tidak
dinafikan pembangunan itu agak perlahan dan lambat.
Buktinya, kawasan yang dulunya hutan rimba berjaya ditebas dan
didirikan rumah satu persatu.
Bukankah itu juga usaha ke arah perubahan dan kemajuan?
Mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum ini tidak ramai ‘berani’
untuk ‘masuk’ ke Kampung Kerinchi.
Malah, mendengar namanya sahaja, sudah ada persepsi negatif dan
mungkin ada juga berasa takut.
Apabila penduduk mula berlembut hati, baharulah satu persatu kontraktor
besar datang dan bertapak di Kampung Kerinchi.
Sehingga akhirnya, mereka mula menguasai sebahagian kawasan itu. Bak
kata pepatah seperti “Belanda dapat tanah.”
Banyak sebenarnya yang saya mahu ceritakan perihal Kampung
Kerinchi ini.
Insya-Allah, jika ada kesempatan saya akan menyambung lagi catatan
mengenai Kampung Kerinchi ini.
INFO:
Sejarah Kampung Kerinchi
* Bermula pada penghujung abad ke-18 apabila kawasan tersebut
dikatakan menjadi lokasi migrasi sekumpulan orang-orang Kerinci dari Jambi,
Acheh dan Minangkabau, Indonesia ke Tanah Melayu.
* Penghijrahan tersebut dipercayai berlaku kerana wujudnya rasa
tidak puas terhadap pemerintahan tentera Belanda ketika itu di Indonesia yang
menindas dengan kekerasan.
* Bagi mengelak daripada berterusan menjadi mangsa kezaliman,
mereka berhijrah secara berkelompok ke Tanah Melayu.
* Melihat keadaan bentuk muka bumi di kawasan baharu tersebut yang
mempunyai banyak persamaan dengan kawasan asal iaitu kawasan tanah tinggi,
mereka terus membuka penempatan dan tinggal menetap di sini.
* Kampung Kerinchi, secara rasminya dibuka sekitar tahun 1890-an
oleh pembesar Melayu bernama Abdullah Hukum dan pengikutnya selepas mendapat
kebenaran daripada Raja Laut untuk meneroka kawasan Sungai Putih (kini Jalan
Bangsar).
* Penerokaan tersebut menemui beberapa kawasan yang berpotensi
bagi kegiatan pertanian antaranya seperti di Bukit Nenas.
* Dahulunya kawasan Bukit Nenas terkenal sebagai aktiviti
penanaman buah nanas memandangkan tanahnya subur.
* Selain nanas, Kampung Kerinchi juga terkenal dengan aktiviti
penanaman sayur dan buah-buahan seperti nangka, serai, daun mahang, padi serta
getah.
* Hasil tanaman tersebut dijual kepada orang perseorangan dan di
gerai-gerai kecil bahkan ada dihantar ke pasar sekitar Kampung Kerinchi.
* Ia kemudian menjadi profesion bagi kebanyakan peneroka Kerinchi
malah warga tempatan turut mempelajari selok-belok bercucuk tanam bagi
memperoleh mata pencarian harian.