Thursday, January 24, 2019

Bab 10 Biarlah rahsia

Teks Nor Affizar Ibrahim

BAB 10

Biarlah rahsia

Malam itu Radzi sibuk mengemas baju untuk dimasukkan ke dalam beg. Sedang dia sibuk mengemas, tiba-tiba Radzi terdengar pintu biliknya diketuk.

Radzi dapat mengagak, tentu anak bongsunya.

“Masuklah Ikhwan. Ayah sedang berkemas ini,” Radzi menyuruh anaknya masuk.

Melihat ayahnya sibuk memasukkan baju ke dalam beg, Ikhwan tertanya-tanya  dan lalu duduk di hujung tepi katil sambil memerhatikan bapanya berkemas.

“Hah..Ikhwan nak apa ini?” tanya Radzi yang mula perasan bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan anaknya itu.

“Tak ada apa-apa a Ayah, Cuma Ikhwan sedihlah. Hanya dua hari lagi cikgu Norazah hendak buat umrah. Nanti lama Ikhwan tidak boleh jumpa dia.” Ikhwan menjawab nada perlahan dan dengan wajah sugul.

Radzi memandang wajah anaknya itu. Kasihan juga Radzi melihatnya. Sudah lama Ikhwan tidak meunjukkan wajah sugul seperti itu.

Malam itu, Radzi lihat Ikhwan benar-benar tidak gembira . Radzi sedar , anaknya itu takut kesunyian lagi.

“Pergi umrah. Baguslah tu. Cikgu Norazah  kan hendak buat amal ibadat, sepatutnya Ikhwan turut gembira dan doakan kesejahteraan pemergiannya. Bukan senang tau nak pergi sana.

Kadang-kadang, ada wang tapi tak ada masa nak pergi. Kadang-kadang pula ada kedua-duanya  tapi masih tak dapat pergi sebab kesihatan tidak mengizinkan. Tapi ayah rasa, cikgu Norazah tentu tidak ada ketiga-tiga masalah itu. Tentu inilah rezekinya hendak jejak ke tanah suci itu,” kata Radzi cuba mententeramkan hati Ikhwan yang dirasakannya sedang berkocak dan sedih.

Mendengar kata-kata ayahnya itu, Ikhwan mengangguk-angguk perlahan. Dalam hatinya, dia bersetuju dengan kata-kata ayahnya itu tetapi amat payah untuk membayangkan rasa sedih untuk berpisah seketika dengan cikgu kesayangannya itu.

“Bukannya apa ayah. Ikhwan sayangkan Cikgu Norazah itu. Sudahlah cantik, baik pulak tu. Sejak dia mengajar di sekolah Ikhwan, memang rasa bersemangat hendak belajar,” Ikhwan memuji Cikgu Norazah.

“Amboi anak ayah ni. Cikgu lain tak baik ke?” Balas Radzi.

“Bukan macam tu. Cikgu lain pun baik juga. Tapi dengan Cikgu Norazah ni, lain sikit semangatnya.  Entahlah…susah Ikhwan nak terangkan,” kata Ikhwan lagi.
Kali ini, Radzi hanya membalas dengan senyuman sahaja.

“Ayah nak tahu, hari itu dalam kelas Cikgu Norazah ada bertanya pada Ikhwan nak kirim doa apa. Malu betul Ikhwan masa itu sebab kawan-kawan lain pun sibuk nak tahu. Memanglah Ikhwan ada hajat agar Cikgu Norazah doakan untuk Ikhwan tetapi tak naklah semua orang tahu.

“Jadikan ayah, Ikhwan pun tulislah pada kertas dan hari itu lepas loceng sekolah tamat, Ikhwan cepat-cepat keluar kelas dan bagi kertas yang bertulis doa kepada Cikgu Norazah.

“Cikgu Norazah tersenyum aje dan dia janji akan mendoakan untuk Ikhwan.” Cerita Ikhwan kepada ayahnya.

“Oh ya ke? Ikhwan minta Cikgu Norazah doakan apa,” tanya Radzi spontan.

“Ehhh…tak nak cakaplah. Biarlah rahsia,” jawab Ikhwan sambil menyeringai.

“Emm…dah pandai berahsia dengan ayah pula,” kata Radzi.

“Ala ayah, inikan antara Ikhwan dan Cikgu Norazah aje. Ikhwan memang harap sangat doa itu makbul. Tapi yang lebih sedih, lama lagilah nak jumpa Cikgu Norazah,” kata Ikhwan sambil memuncungkan bibirnya.

“Dah sudahlah. Ikhwan  jangan sedih-sedih. Lagipun, cuti sekolah Along dan Angah akan balik. Nanti adalah kawan dan macam-macam perkara boleh buat. Satu lagi, ayah nak beritahu ni. Cuti sekolah ini, semua kena duduk di kampung bersama Atuk dan Nenek.

“Ayah terpaksa bekerja luar negara minggu depan. Mungkin dua minggu. Syarikat hantar ayah ke Dubai untuk uruskan beberapa hal di sana. Jadi, sementara ayah kat sana, Ikhwan dengan Along dan Angah kenalah duduk kat kampung. Bibik pun akan ikut sama,” kata Radzi.

“Ayah nak ke Dubai? Wah bestnya. Tak boleh ke Ikhwan ikut sama. Ikhwan pun nak tengok negara orang,” kata Ikhwan menyatakan hasratnya.

“Mana boleh Ikhwan. Ayah pergi kerja bukannya melancong. Nanti kalau ayah kerja tentu Ikhwan lagi sunyi duduk di bilik hotel seorang diri.

“Bukankah lagi seronok kalau Ikhwan balik kampung. Lagipun, sudah lama kita semua tidak jumpa Atuk dan Nenek. Petang tadi ayah telefon dan beritahu hal ini. Atuk dan nenek tidak sabar-sabar nak jumpa cucu-cucunya.” Radzi amat berharap Ikhwan faham dengan penjelasannya.

Ikhwan menyeringai sambil memandang ayahnya. Sebenarnya, Ikhwan bukanlah hendak sangat ikut bapanya. Entah mengapa tiba-tiba saja muncul idea itu.

Ikhwan juga memang rindukan Atuk dan neneknya. Kali terakhir mereka berjumpa ialah lebih dua bulan lalu.

Ikhwan memang seronok balik kampung. Atuknya suka mengajaknya menjala ikan. Kadang-kadang Along dan Angah turut serta.

“Tapi Ayah…ayah tak pernah bawa kami jalan cuti-cuti di luar negara.  Keluarga Shafiqa selalu berjalan oversea. Kalau dia balik macam-macam cerita best dia pada Ikhwan dan Khairy. Seronok dengar.”  Ikhwan luahkan rasa terkilan tidak pernah berjalan di luar negara.

“Hahhh! Siapa cakap ayah tak pernah bawa korang berjalan luar negara.  Dua tahun lepaskan kita pernah pergi Singapura. Kitakan bercuti di sana. Ikhwan tak ingat macam mana seronok kita masa tu kat sana,” balas Radzi.

“Alaaa…tu Singapura dekat aje. Maksud Ikhwan macam negara orang putih tu, pergi London ke, Paris ataupun Australia.  Best tau dapat pergi negara macam tu.” Balas Ikhwan masih tidak puas hati.

Radzi tersenyum dan memandang muka Ikhwan.

“Macam nilah Ikhwan. Kita kena selalu bersyukur tau. Macam Ikhwan, ayah ada juga bawa berjalan sampai ke Singapura. Luar negara juga tu walaupun Singapura negara jiran kita yang paling dekat.  Bukan itu saja, kita sekeluarga juga selalu berjalan-jalan di serata tempat kat Malaysia ni. Sabah dan Sarawak pun Ikhwan dah sampai.

“Tapi ada orang lain, tak de peluang langsung nak tengok  tempat orang. Duduk aje terperap di rumah.  Lagi kasihan.  Maklum, nak berjalan-jalan sana sini perlukan belanja banyak. Kalau tak ada duit, macam mana nak berjalan.  Lebih-lebih lagi, kalau dorang tu datang dari keluarga susah. Memang tidak ada peluang langsung lah nak bersuka ria berjalan melancong sana sini.

“Lebih kasihan, kalau dorang kena bekerja dan belajar berdikari cari duit sendiri untuk cari perbelanjaaan kehidupan harian mereka. Nak makan pun susah, apa lagi nak jalan-jalan melancong. Tentulah mereka kena kerja keras.

“Jadi, Ikhwan dengan abang-abang 1000 kali bertuah dapat berjalan sana sini. Walaupun tidak pernah sampai ke negara orang putih, sekurang-kurangnya sudah pun puas berjalan dan melancong merata tempat.  Bersyukur kan itu satu nikmat,” nasihat Radzi.

Terkebil-kebil Ikhwan mendengar nasihat panjang lebar ayahnya.

“Okeylah ayah! Ikhwan mesti bersyukur.  Tapi…nanti kalau Ikhwan dah besar dan ada duit sendiri, suatu hari Ikhwan mesti juga nak pergi melancong negara luar. Mesti enjoy!” kata Ikhwan.

“Hah! Cita-cita macam tu okey!  Maknanya, Ikhwan ada kesungguhan dan  perlu belajar berdikari.  Apabila kita buat sesuatu dengan hasil titik peluh kita, ia memang berlipat ganda lebih berbaloi. 

“Hah sudahlah! Hari dah malam ni. Ayah pun dah hampir siap kemas, tinggal sikit saja lagi. Tapi tak apalah, esok boleh sambung lagi.

Ikhwan masuklah tidur. Jumaat ini, Along dan Angah balik. Hari Sabtu petang bolehlah kita balik kampung dan Ahad malam, ayah dah bertolak.”



No comments:

Post a Comment