Wednesday, August 1, 2018

Biodata Penulis

Biodata Penulis

Salam perkenalan dan ukhwah untuk semua!

Nama saya ialah Nor Affizar  Ibrahim. 

Ketika ini saya bertugas sebagai wartawan di salah sebuah akhbar perdana di negara ini.  

Tahun ini,  genap  19 tahun saya berkhidmat di syarikat persuratan akhbar  berkenaan. 

Namun, jika dihitung sepenuhnya saya sudah pun 22 tahun terbabit dalam
bidang penulisan dan penerbitan, dari bidang penyiaran televisyen hinggalah beralih pada majalah, radio dan suratkhabar.

Suatu perjalanan agak panjang dan boleh dikatakan,  saya  melalui pelbagai pengalaman yang berbeza-beza,  setiap kali berubah ‘angin’. 

Apa pun,  menjadi kebanggaan saya apabila sehingga ke hari ini masih dapat
berkhidmat di salah sebuah akhbar perdana yang terkenal di Malaysia dan terus
menulis hingga ke hari  ini.  

Semua ini memberikan pelbagai ilmu dan pengalaman mahal yang saya timba. Ia sama sekali tidak mungkin diperolehi di mana-mana.

Sepanjang kerjaya saya sebagai wartawan di akhbar berkenaan, banyak yang saya
pelajari, sama ada secara langsung atau sebaliknya, sekali gus mewarnai dunia
penulisan diminati sejak dulu lagi.


Berikan kepuasan




Saya tidak menafikan, dunia kewartawanan dan penulisan sememangnya memberi
cabaran tersendiri, ada pahit dan ada manis.  Namum demi  minat, ia tidak mematahkan semangat saya untuk berundur daripada dunia kerjaya atau bidang ini. 

Setiap kali menulis atau menghasilkan artikel, ia akan memberikan kepuasan
tersendiri.

Lebih-lebih lagi, setiap hari yang saya lalui adalah perkara baharu dan memberikan

pengalaman  berbeza.  Justeru, sukar untuk saya ‘mengangkat kaki’ meninggalkan
kerjaya yang sekian lama sudah sebati dalam diri saya. 

Tambahan, minat dalam dunia  penulisan sudah pun berputik sejak saya remaja
lagi. Saya tidak  pernah bosan menjadi wartawan mahu pun sebagai penulis.

Paling menarik, sebagai penulis saya berpeluang bertemu dengan ramai orang
dari semua peringkat usia dan latar belakang.  Sama ada bergelar kerabat di raja,

seleberiti,  pemimpin, usahawan atau ahli perniagaan, profesional, hatta golongan
gelandangan, penagih dadah, banduan , pesakit HIV dan sebagainya.   

Pastinya, setiap di antara mereka mempunyai ragam dan cerita masing-masing, sekali gus memberikan pengalaman, pengetahuan serta pengajaran  pada saya.  



Pendidikan






Mengimbas pengajian ilmu yang diperolehi, saya bersyukur berpeluang 
melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi  MARA (yang kini dikenali  Universiti
Teknologi MARA (UitM) di Shah Alam dalam bidang pengajian  Komunikasi
Massa, pengkhususan Kewartawanan, pada tahun  1991 hingga 1994.  

Peluang ini membuka ruang untuk saya terus memupuk minat menulis dan meneroka pelbagai perkara berkaitan dengan dunia penulisan,  komunikasi serta media massa.

Hakikatnya, menjadi wartawan atau penulis mungkin mudah - menulis, mencerita dan melaporkan sesuatu perkara itu. 

Namun, untuk memberikan komitmen dan bertanggungjawab serta mendapat kepercayaan dan menarik perhatian orang lain atau pembaca adalah sesuatu yang sukar digalas.

Justeru, saya berasa bertuah kerana pengajian selama tiga setengah tahun di ITM,
banyak  mendidik saya supaya menjadi penulis atau wartawan beretika dan
profesional serta sentiasa bertanggungjawab dengan setiap karya penulisan
dihasilkan.


Pengalaman praktikal


Bagi melengkapkan saya sebagai graduan ijazah Komunikasi Massa, saya juga pernah ‘diasuh’ menjadi pelatih wartawan di Sistem Telveisyen  Malaysia Berhad atau lebih  dikenali TV3.


Pengalaman enam bulan sebagai Pelatih Wartawan Penyiaran sememangnya begitu bermakna kerana di situlah saya mula mengenali dunia kewartawanan.

Memilih menjadi pelatih Wartawan Penyiaran sememangnya di luar bidang pengajian saya pelajari  kerana pengkhususan kewartawanan yang diambil,  lebih menjurus pendedahan  bidang kewartawan media cetak.

Namun, disebabkan ingin mempelajari sesuatu yang baru dan mempunyai nilai

tambah sebagai pelajar lulusan Komunikasi Massa, saya mengambil cabaran untuk
mengikuti latihan praktikal sebagai Pelatih Wartawan Pernyiaran.

Ternyata, keputusan saya berbaloi kerana sepanjang enam bulan latihan praktikal
di TV3 saya bukan sahaja diajar  bagaimana ‘memburu’ dan menulis berita
tetapi diberikan pelbagai pendedahan, termasuk  menulis skrip  untuk program bual bicara serta majalah, sama ada untuk siaran rakaman mahupun  siaran langsung,membuat voice over dan sebagainya.



Kerjaya Pertama


Alhamdulillah!  Rezeki saya murah kerana sebaik tamat pengajian di ITM pada
tahun 1994, saya diterima  bekerja  di Kumpulan  Karangkraf  Sdn Bhd (Karangkraf)  
sebagai wartawan di majalah  REMAJA.

Lebih bermakna dan bertuah kerana  ketika itu saya mendapat bimbingan Editor berpengalaman  yang juga DJ dikenali ramai ketika itu iaitu Richie Rachman, di samping, beberapa   wartawan senior lain yang turut banyak memberi tunjuk ajar.

Sepanjang dua tahun bertugas di Karangkraf, saya juga berkesempatan mengenali beberapa penulis terkenal dalam persada penulisan  dan mempunyai peminat
tersendiri. 

Antaranya termasuklah ,  kolumnis dan penulis pojok yang disegani, Encik Jalil Ali, penulis skrip tersohor, Puan Sharifah Abu Salim dan novelis, Sri Diah.

Bekerja di bawah satu bumbung dengan penulis hebat memberi banyak kelebihan
dan inspirasi kepada saya untuk menjadi penulis yang lebih baik, kreatif  serta sentiasa belajar untuk meningkatkan idea dan gaya penulisan.       

Di majalah REMAJA, saya banyak menulis artikel mengenai dunia remaja, dari hal
berkaitan pendidikan, aktiviti remaja, fesyen, kecantikan  hinggalah isu dan masalah
sosial golongan  itu.

Lebih menggembirakan, walaupun baharu beberapa bulan menjadi penulis di REMAJA, saya diberikan kepercayaan  oleh Editor untuk mengendalikan beberapa 
ruangan  tetap di dalam majalah itu. Ini termasuklah, ruangan hobi  remaja, psikolgi 
remaja dan dunia kerjaya.


Penyunting Radio Sambilan


Ketika itu, selain bekerja sepenuh masa sebagai wartawan  di Karangkraf, saya turut ditawarkan bekerja sambilan di Radio & Televisyen Malaysia (RTM)  sebagai  Penyunting Berita untuk  Radio Muzik iaitu salah satu saluran radio RTM yang ada ketika itu. 

Ketika itu, tugasan berkenaan adalah perkara dan pengalaman baharu kerana sebelum ini, saya langsung tidak mempunyai pengetahuan serta latar belakang
dalam bidang  penyiaran radio.

Tugasan saya di Radio Muzik, antara lain memilih, menyusun, menyunting dan menterjemahkan berita yang disalurkan menerusi agensi berita dalam dan luar negara seperti BERNAMA, Reuters, AP dan  AFP.

Saya bertugas sebagai Penyunting Berita sambilan  di RTM selama empat  tahun.  Kekangan masa membuatkan saya mengambil keputusan untuk berhenti dan  menumpukan kerjaya  sebagai wartawan sepenuh masa.


Bina jenama majalah baru


Pada Ogos 1994, saya  beralih syarikat penerbitan apabila ditawarkan bekerja di Berita Publishing  Sdn Bhd  (BP) yang ketika itu di bawah New Straits Times (Malaysia) Berhad (NSTP) . 

Saya menyertai BP kerana mengambil cabaran untuk bekerjasama  menerbitkan
majalah baharu berkonsepkan orang muda dinamik.

Keputusan ‘berhijrah’ dibuat kerana saya berharap, dengan pengalaman di majalah yang menyasarkan golongan remaja  sebelum ini, saya dapat memberikan sumbangan idea dan artikel yang lebih baik. 

Setahun saya membantu membangunkan jenama majalah baharu itu  tetapi berikutan  kemelesetan  ekonomi yang melanda Malaysia  ketika itu,  majalah dikenali dengan nama,  G2 itu hanya sempat diterbitkan  sebanyak 12 keluaran.

Biarpun G2 gagal bertahan lama di pasaran, saya tetap berbangga kerana setiap keluaran majalah  ini sempat dikenali ramai pembaca dan mendapat perhatian,  khususnya kepada golongan sasaran.


Majalah wanita gaya hidup


Saya kemudiannya, dipindahkan ke majalah wanita berkonsepkan gaya hidup iaitu  
Jelita yang juga di bawah BP ketika itu.

Menjadi wartawan majalah Jelita memberikan  saya satu lagi dimensi dan fasa baharu dalam dunia penulisan dan kewartawanan, khususnya penerbitan majalah.

Jika di REMAJA dan G2 saya lebih banyak mendekati golongan remaja dan orang muda kerana mereka adalah golongan sasaran kedua-dua majalah berkenaan. 

Namun, bertugas di majalah Jelita saya lebih banyak mendekati  wanita muda dan golongan lebih dewasa untuk penulisan artikel.  Ia  seiring dengan sasaran penerbitan majalah itu yang ingin memikat golongan pembaca wanita muda urban.

Saya akui, menulis di majalah Jelita membentuk saya menjadi penulis lebih matang dan kreatif untuk berkongsi pelbagai artikel yang bermanfaat untuk pembaca.
  
Di Jelita, selain menulis artikel berkaitan aktiviti wanita yang merangkumi kerjaya, pelancongan, kecantikan, fesyen  dan  sebagainya saya juga menulis berkenaan isu semasa berkaitan wanita dan keluarga.


Akhbar arus perdana


Pada pertengahan tahun 1999, saya  ditukarkan  ke bahagian akhbar.  Pada
awalnya, saya ditempatkan di Meja Rencana tetapi kemudian ditukarkan ke Meja
Wanita.

Bermula dari detik itu penerokaan saya sebagai penulis semakin rancak
berkembang. Penulisan saya ketika itu lebih banyak menjurus hak berkaitan wanita, kanak-kanak dan keluarga yang merangkumi pelbagai aspek seperti kesihatan,
kecantikan dan fesyen.  

Bukan itu sahaja, saya juga menghasilkan artikel mengenai isu semasa seperti
penderaaan  wanita dan kanak-kanak, hak wanita dalam perundangan dan pelbagai
masalah  sosial lain.

Saya juga banyak menjejak dan menulis artikel mengenai kejayaan serta kehebatan
individu dalam pelbagai bidang, khususnya wanita seperti tokoh pemimpin, usahawan dan golongan professional .

Bertugas di akhbar perdana membuatkan skop tugasan saya  semakin meluas. 

Cabarannya juga lebih besar kerana hampir setiap hari, saya bergelut dengan deadline 

yang singkat berbanding bekerja di majalah.  Bukan saja perlukan kecekapan dalam 
mencari bahan dan menghasilkan artikel tetapi juga perlu pantas dan tepat. 

Pengalaman banyak 'mendewasakan'  saya sebagai penulis dan wartawan.  Kini, bidang kerja saya bukan sahaja menulis artikel berdasarkan hasil temuramah atau membuat liputan pada mana-mana acara atau program tetapi turut melakukan penyuntingan, khususnya artikel dihasilkan wartawan junior, kolumis dan penulis luar.

Selain itu adakala saya juga membuat kerja penterjemahan untuk artikel yang diambil dari agensi luar negara seperti Reuters, AFP dan AP atau pun mana-mana sumber  yang relevan.      


Saya pernah mengikuti kursus perterjemahan yang dikendalikan oleh  Institut
Terjemahan  Bahasa (ITB) sehingga mempunyai Sijil Penterjemahan ITB. Ini memberi kelebihan kepada saya untuk melakukan tugasan penterjemahan.


Anugerah dan pencapaian


Sepanjang perjalanan kerjaya saya sebagai penulis atau wartawan, saya juga
pernah mengecapi beberapa kejayaan dengan memenangi beberapa anugerah. 

Antara anugerah dimenangi ialah Rencana Terbaik 2001 yang dianugerahkan 
Institut Akhbar Malaysia (Malaysia Press Institute, MPI) pada tahun 2001
manakala 2006, memenangi tempat ketiga penulisan artikel kesihatan bagi
Anugerah Kementerian Kesihatan.

Pada tahun 2003, saya  dianugerahkan Penulis Media Massa Terbaik bagi
Anugerah Pendermaan  Organ 2003.

Pada tahun sama, saya juga memenangi tempat kedua, Digi’ Journalist Award
2003.

Untuk anugerah berkumpulan, saya dan pasukan Meja Wanita pernah memenangi
Shell Excellence Journalism Awards 1995.

Pencapaian dan semua anugerah diterima memberikan saya suntikan semangat
untuk terus menghasilkan artikel atau hasil karya yang bermutu serta dapat
memberikan manfaat kepada pembaca.

Bagi saya, setiap hari adalah hari baharu bagi saya kerana pengalaman yang
dilalui dan pengetahuan diperolehi adalah tidak sama.










No comments:

Post a Comment