ISU
Sokong cuti bersalin 90 hari
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Cadangan kerajaan agar majikan di sektor swasta untuk menambah cuti bersalin daripada 60 hari hingga 90 hari masih lagi dipandang sinis segelintir pihak. Malah, ada majikan dilaporkan, berpandangan bahawa langkah itu akan membawa kerugian kewangan berbilion ringgit.
Setuju atau tidak, penambahan cuti bersalin ini sudah pun diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Bajet 2018. Justeru, pelaksanaan dasar pemberian cuti bersalin mandatori untuk sektor swasta perlu dilaksanakan secepat mungkin.
Perincian kerajaan wajar bagi mempercepatkan pelaksanaan pemberian peningkatan tempoh cuti bersalin itu, sekali gus membolehkan pindaan peruntukan undang-undang sedia ada dibuat bagi memastikan sektor swasta mewajibkan pemberian cuti bersalin selama 90 hari.
Pindaan yang bakal dilakukan membabitkan, Seksyen 37 Akta Kerja 1955; Seksyen 83 Ordinan Buruh Sabah Bab 67 dan Seksyen 84 Ordinan Buruh Sarawak Bab 76. Buat masa ini, peruntukan undang-undang sedia ada tidak menghalang mana-mana majikan untuk memberi cuti dan elaun bersalin kepada pekerja.
Rasionalnya, penambahan cuti bersalin ini secara tidak langsung tanda keprihatinan majikan dalam meningkatkan kebajikan pekerja. Sudah tiba masanya, majikan mengubah pemikiran tradisional dan konvensional berhubung isu pelaksanaan cuti bersalin 90 hari yang dicadangkan dalam sektor swasta.
Faedah sampingan pekerja
Seiring arus pemodenan, majikan sepatutnya tidak sekadar mementingkan perkiraan faktor kos, sebaliknya turut mempertimbangkan pemberian faedah sampingan terhadap pekerja. Hakikatnya, penambahan cuti bersalin kepada 90 hari seperti dilaksanakan perkhidmatan awam, bukan sahaja satu kehendak tetapi keperluan penting wanita.
Penambahan cuti bersalin juga tidak seharusnya dianggap isu peribadi atau satu tempoh merugikan sesebuah organisasi, sebaliknya dipercayai berupaya memacu produktiviti, selain mengurangkan tekanan di tempat kerja.
Selain itu, ia turut memberi galakan kerana wanita bukan sahaja sumber tenaga, tetapi merekalah individu mustahak dalam melahirkan generasi masa depan. Oleh itu, keistimewaan cuti bersalin selama 90 hari tidak wajar dianggap mempengaruhi produktiviti negara, sebaliknya mengeratkan rasa kasih sayang di antara ibu dan anak bagi mewujudkan masyarakat yang baik.
Penambahan cuti bersalin tidak dinafikan, membolehkan wanita terbabit memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bayi, termasuk memberi penyusuan eksklusif, selain memastikan kesihatan ibu benar-benar pulih sebelum memulakan tugas.
Banyak perkara sebenarnya yang perlu difikirkan oleh ibu terbabit selain memberikan tumpuan kepada bayi dengan memberi penyusuan eksklusif untuk tempoh tiga bulan, termasuk perlu memikirkan soal mendapatkan pengasuh untuk menguruskan bayi berkenaan.
Jadi, sekiranya mereka diberi cuti bersalin sehingga 90 hari, kehidupan mereka akan menjadi lebih teratur serta memberi ruang secukupnya kepada bayi, sekali gus selepas tempoh itu berakhir mereka boleh kembali memulakan kerja dengan tenang dan lebih bersemangat.
Apatah lagi, mengikut peruntukan perlindungan kesihatan ibu dan anak yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), majikan wajar menyediakan keperluan tertentu sepanjang tiga fasa kehidupan reproduktif wanita - kehamilan, melahirkan bayi dan selepas bersalin.
Usah pinggir pekerja wanita
Bagaimanapun, diharapkan selepas langkah kerajaan menetapkan cuti 90 hari untuk wanita bersalin bagi pekerja sektor swasta, majikan di negara ini tidak meminggirkan pekerja wanita. Majikan tidak boleh mengamalkan sikap diskriminasi dengan hanya menawarkan kerja pada orang lelaki saja dan enggan mengambil wanita bekerja.
Janganlah dengan ada kemudahan cuti ini nanti, peluang untuk wanita bekerja semakin terhad. Begitu juga dengan peluang pekerja wanita untuk naik pangkat dan gaji tidak seharusnya dinafikan.
Sebagai rakan kongsi transformasi besar negara, peranan tenaga kerja wanita amat diperlukan untuk membantu mencapai negara maju berpendapatan tinggi.
Kini, tiba masanya pendekatan baru dan menyeluruh dibuat agar hak, kepentingan serta kebajikan pekerja wanita sentiasa diberikan perhatian dan dinilai dari aspek kemanusiaan dan fitrah semula jadi wanita itu sendiri.
No comments:
Post a Comment