Kata orang, pengalaman itu mahal dan tidak boleh dijual beli. Pengalaman juga
mendewasa atau mematangkan kita. Begitulah mahal dan hebatnya harga sebuah
pengalaman!
Sama ada pengalaman itu pahit atau manis, sedih atau menggembirakan, ia boleh
memberikan kita manfaat. Terpulang kepada individu itu untuk menerimanya
secara positif atau pun sebaliknya.
Dalam dunia kewartawanan atau penulisan, pengalaman adalah sesuatu yang harus ada bagi mereka terbabit dalam bidang ini. Tanpa pengalaman, mana mungkin dapat menghasilkan atau berkongsi karya dengan orang lain.
Bagaimanapun, pada masa sama jangan lupa ilmu pengetahuan yang ditimba menerusipendidikan juga penting supaya penulis atau wartawan lebih beretika dalam menjalankan tugasan.
Selain itu penulis juga perlu tahu batas sempadan, tidak semborono dan tahu apa yang boleh dan tidak boleh, dalam setiap hasil karyanya.
Idealnya, memiliki kombinasi antara ilmu pendidikan dan pengalaman perlu bagi seseorang penulis atau wartawan supaya setiap penulisan dihasilkan berkualiati manakala dirinya tampil lebih kredibiliti dan diyakini pembaca atau masyarakat.
Bagi saya sendiri, pengalaman bertugas dalam tiga skop bidang penyiaran iaitu televisyen, radio dan percetakan untuk majalah dan suratkhabar sememangnya begitu berharga!
Pastinya, pelbagai rencam pengalaman yang saya peroleh sepanjang pembabitan
dalam ketiga-tiga skop bidang berkenaan. Ia diperoleh secara langsung atau pun tidak langsung.
Malah, tidak dapat disangkalkan, pengalaman adalah guru terbaik kepada saya untuk
memahirkan diri, meluaskan ilmu pengetahuan, bertahan dan terus melangkah dalam bidang yang diminati sejak dulu lagi ini.
Pengalaman wartawan penyiaran
Ketika menjalani latihan praktikal sebagai Pelatih Kewartawanan di TV 3, saya lebih banyak menulis berita untuk siaran bagi Berita Terkini dan Buletin Utama.
Pada mulanya, saya ditempatkan di meja berita yang lebih banyak menghasilkan laporan berita isu semasa dan juga jenayah. Untuk mendapatkan berita isu semasa, lazimnya saya ditugaskan membuat liputan majlis atau acara yang dihadiri VIP seperti menteri atau timbalan menteri, ketua pengarah jabatan tertentu ataupun orang kenamaan.
Namun, tidak setiap masa saya akan menghadiri majlis atau program. Adakala untuk mendapatkan berita isu semasa dan jenayah, saya juga turun padang dan menemubual orang ramai. Ada ketika saya juga ditugaskan mengikut operasi pihak berkuasa, khususnya untuk mendapatkan berita jenayah.
Namun, tidak setiap masa saya akan menghadiri majlis atau program. Adakala untuk mendapatkan berita isu semasa dan jenayah, saya juga turun padang dan menemubual orang ramai. Ada ketika saya juga ditugaskan mengikut operasi pihak berkuasa, khususnya untuk mendapatkan berita jenayah.
Kemudian, saya ditukarkan ke bahagian penerbitan Majalah dan ditugaskan membuat program bual bicara, Sekapur Sirih. Di tempatkan di bahagian ini, skop pembelajaran dan pengalaman yang saya timba semakin meluas.
Saya mula belajar menulis skrip untuk program rancangan televisyen di samping perlu mencari bahan siaran sesuai untuk program rancangan itu. Justeru, saya sering dihantar membuat liputan aktiviti sosial kemasyarakatan dan kemanusiaan.
Pengalaman sebagai wartawan penyiaran banyak membantu saya menghasilkan berita
ringkas dan padat tetapi mampu menarik perhatian penonton menerusi penggunaan visual bersesuaian.
Ia juga membantu saya membina keyakinan diri, tidak mudah putus asa dan sentiasa bersedia untuk membuat sebarang laporan dalam apa jua situasi.
Tempoh enam bulan menjalani latihan praktikal di TV3 dimanfaatkan sepenuhnya untuk menimba pengalaman awal sebagai wartawan.
Lebih-lebih lagi, pengalaman itu adalah kali pertama saya mula mengenali dunia
kewartawanan.
Pengalaman penyunting berita radio
penyunting berita di RTM. Saya tidak terbabit dalam tugasan menemubual mahupun penulisan.
Tugasan saya sudah tentu lebih banyak membuat kerja penyuntingan berita dalam negeri dan juga luar negara.
Untuk sumber berita dalam negara, saya peroleh dari agensi berita tempatan, BERNAMA ataupun berita yang dihantar oleh wartawan manakala sumber berita dari luar negara adalah dari berita agensi luar negara seperti Reuters, AFP dan AFP.
Kerja penyuntingan sekilas pandang, ia nampak seperti tugasan yang mudah tetapi realitinya tidak begitu. Walaupun tidak perlu menulis dan menggunakan daya kreativiti menghasilkan artikel atau rencana, ketelitian kerja amat diutamakan.
Ini termasuk memastikan susunan ayat dan penggunaan tatabahasa yang betul serta boleh difahami dan tidak ada kesalahan ejaan.
Setiap berita yang disunting perlu dibuat dengan bijak dan perlu dipastikan ia menjadi lebih bermutu serta tiada kesalahan. Ini kerana penyunting berita perlu bertangguang jawab atas setiap kesilapan berita yang disampaikan oleh penyampai berita atau yang ke udara di radio.
Selain perlu menyunting mengikut house style institusi penyiaran itu, saya juga perlu bijak membuat tapisan berita dan tahu apa yang boleh dan tidak boleh disiarkan.
Pada masa sama, saya juga membuat kerja penterjemahan berita dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu yang mana sumbernya adalah dari agensi berita luar.
Sebagai penyunting berita radio, saya juga bertanggungjawab untuk memilih dan menyusun setiap berita yang akan disampaikan oleh penyampai berita radio.
Pengalaman media cetak
i. Menulis untuk majalah
Kali pertama bekerja sepenuh masa di majalah REMAJA pula, penulisan saya lebih pelbagai termasuk menghasilkan artikel psikologi, motivasi dan pendidikan. Untuk menghasilkan artikel seumpama itu saya lebih banyak berdamping dengan pakar dalam bidang terbabit.
Kali pertama bekerja sepenuh masa di majalah REMAJA pula, penulisan saya lebih pelbagai termasuk menghasilkan artikel psikologi, motivasi dan pendidikan. Untuk menghasilkan artikel seumpama itu saya lebih banyak berdamping dengan pakar dalam bidang terbabit.
Apabila menyertai majalah Jelita, gaya penulisan saya lebih banyak tertumpu artikel
berunsur gaya hidup seperti membuat ulasan untuk hotel, restoran, butik, spa dan pusat kecantikan serta tempat menarik pelancongan.
Membuat lipuatan ulasan untuk hotel, restoran, spa dan pelancongan memang menyeronokkan! Namun, penulisan berbentuk ulasan memerlukan kepekaan, ketelitian dan kejujuran penulis. Apatah lagi, setiap ulasan diberikan penulis boleh mempengaruhi pembaca.
Sebagai penulis, saya akan berasa gembira apabila dapat berkongsi informasi dan pengetahuan dengan pembaca. Pada masa sama, saya juga akan berasa bangga jika dapat membantu pihak berkenaan untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan ditawarkan serta lebih dikenali ramai, semuanya berikutan hasil ulasan dikongsikan dengan orang ramai.
Kerja sampingan lain saya ialah memproses kenyataan akhbar yang kebanyakan berkenaan produk baru seperti produk kecantikan, barangan bayi, peralatan elektronik, fesyen dan lain-lain lagi,
ii. Menulis untuk suratkhabar
Melangkah menjadi wartawan di akhbar perdana, saya semakin banyak menghasilkan artikel rencana berdasarkan isu semasa sama ada berkaitan isu wanita, keluarga dan masyarakat serta topik berkaitan kesihatan, kecantikan, fesyen dan sebagainya.
Lazimnya, tugasan saya adalah untuk membuat liputan acara antarabangsa yang biasanya menghimpunkan wartawan dan penulis dari seluruh dunia seperti konvensyen kesihatan, pertunjukan fesyen dan pelbagai pameran.
Antara tugasan luar negara yang saya tidak boleh lupakan hingga kini ialah membuat liputan London Fashion Week di London dan menyertai pameran terbesar dunia yang mempamerkan jam tangan dan barang kemas iaitu Pameran Baselworld di Basel, Switzerland.
Kedua-dua acara antarabangsa itu adalah acara antarabangsa terbesar di dunia dan diadakan setiap tahun. Lebih membanggakan, liputan hanya boleh dibuat atas undangan sahaja.
Bertemu ramai orang
Semua pengalaman saya lalui sememangnya begitu bermakna. Namun, pengalaman paling mahal saya adalah peluang bertemu ramai orang dengan pelbagai ragam dan lapisan peringkat serta latar belakang.
Sumber saya pula tidak terbatas usia mereka, dari kanak-kanak hinggalah remaja, dewasa dan golongan tua.
Akses sebagai wartawan membolehkan saya berpeluang bertemu dan menemuramah golongan ternama dan atasan seperti kerabat diraja, selebriti, golongan profesional, usahawan dan individu yang pakar dalam bidang tertentu seperti cef, pereka fesyen, ahli sukan serta sebagainya.
Menemubual dan dapat bertentang mata dengan individu disanjungi, dihormati atau dikagumi ramai orang dan sukar ditemui di khalayak tentunya akan menerbitkan rasa bangga dalam diri.
Menemubual Kerabat diraja dan VIP
Sekadar berkongsi pengalaman, saya pernah berpeluang bertemu dan menemuramah secara berdepan dengan kerabat di raja, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah dan Tunku Temenggong Kedah, Brigader Jeneral Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim.
Bukan mudah sebenarnya untuk berdepan dan menemubual golongan istana. Perlu ada
persediaan, beradab dan tidak boleh terjah serta semborono begitu sahaja. Paling penting, perlu tahu protokol dan adab supaya semua berjalan lancar dan anda boleh membawa balik perkongsian cerita berdasarkan pertemuan itu untuk dijadikan bahan penulisan.
Selain itu, saya juga pernah menemubual secara langsung dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah, Datin Seri Rosmah Mansor, Tun Jeanne Abdullah dan Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood.
Tidak dinafikan, bekerja di akhbar arus perdana dan di tempatkan di bahagian Meja Wanita selama lebih 15 tahun membuka ruang kepada saya untuk bertemu dan menemurah ramai tokoh wanita dan srikandi yang banyak berjasa dan memberi sumbangan kepada negara atau pun berjaya dalam bidang masing-masing.
Tulis kisah tokoh dan selebiriti luar negara
Selain menulis artikel tokoh wanita dalam negara, saya turut berkesempatan menemui dan menemurah wanita terkenal dan selebriti dari luar negara.
Contohnya, pakar pendidikan East- West Center (EWC) Amerika Syarikat (AS), Dr Maya Soetoro-Ng yang juga adik tiri kepada bekas Presiden AS, Barack Obama, pelakon Bollywood terkenal dan juga bekas Ratu Cantik Dunia, Aishwarya Rai, pelakon Hollywood siri popular Charlie’s Angel, Kate Jackson; pewaris dan anak kepada pengasas minyak wangi jenama antarabangsa, Annick Goutal iaitu Camille Goutal dan selebriti Hong Kong, Bernice Liu serta ramai lagi.
Kongsi pengalaman dan kepakaran
Tokoh atau lelaki berjaya dan terkenal dalam negara yang pernah saya temubual pula
termasuklah, beberapa pereka fesyen tersohor seperti Datuk Jimmy Choo, Zang Toi, Datuk Radzuan Radziwill dan Datuk Rizalman Ibrahim, di samping cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail, ahli politik, Khairy Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif, Nry Architects Sdn Bhd, Datuk Mohamed Nazim Razak, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh dan lain-lain lagi.
Sementara itu, tokoh lelaki atau individu terkenal dari luar negara pula, antaranya adalah pemain tenis terkemuka dan juara Wimbledon, Roger Federer, Presiden dan Ketua Eksekutif Swatch Group, Nicholas G Hayek serta Ketua Pegawai Eksekutif Clarins, Christian Courtin-Clarins iaitu anak pengasas produk jenama penjagaan kulit terkenal antarabangsa, Clarins,
Kebanyakan artikel dihasilkan menerusi pertemuan dan temubual itu adalah berkisar profil menarik mengenai kisah hidup, kerjaya dan kejayaan serta ketokohan mereka.
Setiap temubual atau wawancara, saya akan cuba sedaya upaya mencungkil apa sahaja kisah menarik individu terbabit, sama ada berkongsi pengalaman atau pun kepakaran mereka.
Apa yang pasti, peluang bertemu dengan pelbagai golongan ini turut membolehkan saya meningkatkan ilmu pengetahuan, berkongsi idea dan berfikir lebih kreatif.
Bahkan, ia juga memberi saya ilmu baharu yang mungkin saya tidak ketahui sebelum ini.
Berada dalam bidang ini, tidak mengehadkan saya berjumpa dan menemubual golongan terkenal, ternama dan disanjungi saja, sebaliknya golongan kebanyakan juga menjadi sumber penulisan seperti banduan, golongan gelandangan, penagih dadah, pesakit HIV dan pelacur.
Hadiri konvensyen dan persidangan
Hakikatnya, kewartawanan adalah bidang yang sangat beragam. Justeru, mahu atau
tidak, saya perlu mengenali, meningkatkan dan menguasai pelbagai bidang, sekali pun adakala ia sukar untuk difahami atau sememangya saya tidak tahu sebelum ini.
Saya juga berpengalaman mengikuti beberapa konvensyen, persidangan, seminar, bengkel dan forum di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Peluang mengikuti acara ilmu seumpama itu memberikan banyak manfaat terutama dalam menambahkan ilmu, mendapatkan sumber dan memberikan lebih kefahaman mengenai isu atau hal yang hendak dijadikan sebagai bahan penulisan.
Selain itu, ia turut memberi kelebihan untuk berjumpa dan berkenalan dengan lebih ramai bijak pandai atau individu yang khusus pakar dalam bidang tertentu.
Jika persidangan atau konvesyen itu berlangsung di luar negara pula, sudah tentu kita dapat belajar adat dan budaya negara dikunjungi itu.
Pendedahan seperti itu juga boleh membantu saya membuka minda lebih luas, sekali gus menghasilkan artikel lebih baik dan menjadi penulis lebih matang.
Antara seminar atau konvensyen yang saya pernah buat liputan adalah Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Forum Ekonomi Islam Dunia (WIFE), Konnvensyen Antarabangsa Peguam-peguam (FIDA), Konvensyen Usahawan Wanita Kebangsaan dan banyak lagi,
Malah, hampir saban tahun saya ditugaskan membuat liputan Perhimpunan Agung Wanita UMNO.
Bagaimanapun, membuat tugasan liputan konvensyen, persidangan, seminar mahupun bengkel bukanlah mudah.
Setiap yang dibentangkan atau diperkatakan perlu dihadam, didengar, diteliti dan difahami dengan baik supaya laporan serta informasi disampaikan kepada masyarakat umum tepat dan betul.
Pengalaman sebagai petunjuk
Bagi saya, paling penting dengan adanya pengalaman diri, saya dapat belajar dari
pengalaman itu. Ia juga dapat menjadi petunjuk kepada saya dalam menghadapi
hari-hari berikutnya.
Menerusi pengalaman juga saya dapat belajar untuk menjadi lebih baik lagi dan
menjadikan ia panduan untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Pengalaman turut membentuk kepercayaan diri dalam diri saya untuk berdepan
sesuatu masalah. Ini kerana dunia penulisan dan kewartawan mempunyai cabaran tersendiri.
Tanggungjawab wartawan atau penulis tidak hanya menyebarkan informasi tetapi juga mencari informasi dan melakukan penelitian yang membawa fakta baru.
Hasil karya penulis yang baik sewajarnya dapat memberikan manfaat dan kepentingan kepada umum, bukannya untuk diri sendiri semata-mata.
Dalam erti kata lain, penulis tidak boleh fikir dan pentingkan diri sendiri atau syok sendiri semata-mata.
Saya juga percaya, kurangnya pengalaman ia boleh menjadi penghalang besar dalam
menghasilkan artikel atau karya penulisan yang kreatif, mampan dan menjadi santapan digemari pembaca.
Apabila kurang pengalaman, kita juga cenderung kurang percaya diri dan berasa tidak boleh melakukan apapun. Kurangnya pengalaman diri juga sering membuat orang lain ragu-ragu akan kemampuan kita.
Justeru, saya tidak akan berhenti menimba pengalaman dan akan terus menggali ilmu untuk menjadi penulis lebih baik serta matang.
No comments:
Post a Comment