Kisah lorong hitam
Cerita 1
Kisah hidup pelacur yang tersembam di lorong hitam pernah
menjadi bahan penulisan saya.
Artikel yang ditulis pada 2016 itu bukanlah cerita indah,
namun ia sarat dengan pengajaran mengenai kehidupan.
Namun, siapalah kita untuk menghukum golongan ini kerana
pastinya mereka juga tidak mahu terjebak di lembah hina itu.
Melalui rakan kenalan dari Pertubuhan Bukan Kerajaan
(NGO), saya berjaya menembual secara eksklusif beberapa pelacur wanita yang
masih meneruskan kehidupan mereka dengan menjual tubuhnya.
Saya juga ditemukan dengan bekas pelacur yang cuba
mengikis pengalaman hitamnya dalam dunia dianggap tidak bermoral itu.
Seperti dijanjikan, kami bertemu lebih kurang jam 9 malam
di ibu kota.
Rezeki jual tubuh
Pelacur bernama Mak Lia (bukan nama sebenar) antara yang
melekat terpahat dalam kenangan.
Sedih saya melihatnya kerana dalam usia 65 tahun dan
layak dipanggil nenek, dia masih mencari rezeki dengan menjual tubuhnya.
“Laku lagi ke? Siapa pelanggannya?” Itu antara soalan
yang bermain dalam benak fikiran saya sebelum berjumpa dengannya.
Kali pertama bersua, saya cuba menilainya mengikut
pandangan mata kasar saya.
“Emm taklah cantik. Penampilan pun tidak terurus. Seksi
pun tidak. Macam manalah boleh
ada pelanggan.” Itu antara kata suara hati saya.
Namun, apabila berbual dengannya, saya mendapati Mak Lia
selamba orangnya, peramah dan pandai mengambil hati. Lancar sahaja dia berkongsi
cerita, dari zaman bahagianya melayari perkahwinan hinggalah kisah hidupnya
yang tercampak di dunia hitam itu.
Sesekali dia melawak dan menunjukkan gaya seksi terutama
apabila diminta bergambar. Sehinggakan, gugup dan terketar-ketar jurugambar
dibuatnya.
Bagi Mak Lia, pengertian kasih sayang sudah lama terpadam
dalam kamus hidupnya.
Katanya, dia terpaksa meneruskan pekerjaan melacurkan
diri yang sudah dilakukannya sejak lebih 20 tahun demi sesuap nasi.
Ketika ditemubual, Mak Lia meminta rokok mungkin untuk
meredakan dan menyembunyikan pelbagai rasa terpendam dalam diri. Mujur, rokok
memang kami sudah standby sejak dari
awal.
Usia semakin senja
Meningkat usia semakin senja, kehidupan Mak Lia tidak
menentu, tanpa rumah dan keluarga. Dia mempunyai anak, tapi hidupnya kini
terbuang dan sebatang kara.
Dalam usia sebegitu, Mak Lia memberitahu dia hanya dibayar
RM10 setiap 20 minit sesi perkhidmatan sebagai pelayan seks. Lazimnya, aktiviti
dilakukan pada waktu malam.
Dalam sehari, hanya dua atau tiga sahaja pelanggan dan
jika tidak bernasib baik, adakala langsung tiada sesiapa sudi melangganinya.
Terkedu lidah apabila Mak Lia memberitahu, dia melayani
sesiapa sahaja yang sudi membayar perkhidmatannya termasuklah, penagih dadah. Ditanya,
tidak takutkah jika terkena penyakit HIV/AIDS.
“Isyyy aku sihat ni. Elok aje…mana ada sakit-sakit.”
Selamba aje Mak Lia menjawab.
Jika tiada pelanggan, dia akan mengutip tin dan botol
kosong untuk dijual.
Kata Mak Lia, dia mula terjebak dalam dunia pelacuran
selepas bercerai dengan suami kedua, berikutan perkahwinan yang tidak direstui
keluarga suami, selain sikap suami yang
sering mengasarinya.
Kegagalan perkahwinan kedua menyebabkan Mak Lia mula
`berjinak-jinak' dengan kelab malam dan akhirnya terjebak dengan dunia
pelacuran.
Tidur beralas kotak
"Saya sering
fikir sampai bila hendak melacur, lebih-lebih lagi sudah tua begini. Tetapi, ia
bukan sesuatu yang mudah. Hendak cari pekerjaan pun tiada orang hendak sebab
sudah tua, tambahan lagi bila mereka tahu latar belakang saya, mereka rasa
jijik.” Itu antara luahan hatinya.
Meniti kehidupan yang semakin dihambat usia dan tiada
sesiapa di sisi, Mak Lia hidup seadanya.
Katanya, kalau ada duit dia akan beli makanan dan menyewa
bilik dengan kadar bayaran RM15 sehari di sekitar Chow Kit. Jika tidak, tidur
sajalah di mana-mana lorong atau kaki lima bersama kawan-kawan gelandangan dengan
beralaskan kotak dan berselimut surat khabar.
Pertemuan itu berlarutan hingga ke 12.00 malam. Banyak
cerita sebenarnya yang dikongsikan Mak Lia tetapi biarlah sebahagian lagi itu
disimpan kedap dalam diri saya.
Sebaik sahaja habis temubual, saya menghulurkan sedikit
wang kepada Mak Lia. Ada riak gembira pada wajahnya ketika menerima duit itu.
Mak Lia berlalu perlahan-lahan meninggalkan saya.
Saya berharap, dengan wang tidak seberapa itu
sekurang-kurangnya Mak Lia tidak perlu menjual tubuhnya pada malam itu!
Cerita 2
“Kenapa terus
bergelumang dengan dosa?” Soalan itu sebenarnya, hanya mampu berlegar di dalam kepala
dan tidak mampu diluahkan.
Mendekati, wanita yang mempunyai dua cahaya mata berusia 10
dan 11 tahun dan menjadi pelacur jalanan itu, membuatkan satu persatu persoalan
timbul dalam kepala saya.
Namun, kebanyakan persoalan tidak mampu terhurai.
Sehinggakan sendat kepala saya memikirkannya.
Lin, 39, (bukan nama sebenar) bertubuh agak gempal dan
penampilannya tampak biasa. Pada pertemuan
malam itu, dia mengenakan seluar denim dan baju kemeja-T berlengan pendek.
Katanya, dia menjadi pelacur jalanan secara sambilan
kerana pada waktu siang, dia dan suami bekerja di kafe siber.
Demi sesuap nasi
Alasannya menjual tubuh kerana untuk sesuap nasi dan pekerjaan
itu mudah untuk mendapatkan wang meskipun perkhidmatan yang dibayar tidak
seberapa. Malah, ada yang mahukan perkhidmatan percuma dan dibayar
serendah RM10 semalam.
“Bukan orang dewasa aje, remaja pun hendakkan seks dengan
saya,” katanya selamba.
Kata-kata itu, membuatkan saya sekali lagi terkedu!
Lin berasal dari Utara, berpindah ke Kuala Lumpur selepas
bercerai dengan suami yang juga seorang penagih dadah.
Di ibu kota, Lin pernah bekerja kilang, pembantu katering
dan lain-lain. Kesusahan yang ditanggung Lin membuatkan ada rakan mengajaknya
menawarkan perkhidmatan seks bagi menyara diri secara mudah dan tidak perlu
bekerja teruk.
Sejak itu, ia menjadi sumber pendapatan sampingan dan
diteruskan meskipun mendirikan rumah tangga buat kali kedua.
"Setiap hari ada tiga atau empat pelanggan dengan
bayaran RM50 seorang. Pelanggan biasanya bersilih ganti dan ada juga individu
yang dikenali tetapi kami buat-buat tidak kenal,” ceritanya.
Keluarga dan anak-anak yang duduk bersama kakak di
kampung, langsung tidak tahu Lin menjaja tubuh di ibu kota. Lin menyewa bilik
sekitar RM350, di Kampung Baru.
“Saya juga sudah
lali ditangkap polis dan bermalam di lokap kerana direman bagi kesalahan
memberikan perkhidmatan seksual. Mula-mula dulu memang takutlah tetapi selepas
itu sudah biasa kerana saya bukan di bawah umur. Akhirnya, dengan duit melacur
inilah saya menyara diri dan keluarga."
Tahu dosa
Saya menarik nafas panjang, setiap kali mendengar jawapan
Lin yang saya rasa tidak masuk akal untuk diterima.
Namun, untuk terus mengorek
cerita Lin pada malam itu, saya terus menjadi pendengar setia dengan setiap
keluhan dilontarkannya.
"Saya tahu perbuatan ini berdosa, tetapi tiada pilihan
kerana saya tidak berpelajaran tinggi, sedangkan ada perut yang hendak
disuapkan makanan dan diberikan pelajaran,” katanya menutup bicara.
Malam itu, saya hilang kata-kata! Sesak dada dan kepala
saya mengenangkan nasib dan kehidupan pelacur-pelacur yang ditemui dan ditemubual itu.
Bila hidayah datang
Namun, saya teringat kata-kata rakan NGO. Katanya, kita
tidak tahu bila hidayah itu akan datang, tetapi percayalah selagi hati mereka
percaya bahawa Allah itu ada, Insya-Allah suatu hari nanti akan terdetik juga
di hati mereka untuk bertaubat.
Nasihat paling berkesan, katanya yang penting, kita yang
diberikan amanah dan tanggungjawab ini perlu berusaha untuk meletakkan nilai
ikhlas di dalam hati.
Jangan prejudis
terhadap mereka, jangan hukum mereka sebelum mengetahui latar belakang hidup
mereka.
Sebaliknya, betulkan persepsi dan percayalah bahawa mereka ini mahu
keluar dari 'penjara' itu, namun tidak tahu bagaimana caranya atau kabur dalam
menemui jalan yang betul!