Friday, December 28, 2018

Bab 8 Rahsia album merah jambu

Teks Nor Affizar Ibrahim

Rahsia album merah jambu 

Bab 8

Sarapan disediakan cikgu Norazah membuatkan ketiga-tiga mereka sungguh berselera. Kebetulan, ketiga-tiganya memang belum bersarapan.

Apatah lagi,  nasi goreng yang dihidangkan itu masih panas dan apabila dipadankan dengan MILO, bertambah berselera lagi. Hinggakan, Khairy dan Ikhwan, masing-masing makan bertambah.

Sebenarnya, pagi tadi Bibik ada menyediakan sarapan bihun untuk Ikhwan tetapi kerana tidak sabar hendak ke rumah cikgu Norazah, dia pun menolaknya.

Berkali-kali juga Radzi menyuruhnya mengambil sarapan terlebih dahulu sebelum bertolak ke rumah cikgu Norazah tetapi pelbagai alasan pula yang diberikan.

Tak ada selera, takut perut sakitlah dan macam-macam lagi.  Akhirnya, duduklah Radzi di meja makan bersarapan seorang diri.  

Malah, apabila Radzi menyarankan Ikhwan bersarapan dengan Khairy dan Fiqa jika mereka sampai di rumah mereka nanti, cepat-cepat Ikhwan memintas kata-kata bapanya.

“Tak apalah ayah. Fiqa dengan Khairy itu dah siap-siap sarapan di rumah mereka. Ikhwan dah cakap dengan dorang, sarapan kat rumah dulu sebelum datang ke sini,” ujar Ikhwan.

Tidak mahu memanjangkan cerita, Radzi akur sahaja dengan kata-kata Ikhwan.  Sebab itulah juga sebaik Khairy dan Fiqa sampai di rumah pagi tadi, Radzi tidak pun menjemput mereka bersarapan, sebaliknya menunggu masa untuk membawa ketiga-tiganya terus ke rumah cikgu Norazah.   

“Fuhh! Kenyang sangat ni. Licin pingggan ini.” Tiba-tiba Khairy  bersuara sambil mengurut-urut perutnya.

Tersenyum simpul cikgu Norazah melihat telatah Khairy.

“Okey. Oleh sebab semua dah kenyang, cikgu rasa kamu bertiga rehat seketika dulu sebelum mulakan tugasan. Lepas tu, tak boleh ponteng dah,” kata cikgu Norazah.

Jadi, selesai makan dan berehat seketika, akhirnya mereka berempat pun memulakan kerja masing-masing.

Cikgu Norazah mengarahkan Shafiqa membuka kotak-kotak yang dibalut kemas dengan plastik. Kebanyakan daripada kotak itu berisi barangan kaca sebab itulah ia dibalut dengan kemas bagi memastikannya  tidak pecah.

Khairy pula disuruh menyusun buku-buku di atas  rak. Buku-buku cikgu Norazah memang banyak dan hampir semua tebal-tebal belaka serta agak berat. Oleh sebab itulah dia tidak harapkan Shafiqa membuat kerja itu.

“Banyak betul buku cikgu ni. Semua sudah habis baca ke? Tentu cikgu minat membaca.” Khairy meneka sambil menelek-nelek beberapa buku sebelum menyusunnya di atas rak.

“Buku itu kebanyakan cikgu beli masa di universiti dulu. Memanglah cikgu suka membaca dan semuanya cikgu sudah habis baca. Tetapi ada di antaranya cikgu baca berulang kali kerana seronok sangat bahan yang ditulis.

“Kata orang, membaca boleh membuka minda kita dan menambahkan banyak ilmu. Banyak benda yang kita tidak tahu, boleh jadi tahu apabila kita banyak membaca.  Lagi banyak membaca, lagi seronok. Lebih-lebih lagi baca mengenai perkara yang kita suka.  

"Jadi, cikgu harap,  kamu bertiga juga mesti rajin membaca.”  Cikgu Norazah memberikan penjelasan panjang sedangkan tangannya sibuk mengemaskan barang-barang yang dikeluarkan daripada kotak.

Ketiga-tiga sahabat tu tidak pula berkata apa-apa, sebaliknya masing-masing membalas dengan hanya menyeringai saja.

“Dalam setahun, berapa banyak buku yang kamu baca?” Tiba-tiba cikgu Norazah mengajukan soalan itu.

“Emm...cikgu sebenarya saya  juga suka membaca. Tapi baca buku novel lah. Dalam setahun lebih kurang lapan novel saya baca. Kalau ikutkan hati,  nak baca lebih banyak lagi tapi emak selalu pesan, kalau nak baca novel mesti pastikan masa betul-betul terluang dan kena pastikan pandai bahagi masa dengan buat kerja sekolah.” Shafiqa membalas pertanyaan cikgu Norazah.

“Bagus juga baca buku novel itu. Tapi kalau boleh pilihlah karya novel yang memberikan manfaat. Dan betul juga kata ibu Shafiqa, kena pandai bahagi masa sebab walau apapun perlu beri keutamaan pada kerja sekolah,” balas cikgu Norazah.

“Saya tak suka membaca novel sangat cikgu. Tapi kalau baca komik itu memang favourite  saya. Kat rumah saya koleksi buku komik yang dikumpul. Kalau saya dah start baca komik, jangan sekali-kali ganggu saya.”  Khairy pula memberikan jawapannya.

“Oh ya ke…suka baca komik. Bagus juga itu. Tapi macam baca novel jugalah, kena pilih bahan bacaan yang sesuai. Satu lagi janganlah cepat berkhayal pula apabila baca komik itu atau berangan nak jadi watak dalam komik itu.

“Komik ini kreativitinya tinggi, sama ada jalan cerita ataupun lukisannya.  Mana tahu, suatu hari nanti Khairy pula mampu melukis gambar komik dan menghasilkan jalan cerita menarik. Cikgu nampak Khairy pun berbakat juga.” Kata cikgu Norazah hingga membuatkan Khairy tersengih-sengih sekali lagi.

“Ikhwan suka baca buka apa pula?” Cikgu Norazah mengajukan soalan pada Ikhwan pula yang dilihat senyap sahaja dari tadi.

“Emmm…saya pun suka baca buku cikgu.” Jawap Ikhwan antara dengar tak dengar suaranya.

“Alaa…Ikhwan cakaplah kau kan suka baca buku fiksyen dan buku yang ada banyak gambar pasal bangunan. Nak jadi arkitek lah kan! Rak buku kat rumah kau tu aku tengok banyak buku-buku macam tu. Malu-malu pulak nak bagi tahu,” Tiba-tiba Khairy pula yang bersuara.

“Hello kawan! Siapa Ikhwan ni? Tuan badan tak jawab, dia pulak sibuk menjawab.” Giliran Shafiqa pula menyampuk.

Merah padam muka Ikhwan. Dia mula berasa tidak senang dengan kata-kata Khairy. Rasa geram pun ada. Kalaulah cikgu Norazah tak ada di situ, mahu juga Ikhwan berbalas-balas dengan Khairy.  Disebabkan cikgu Norazah ada, malu pula Ikhwan jika tidak menjaga tingkah laku.

“Ohhh! Ikhwan bercita-cita nak jadi arkitek  rupanya. Dan suka baca buku fiksyen dan ada banyak buku mengenai bangunan. Baguslah tu. Cikgu doakan cita-cita Ikhwan nak jadi arkitek termakbul.

Gembira cikgu dengar, kamu semua suka membaca. Jadi, rasa-rasanya tidak adalah masa terluang terbiar begitu sahaja. Teruskanlah membaca dengan buku-buku yang kamu minati itu,”  Cikgu Norazah  faham situasi antara ketiga-tiga sahabat itu agak tegang sebab itulah dia segera mencelah.

“Okey, cikgu rasa nak berhenti dulu lah. Kamu bertiga teruslah berkemas, cikgu hendak ke dapur untuk sediakan makanan tengahari kita,” kata cikgu Norazah bingkas bangun dan menuju ke dapur.

Sementara itu, Ikhwan yang duduk di satu sudut turut leka membuat kerja-kerjanya. Cikgu Norazah memintanya tolong mengemaskan album-album yang sempat dikeluarkan dari kotak beberapa hari lalu. Cuma, dia tidak ada kesempatan untuk menyusunnya lagi di tempat yang sepatutnya.

Mula-mula tu, Ikhwan sibuk juga menyelak satu persatu album yang dipegangnya. Melihatnya leka menelek album berkenaan, Shafiqa pun menegurnya.

“Kau ni Ikhwan, asyik nak tengok album aje. Nanti lambatlah siap. Cepatlah sikit, banyak lagi kerja kita nak buat ni.” Kata Shafiqa yang sudahpun berpeluh-peluh mukanya.

“Rilekslah Fiqa. Aku tengok sikit-sikit saja bukan semua. Kau tengoklah ni gambar cikgu Norazah masa kat universiti. Lainkan…tapi cantik. Hah…yang ini gambar cikgu ambil ijazah.”  Ikhwan menjawab sambil menunjukkan album itu kepada Afiqa.

“Haah…yalah. Cantik ya. Tapi sekarang ni Cikgu Norazah cantik juga.
Tiba-tiba  Cikgu Norazah muncul dari dapur.

“Heiii…Ikhwan dan Fiqa buat apa tu. Ohh…tengok gambar lama cikgu ya. Kalau nak tengok boleh tetapi album merah jambu yang dalam kotak tu jangan buka ye. Itu banyak rahsia. Cikgu tidak izinkan buka tau. Janji tau jangan sesekali buka.”

“Rahsia cikgu!” Kata Ikhwan dan Shafiqa hampir serentak.

“Ya rahsia! Dalam gambar tu banyak kenangan .
“Ala..dengan kami sahajalah cikgu bercerita. Apabila cikgu cakap macam itu, lagilah kami berasa teringin nak tahu. Ceritalah cikgu. Kami janji tidak akan kongsikan,” rayu Shafiqa.

“Tak bolehlah Shafiqa. Insya-Allah suatu hari cikgu akan bagi kamu tengok. Tapi buat masa ini tidak boleh. Cikgu belum bersedia  untuk berkongsi dengan kamu semua. Shafiqa dan Ikhwan faham kan?”

Cikgu Norazah bertanya kepada kedua-dua anak muridnya dan berasa senang hati apabila mereka mengangguk dan akur dengan permintaannya.

Hampir separuh hari berlalu, kerja-kerja mengemas hampir 70 peratus siap. Walaupun penat, Ikhwan, Khairy dan Shafiqa terus leka dengan kerja-kerja yang diarahkan cikgu Norazah. 

Apabila terasa terlalu penat, mereka akan berhenti seketika dan adakala kedengaran mereka bertiga berderai ketawa. Barangkali ada perkara lucu yang dikongsi mereka.

Shafiqa juga sudah selesai membantu mengemas bilik cikgu Norazah, termasuk memasukkan dan menyusun baju-baju di dalam almari pakaian. 

Selesai kerja memasukkan baju di dalam almari, barulah kelihatan kemas sedikit bilik tidur berkenaan berbanding sebelum itu.

“Oooi…sedapnya bau ni. Tiba-tiba aje aku rasa laparlah,” Khairy tiba-tiba bersuara.

“Yalah! Bau sedap ni dari dapur. Mesti cikgu masak untuk makan tengahari kita,” Fiqa setuju dengan kata-kata Khairy.

“Isyy kau orang ni tak malulah. Entah-entah cikgu masak untuk makan sendiri. Kamu berdua pandai-pandai pulak. Cepatlah buat kerja tu.Tak apa kalau kamu berdua lapar, kita makan kat rumah aku aje. Nanti aku mintak tolong Bibik masakkan,” Ikhwan menegur kawan-kawannya kerana tidak mahu mereka terlalu berharap.

Sedang mereka rancak berbual, cikgu Norazah muncul dan berada di depan mereka.

“Okey, sekarang ini dah hampir Zohor. Cikgu rasa elok kita semua berhenti dan rehat. Kamu semua bolehlah bersihkah diri. Lepas tu, pergi sembahyang. Lepas semua sudah sembahyang kita makan sama-sama” Cikgu Norazah seolah-olah memberi perintah.

“Makan cikgu! Bestnya. Pagi tadi nasi goreng cikgu masak sedap. Makan tengahari ni pun lauknya mesti sedap. Tadi bau pun dah rasa sedap,” Khairy  menyampuk.

“Kalau kau bau pun rasa sedap, tak perlulah makan nanti,” Shafiqa tiba-tiba bersuara.
“Amboi! Banyak cantik kau. Nak ambil portion akulah kan! Sebab tu cakap macam tu,” jawab Khairy.

Sedang Khairy dan Shafiqa bersoal jawab, Ikhwan pula terus leka duduk di sudut tempatnya mengemas tadi.

Ikhwan duduk di situ sambil memegang album merah jambu itu. Tetapi apabila mendengar suara cikgu Norazah, cepat-cepat diletaknya semula album itu

Sebenarnya, Ikhwan hampir membukanya sekali lagi tetapi kemunculan cikgu Norazah membuatkan hasratnya terbantut.

“Apakah gambar kenangan itu?” Hati Ikhwan berkata-kata sendirian dan perasaannya  bagaikan begitu mendesak untuk mengetahui jawapannya. Tetapi melihat cikgu Norazah yang penuh  berahsia tidak mungkin Ikhwan mendapat  jawapan.


Monday, December 24, 2018

Manfaat penulisan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Manfaat penulisan



Bagi  kebanyakan pencinta ilmu, menulis sudah menjadi rutin harian. Malah, sejak zaman berzaman lagi, orang yang berilmu selalu menulis agar warisan ilmu mereka berkekalan hingga ke generasi yang berikutnya.

Oleh sebab itu ada bijak pandai menyatakan, “Ketika sebuah karya selesai ditulis, maka pengarang tak mati. Ia sebaliknya, baharu saja ,memanjangkan umurnya.”

Contoh ilmuan yang aktif menulis ialah Ibnu Sina, Ibnu Rusyd. Sumbangan  beliau dalam bidang ilmu cukup besar hingga kini  kerana melalui penulisan yang ditulis, ia  masih dapat 
menjadi tatapan generasi sekarang.

Berikut beberapa faedah yang dapat kita perolehi daripada menulis;

1. Kongsi dan sebarkan ilmu
Paling nyata ialah menulis dapat menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Apabila seseorang itu menulis, ilmu yang ada pada dirinya akan dapat direkodkan melalui penulisan yang ditulisnya.

Apabila seseorang itu dapat menulis, ini bermakna ilmunya tidak akan hilang ditelan zaman. Lebih-lebih lagi, ilmunya itu sentiasa berkembang dengan hasil penulisannya.

Sebagai contoh, Ibnu Sina dalam bidang ilmu perubabatan. Hasil daripada penulisannya, kemajuan bidang perubatan dunia kian bertambah pesat kerana pakar perubatan dunia menjadikan hasil penulisannya sebagai rujukan utama perubatan dunia.

Jika beliau tidak menulis, ilmu ini mungkin tidak akan dapat ditatapi dan diambil oleh generasi dizaman globalisasi ini.

Ini seiring dengan kata-kata hikmah, “Ikatlah ilmu dengan menuliskannya. Ini kerana ilmu yang ditulis akan tetap tersimpan di atas keterbatasan daya ingat manusia.


2. Medium dakwah

Selain bertemu bersemuka atau memberikan ceramah dan syarahan dalam seseuatu majlis kepada orang ramai, anda boleh menjadikan penulisan sebagai medium untuk berdakwah.

Kadang-kadang, bukan mudah untuk bertemu atau mengumpulkan orang ramai untuk mendengar ilmu atau kebaikan yang anda hendak sampaikan.

Mungkin juga pelbagai alasan diberikan untuk seseorang itu menghadiri majlis atau acara ilmu seumpama itu.

Melalui penulisan, ia boleh dijadikan salah satu alternatif medium untuk berdakwah. Tidak perlu bersemuka atau berjumpa, hasilkan sahaja satu penulisan.

Walaupun dengan hanya penulisan, daya sebarnya pada hari ini sangat luas, tambahan dengan adanya kecanggihan  teknologi seperti sekarang.

Anda boleh menulis apa sahaja ilmu bermanfaat dan sesaat itu pula tulisan anda boleh dibaca dan memberikan faedah kepada  mereka yang tinggal jauh di benua lain. Begitulah kecanggihan teknologi pada masa kini.

Menulis ini akan melengkapi usaha dakwah anda kepada masyarakat kerana hasil menulis atau ilmu yang dibukukan boleh dimanfaatkan orang ramai di rumah masing-masing, dibaca dan ditelaah.

3. Otak terus berfikir
Menulis berkaitan rapat dengan kerja otak atau berfikir. Ia sebagaimana tubuh yang memerlukan kecergasan fizikal dengan melakukan senaman manakala hati memerlukan amalan ibadat untuk meningkatkan keimanan.

Begitu jugalah otak yang memerlukan sesuatu untuk  melatihnya terus berfikir positif.

Jadi, dengan membiasakan menulis dan  meluahkan apa yang terfikirkan dalam penulisan, secara tidak langsung otak anda terus bekerja.

Lebih-lebih lagi, jika anda menulis penulisan ilmiah, otak akan lebih bekerja lagi dalam mengumpulkan beragam rujukan untuk menjadi sebuah tulisan.
  
Dengan kaedah ini juga,  anda tidak menjadi pelupa di saat usia semakin lanjut kerana ibarat sebilah pisau, semakin sering diasah dan digunakan, maka semakin baik dan tajam,begitu pula dengan otak manusia.

4. Medium perakam sejarah
Apabila menulis, anda secara tidak langsung akan mengumpulkan dan merakam banyak kejadian peristiwa, fakta serta data penting.

Semua bahan penulisan  inilah yang akan menjadi instrumen perakam jejak sejarah pada kemudian hari.

Tidak kiralah apa yang anda tulis sama ada mengenai salasilah keturunan keluarga, asal usul sesuatu negeri, kehidupan peribadi dan sebagainya.

Inilah cara klasik yang takkan pernah mampu digantikan oleh apa pun. Menulis dan penulisan akan selalu ada dan akan tetap ada.

5. Menulis medan belajar
Belajar bukanlah hanya mendengar dan membaca. Tidak lengkap rasanya belajar tanpa menulis.

Malah, kurang lengkap rasanya ilmu yang digali atau diperolehi tidak dicatatkan. Lihatlah kisah hidup ulama, pemimpin di dunia dan bijak pandai seperti ahli korporat serta ahli perniagaan dan sebagainya.

Walaupun sibuk dalam bidang masing-masing, mereka tak lepas dari menulis.
Menulis adalah medan belajar, dengan menulis akan mendorong dan menuntut kita menyerap, menggali dan mengumpulkan informasi sebanyak-banyaknya .

Saat mencari dan mengumpulkan informasi inilah kita sebenarnya sedang tenggelam dalam dunia belajar, mengasah dan mempertajamkan otak serta fikiran.

Malah, sedang mengembangkan diri  bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran.


6. Membuat hidup produktif
Banyak orang beranggapan, menulis membosankan dan hanya milik mereka yang suka menyendiri.

Anggapan ini tidak benar sama sekali. Dengan menulis, sebaliknya membuat hidup anda lebih produktif dan usia lebih bermanfaat, tidak terbuang sia-sia.

Dengan menulis, wawasan terus bertambah, malah ia turut  bermanfaat bagi diri sendiri dan orang lain.

Hidup menjadi produktif apabila anda menulis kerana anda perlu menyibukkan diri setiap masa.

Anda tidak akan membiarkan masa berlalu begitu sahaja tetapi akan memburu masa untuk memastikan penulisan anda dapat menepati tempoh waktu yang ditetapkan.

Menulis juga membuatkan anda perlu membuat banyak perkara seperti berfikir mencari idea, membuat pemerhatian bagi mencari sumber inspirasi, melakukan kajian untuk memastikan fakta yang tepat dan sebagainya.

7. Menghasilkan idea baharu
Dengan menulis anda akan berfikir dan terus berusaha mengembangkan pemahamannya dan kemampuan diri.

Ini menyuntik motivasi kepada anda mengemukakan idea baharu kerana sebaik sahaja anda terjun dalam dunia penulisan, anda pastinya bercita-cita untuk memberikan iea segar dan tidak pernah dilontarkan oleh sesiapa sebelum ini,

Idea baharu hanya terhasil daripada mereka yang aktif berfikir, terus belajar dan bekerja keras mengembangkan kemampuan berfikirnya.

Dengan  menulis inilah idea baharu itu akan muncul dan dapat disebarkan.

Sebenarnya, banyak lagi faedah atau kebaikan menulis.  Oleh kerana itu berusahalah menulis apa yang anda terfikirkan, apa terlihat, apa terdengar dan apa dirasakan.




Thursday, December 20, 2018

Khidmat terjemahan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Khidmat terjemahan


Keperluan menterjemah daripada satu bahasa ke bahasa yang lain memberikan beberapa kelebihan dan sebab itulah khidmat kerja penterjemahan semakin diperlukan.

Apatah lagi, setiap bangsa memiliki kepakaran masing-masing sama ada dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran atau hal lain.

Dengan adanya perbezaan ini, masyarakat di Malaysia  dapat berkongsi apa yang mereka miliki antara satu sama lain.

Justeru, amalan penterjemahan menjadi alat untuk masyarakat bertukar-tukar pendapat dan idea dalam meneroka ilmu pengetahuan yang luas.

Kerja penterjemahan juga satu aktiviti yang menghubungkan dua bangsa atau lebih dalam memahami antara satu sama lain.

Aktiviti ini tersebar hampir di setiap pelusuk dunia. Tambahan  zaman sekarang adalah dunia  tanpa sempadan yang menggunakan internet sebagai medium komunikasi. satu sama lain.

Definisi penterjemahan


Penterjemahan atau alih bahasa ialah perbuatan mentafsir makna sesuatu teks dan menerbitnya semula dalam bahasa yang lain.

Proses terjemahan membabitkan dua bahasa iaitu bahasa sumber dan bahasa sasaran dan mempunyai hubungan rapat dengan  pentafsiran dan penghuraian.

i. Menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat) terjemahan bermaksud;
proses penterjemahan adalah perbuatan memindahkan sesuatu isi atau teks ke dalam bahasa lain atau menukarkan bahasa sesuatu teks itu

ii. Menurut New Mark (1981);
penterjemahan ialah satu kesenian yang mengandungi usaha untuk menggantikan
mesej atau pertanyaan bertulis dalam sesuatu bahasa dengan mesej atau pertanyaan yang sama dalam bahasa lain

Yang pasti, tujuan penterjemahan adalah untuk menghasilkan satu karya terjemahan (teks sasaran) yang membawa makna sama dengan sesuatu karya bahasa asing (teks sumber).

     Untuk penterjemahan yang harmoni, penterjemah tidak boleh menterjemah perkataan demi perkataan. 
     
    Kaedah itu akan merosakkan makna asal teks sasaran dan menyebabkan terjemahan itu tidak indah dibaca, sedangkan teks asalnya mungkin sangat sedap dan mudah dibaca.
·      
   Oleh, itu penterjemah hendaklah menggunakan bentuk bahasa yang biasa digunakan di dalam bahasa penerima untuk menggantikan bentuk bahasa asalnya.
·     
     Penterjemah mestilah mencipta semula kesan dan semangat keseluruhan teks asal.

Penting untuk seorang penterjemah mengetahui semangat dan tujuan pengarang asal. Kaedah yang terbaik adalah dengan menterjemah menggunakan gaya bahasa harian.
Kaedah ini amat sesuai terjemahan untuk pembacaan orang awam.

Prinsip penterjemahan
Penterjemahan adalah satu pekerjaan yang memerlukan kesungguhan.  Sikap sambil lewa dan  penterjemahan yang tidak bersungguh-sungguh akan menimbulkan kekeliruan pembaca.
Malah ia juga mungkin menimbulkan salah faham pembaca terhadap maksud pengarang teks sumber.
Oleh itu, penerjemahan seharusnya dilakukan dengan berpandu kepada prinsip yang tertentu.
·         

    1. Tidak mengubah maksud pengarang teks asal.
     Prinsip ini adalah jelas untuk penterjamah. Tetapi pada praktikalnya, penterjemah sebenarnya sukar untuk mengelakkan diri untuk mengubah maksud pengarang secara 100% kerana faktor perbezaan budaya dan bahasa.

  Bagaimanapun, ini tidak bermaksud penterjemah diizinkan mengubah maksud pengarang teks asal dengan segaja.
·      
      2. Menghasilkan terjemahan yang mudah difahami pembaca.
Penterjemahan adalah sebahagian daripada komunikasi. Oleh itu, sesuatu terjemahan sebaik-baiknya mudah difahami supaya tujuan komunikasi antara pembaca dengan pengarang asal dapat dicapai.
·        
      3. Menghormati tatabahasa penerima.
Dalam proses menterjemahkan, tatabahasa bahasa penerima harus dihormati. Ini bermaksud tatabahasa asing tidak seharusnya dipaksakan ke dalam teks terjemahan.
·     
      4. Menterjemah makna Bahasa bukan menterjemah bentuk bahasa.
Dalam proses penterjemahan, makna harus diberi fokus. Penterjemah tidak seharusnya berusaha mengekalkan bentuk bahasa teks asal sehingga menghasilkan terjemahan yang berbelit-belit dan sukar difahami.


Matlamat penterjemahan

Tujuan utama penterjemahan adalah untuk menghasilkan satu karya  terjemahan yang harmoni (teks sasaran) dan membawa makna yang sama dengan sesuatu karya asing (teks sumber).

Penterjemah lazimnya, akan berusaha untuk menghasilkan pemahaman yang sempurna berpandukan prinsip penterjemahan dan beretika dalam melakukan terjemahan.

Dalam keadaan tertentu, penterjemah akan melakukan penyesuaian semula dengan terperinci supaya pembaca faham akan idea yang terkandung di dalamnya.

Penterjemahan membabitkan tiga proses asas iaitu penafsiran, analisis teks bahasa sumber yang diikuti oleh prosedur  terjemahan dan juga penulisan semula teks dalam hubungannya dengan tujuan penulis,

Antara syarat utama untuk menjadi penterjemah yang baik ialah mengetahui bahasa sumber.

Bahasa sumber ialah bahasa asal yang akan diterjemah ke dalam bahasa kedua. Pengetahuan dalam bahasa sumber mestilah mendalam.

Seseorang itu harus mengetahui selok bahasa, keistimewaan dan keganjilan bahasa itu supaya dia memahami makna terkandung dalam teks asal. Dengan itu, terjemahan dapat dibuat dengan tepat.

Kedua, mengetahui bahasa penerima.Bahasa penerima ialah bahasa yang akan
diterjemahkan daripada teks asal. Dengan kata lain, bahasa penerima ialah bahasa
kedua.

Ketiga, pengetahuan dalam bidang atau topik yang diterjemah. Untuk memastikan agar makna  atau maklumat dalam teks asal dapat diterjemahkan dengan tepat ke dalam bahasa  penerima, penterjemah wajar mengetahui bidang yang hendak diterjemah itu dengan mendalam.

Penguasaan bahasa yang baik tidak mencukupi untuk menjadi  penterjemah yang baik, terutama dalam bidang profesional atau teknikal seperti undang-undang, sains, teknologi, falsafah dan karya kesusasteraan.

Keempat, mengetahui teori dan amalan terjemahan. Bidang penterjemahan telah
melahirkan teori dan kaedah ilmiahnya sendiri.

Oleh itu, penterjemah perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam teori dan amalan sebelum memulakan kerja penterjemahan.

Dengan pengalaman dimiliki dan pernah mengikuti kursus dan mempunyai sijll penterjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka, saya menawarkan khidmat terjemahan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu.

Khidmat terjemahan ditawarkan antaranya:
·      terjemahan artikel
·      terjemahan skrip
·      terjemahan iklan
·      terjemahan ucapan
·      terjemahan kertas kerja


Bagi yang berminat untuk mendapatkan khidmat penterjemahan saya bolehlah hubungi affizar@gmail.com

Friday, December 14, 2018

Khidmat penyuntingan & penyelarasan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Khidmat penyuntinagan & penyelarasan


Selain memberikan khidmat sebagai penulis upahan, saya juga membantu anda untuk;

         1. Kerja penyuntingan (editing) 
         2. Kerja penyelarasan (proofreading) 
       
Khidmat ini ditawarkan untuk apa saja artikel sama ada periklanan, kenyataan akhbar, risalah, buletin dan sebagainya.

Penyuntingan dan pelarasan bertujuan untuk memastikan hasrat atau idea penulis  dapat disampaikan setepat, sepadat dan sejelas yang mungkin.

Dalam erti kata lain, kerja penyuntingan dan pelarasan artikel adalah kegiatan menyemak semula sesuatu hasil tulisan atau naskah sebelum ia diterbitkan.

Ingatlah, apa saja bentuk penulisan yang dihasilkan dan ingin disebarkan serta dijadikan tatapan khalayak, sewajarnya tiada kesalahan.

Ini termasuklah dari segi;
-       ejaan
-       tatabahasa
-       pemilihan perkataan atau ayat
-       susunan perenggan
-       tanda Bahasa
-       kesalahan diksi atau pilihan kata
-       kesalahan struktur Bahasa
-       kesalahan konjungsi atau kata penghubung

Bagi usahawan misalnya, kesilapan boleh mencerminkan diri dan perniagaan anda.

Jika ada banyak kesilapan, mana mungkin anda akan mendapat kepercayaan pelanggan! Pastinya, anda tidak mahukan ini terjadi.
 
Jalan terbaik, anda perlu mendapatkan khidmat penulis upahan untuk kerja penyuntingan dan penyelarasan bagi tugasan terakhir itu.

Kedua-dua tugasan ini memerlukan tumpuan, komitmen dan keterperincian
Justeru, untuk hasil yang terbaik, saya sarankan dapatkan sahaja khidmat mereka yang berpengalaman dalam kerja penyuntingan dan pelarasan.

Suntingan artikel atau hasil penulisan lazimnya  perlu mempertimbangkan aspek pembaca.
Ini kerana penulisan itu akan dibaca oleh pelbagai kalangan  dengan umur, taraf hidup, dan pendidikan yang  berbeza-beza sehinggakan  ketika kerja penyuntingan dilakukan, penyunting perlu bijak menyesuaikan gaya tulisan berkenaan dengan latar belakang pembaca.
Oleh sebab itulah umumnya,  kerja penyuntingan merangkumi;

* Memperbaiki kesalahan pada pandangan mata kasar.
* Memperbaiki tulisan sebelumnya.
* Memperbetul dan menyesuaikan gaya bahasa lebih sesuai
* Meringkaskan beberapa perkataan menjadi satu atau dua  ayat yang punyai kejelasan     makna serupa
* Mengelakkan gaya bahasa atau tulisan yang membosankan.
* Memastikan penulisan lancar apabila dibaca.
* Memperbaiki hasil penulisan supaya menarik.
* Menelaah kembali hasil tulisan yang sudah siap dihasilkan tetapi mungkin masih terdapat kesalahan yang terlepas pandang
Anda sudah semestinya mahukan hasil yang terbaik. Oleh itu buatlah keputusan yang tepat dan bijak!
Bagi yang berminat untuk mendapatkan khidmat kerja penyuntingan dan pelarasan, boleh hubungi saya affizar@gmail.com
  



Thursday, December 13, 2018

Bab 7 Tidak sabar hendak tolong berkemas

Teks Nor Affizar Ibrahim

BAB 7 Tidak sabar hendak tolong berkemas

Radzi terus memerhatikan  Ikhwan. Dia agak hairan melihat gelagat anak bongsunya malam itu kerana sekejap-kejap tersenyum sendirian. Entah angau apa yang melanda anaknya itu. 

Radzi berteka-teki sendirian, namun apabila terus diasak dengan pelbagai pertanyaan tidak terungkai dengan gelagat anaknya yang luar dari kebiasaan itu, akhirnya dia pun bertanya .

“Anak ayah ni kenapa?  Malam ni tak banyak cakap tapi asyik tersenyum saja? Tak pernah-pernah pun macam ni. Ada apa-apa ke yang ayah boleh tahu?”

Memang Radzi terasa pelik melihat perubahan  anaknya malam itu.

“Eh…tak ada apalah ayah. Ikhwan biasa aje. Semuanya okey,” jawab Ikhwan tetapi seolah-olah  cuba berselindung sesuatu daripada ayahnya.

Radzi berasa ada sesuatu yang cuba disorokkan anak bongsunya itu.Tetapi sengaja tidak mahu memaksanya bercakap berterus terang.

Bagi Radzi, lebih baik Ikhwan ceria seperti itu daripada  muncung mencuka. Itu lebih merisaukan hatinya.

“Hah! Macam mana minggu ni. Ayah free. Bolehlah kita jumpa Angah.”  Radzi mengalih pada topik lain. Namun, Radzi perasan  dahi Ikhwan sedang berkerut  seolah-olah ada masalah.

“Kenapa ni? Tak gembira ke nak jumpa Angah,” tanya Radzi ingin kepastian.

“Bukan gitu ayah.  Ikhwan benar-benar lupa minggu ini kita akan jumpa Angah di asrama. Sebenarnya. petang tadi Ikhwan sudah berjanji dengan cikgu Norazah hendak tolong dia berkemas di rumahnya.

“Cikgu Norazah baharu pindah di sini, katanya banyak yang perlu dia kemas. Dia tak larat buat seorang diri. Itu dia minta tolong Ikhwan dengan Khairy dan Fiqa. 

“Ala..takkan nak cancel pulak. Nanti kasihan cikgu Norazah. Petang tadi cikgu nampak gembira saja apabila  Ikhwan kata setuju nak tolong dia. Tak sampai hatilah Ikhwan nak hampakan permintaan cikgu Norazah. 

Ayah, kita tangguhlah jumpa Angah. Kita pergi  minggu satu lagilah ayah.”  Ikhwan baharu sedar janji ayahnya itu.

Dapat cikgu baharu dan berkenalan dengan Cikgu Norazah, benar-benar membuatkan Ikhwan lupa seketika mengenai ketiadaan Izhar di dalam rumah itu.

Sejak beberapa hari ini, dia selalu teruja  berjumpa dengan cikgu Norazah.

Peluang dapat menaiki kereta cikgu Norazah dan berkesempatan berbual banyak perkara dengan cikgu baharu itu petang tadi membuatkan Ikhwan lupa semua perkara yang menyedihkannya sejak tiga minggu lalu.

Sehinggakan untuk cikgu Norazah, Ikhwaan sanggup buat apa saja. Oleh sebab itulah apabila Cikgu Norazah tanya bolehkah dia membantunya mengemaskan rumah hujung minggu ini sebab baru berpindah, Ikhwan tidak bersoal  banyak sebaliknya terus bersetuju.

Malah, Ikhwan turut berjanji akan mengajak dua kawan karibnya – Khairydan Shafiqa . Katanya, sekurang-kurangnya kerja-kerja mengemas akan menjadi lebih cepat.

Justeru, balik saja dari sekolah sebaik meletak beg, Ikhwan terus menelefon kedua-dua rakannya itu dan menceritakan hal itu. Seperti biasa, Khairy dan Shafiqa memang tidak sukar diajar berunding.

Lagipun, mereka bertiga sudah biasa pergi ke mana-mana bersama dan melakukan banyak perkara bersama.

“Khairy, kau dengan Fiqa jangan tak jadi pulak esok tau. Kau berdua mesti datang tepat masa kat rumah aku esok. Aku tak nak kita terlewat dan buat Cikgu Norazah tertunggu-tunggu kita nanti.”  Ikhwan mengingatkan Khairy sebelum dia meletakkan ganggang telefon.

“Ya! Ya! Kau jangan risaulah Ikhwan. Aku dan Fiqa memang tak ada apa-apa program esok. Demi kau dengan cikgu baharu kesayangan kau itu, aku dan Fiqa sanggup berkorban sampai ke bintang kejora.

“Janji muka kau tu tak muka seposen lagi. Naik menyampah juga aku menengoknya.” Terdengar suara Khairy yang masih sempat hendak mengusik rakan baiknya itu.

Dan pada malam itu, Ikhwan sebenarnya tidak sabar-sabar ingin meminta izin daripada
ayahnya supaya membenarkannya  membantu Cikgu Norazah pada hujung
minggu ini.

Tetapi tanpa sedar, Ikhwan sendiri lupa dia sebenarnya sudah terlebih dulu berjanji dengan ayahnya untuk melawat Izhar di asrama minggu ini. Malah, itulah yang ditunggu-tunggunya sejak tiga minggu lalu.

“Macam mana ni, dulu Ikhwan yang tidak sabar-sabar nak jumpa Angah. Sekarang tak jadi pulak,” kata Radzi mengingatkan anak bongsunya itu.

“Tak apalah ayah, Malam ni, Ikhwan emel dengan Angah dan ceritakan perkara sebenar. Tentu  Angah faham.  Lagipun tak sedaplah hendak hampakan permintaan cikgu Norazah. Dia tu  baik tau ayah sebab itulah Ikhwan nak tolong dia,” Ikhwan memuji lagi cikgu yang baru dikenali hanya dua minggu itu. 

Ikhwan memang teringin hendak jumpa Izhar tetapi pada masa sama, tidak mahu terlepas peluang untuk bersama cikgu Norazah. Apabila  cikgu Norazah mempelawa  membantunya mengemas rumah,  ia ‘bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang.’

Oleh sebab itulah Ikhwan tidak menolak, malah tidak perlu berfikir panjang untuk memberi keputusan pelawaan cikgu kesayangannya itu.

Radzi tidak mahu berkata lagi. Jika Ikhwan sudah kata begitu, dia akur.  Fikirnya, jika Ikhwan tidak dapat ikut dia tetap akan menjenguk Izhar.

Lagipun sudah menjadi tanggungjawabnya  menjenguk anak keduanya itu di asrama dan mengetahui  perkembangannya.

Walaupun dihantar ke asrama, sekali sekala sebagai bapa perlu juga menjenguk supaya tidak terlalu banyak jurang hubungannya dengan anak-anak.


“Okeylah jika  Ikhwan dah janji  dengan cikgu Norazah hendak buat macam mana. Lain kali kita carilah masa untuk pergi bersama.”  Radzi membuat keputusan.



                           *****************************************************************


Pagi itu selepas bersarapan, Radzi duduk membaca buku di ruang tamu.  Sebenarnya, Radzi sudahpun bersiap untuk melawat Izhar di asrama.

Bagaimanapun, Radzi ingin menghantar Ikhwan terlebih dulu ke rumah cikgu Norazah.
Radzi tidak mahu membiarkan Ikhwan menaiki basikal.

Walaupun dia tahu ada dua lagi rakan baiknya yang akan pergi bersama. Hati Radzi akan lega jika dapat menghantar sendiri  Ikhwan dan rakan-rakannya.

“Ikhwan… cepatlah sikit. Dah pukul berapa ni. Mana kawan-kawan Ikhwan
ni, tak sampai-sampai lagi. Lepas hantar kamu, ayah akan pergi tengok Angah di asrama,” Radzi menggesa anak bongsunya agar cepat bersiap.

“Kejaplah ayah. Ikhwan baru telefon mereka. Lima minit lagi mungkin mereka sampai.

Sebenarnya Ikhwan juga tidak sabar lagi hendak menunggu dua rakannya itu. Malah, sejak malam tadi hatinya resah dan tidak sabar-sabar untuk berjumpa dengan cikgu Norazah.

Pada Shafiqa dan Khairi sudah pun dipesan banyak kali supaya jangan sekali-kali terlewat pagi itu datang ke rumahnya.

Jarak rumah mereka bertiga tidaklah jauh sangat cuma kurang satu kilometer saja. Jadi, kalau kedua-dua rakannya itu mengikut perancangan yang sudah ditetapkan, memang sepatutnya mereka sudah sampai di rumah Ikhwan.


“Assalammualaikum! Ikhwan kami dah sampai ni, kau dah siap ke?”

Tiba-tiba kedengaran suara dari luar pagar. Radzi menjawab salam itu dan menjenguk dari dari dalam.

“Ah..Ikhwan. Semua dah ada ni. Bolehlah kita pergi. Beritahu Bibik kita nak pergi ni dan minta tolong kunci pintu pagar.” Radzi memberi arahan kepada Ikhwan.

“Baiklah ayah!” jawab Ikhwan dan terus bergegas mendapatkan dua kawannya yang sedang menunggu di luar pagar.

“Hah…kenapa lambat? Aku dah lama siap,” Ikhwan bersuara agak tinggi sikit sebaik saja mendekati kawan-kawannya itu.

“Janganlah marah Ikhwan. Semua ni pasal Fiqa. Dah separuh jalan, ajak patah balik. Katanya ada barang tinggal. Sebab tu lewat kami lewat.”  Khairy cuba menjelaskan keadaan sebenar.

“Ala… Ikhwan. Minta maaflah. Bukan lambat sangat pun. Baru lima minit kami lewat. Itu pun tak sengaja. Aku tahulah kau tak sabar nak jumpa cikgu Norazah, tak kan pasal sikit pun kau dah bengang kat kami,” giliran Shafiqa pula menjawab.

“Kau ni Fiqa… ada saja masalah. Tinggal tu, tinggal nilah. Nak pergi rumah
cikgu Norazah pun nak bawak macam-macam.” Ikhwan masih tidak puas hati atas kelewatan Shafiqa.

“Dah tertinggal, nak buat macam mana, kenalah patah balik. Bukan aku suka-suka tertinggalkan. Lagipun, bukannya selalu aku lambat pun kalau berjanji. Selalunya akulah orang yang pertama dan datang awal.” Shafiqa terus membela dirinya.

“Tulah..lain kali siapkan semua barang yang dibawa setempat. Jadi, tak adalah tertinggal. Lagipun, aku beritahu petang kan, boleh aje kau siapkan awal-awal barang-barang yang dibawa.” Khairy berterusan menyalahkan Shafiqa.

“Kau ni Ikhwan. Kesian Fiqa. Dia kan sudah minta maaf. Bukan dia sengaja pun. Masih awal ini, tak terlewat sangat pun.” Khairy tiba-tiba membela Shafiqa.

“Dah sudah lah tu. Cepat masuk kereta. Nanti lagi lewat.” Radzi cuba meleraikan pertikaman lidah antara tiga sahabat itu.

Dari tadi, Radzi hanya menjadi pemerhati dan pendengar saja.Oleh kerana  tidak mahu perkara sekecil itu berlarutan, Radzi pun sengaja menyampuk perdebatan antara tiga sahabat itu.

Bagaikan baru tersedar, ada orang lain antara mereka ketiga-tiga sahabat itu serentak menoleh kepada Radzi.

“Hah apa termangu lagi. Cepatlah masuk kereta.” Radzi mengulangi arahannya

“Maafkan kami Pakcik. Kami tak sengaja nak buat Pakcik tertunggu-tunggu.” Shafiqa bersuara mewakili Khairy memohon maaf.

Mendengar permintaan maaf daripada Shafiqa, Radzi tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Apabila Ikhwan, Khairy dan Shafiqa sudah memasuki ke dalam kereta, Radzi tanpa bertanya jalan mana yang perlu di ikuti, terus memandu menuju ke rumah cikgu Norazah.

Tidak sampai 15 minit perjalanan, mereka pun sampai di rumah cikgu Norazah.

Selepas menghantar dan menurunkan Ikhwan dan dua rakannya, Radzi  terus  memandu menuju ke destinasi yang hendak dituju.

Radzi menurunkan ketiga-tiganya di tepi jalan iaitu lebih kurang 50 meter dari rumah Cikgu Norazah.

Katanya, tidak perlulah hantar sampai pintu dan memberi alasan, tidak sempat  hendak singgah kerana kesuntukan masa. Namun, memesan kepada Ikhwan supaya menyampaikan salam pada cikgu Norazah. 

Ketika ketiga-tiga mereka sampai, Cikgu Norazah sudahpun sedia menanti di depan pintu. Kedatangan ketiga-tiga muridnya disambut dengan senyuman ceria.

“Hah! Sampai pun kamu semua. Cikgu ingat tadi, tak jadi datang,” ujar cikgu Norazah sambil bersalam-salaman dengan ketiga-tiga anak muridnya itu.

“Ehh…mana boleh cikgu, kita semua kan dah janji. Lagipun, Ikhwan, anak murid kesayangan cikgu ni, mana boleh tolak permintaan cikgu. Agaknya kalau saya dengan Fiqa kata cancel, mesti beberapa hari dia tak tegur kami.” Khairy menjawab sambil mengusik Ikhwan.

Fiqa tersengih mendengar jawapan Khairy manakala Ikhwan menjeling dengan ekor mata tajam kerana tidak suka dengan usikan kawan baiknya itu.

Cikgu Norazah perasan perubahan Ikhwan. Lalu cepat-cepat menukar tajuk.

“Okey sebelum  kita semua mula bekerja, cikgu hendak kamu sarapan dulu. Cikgu pun dah siapkan makanan untuk kamu semua. Makan kenyang-kenyang, baru kita buat kerja.

“Tapi ingat, dah kenyang jangan pulak ada yang tuang.” .Cikgu Norazah mengusik ketiga-tiga anak muridnya. Sebenarnya dia amat gembira apabila ketiga-tiga anak muridnya itu sudi membantunya hari itu. 

Sememangnya tidak larat kudratnya untuk mengemas barang-barang yang dibawa ke rumah baru itu.

Lagipun, dia seronok dapat menghabiskan masa bersama-sama dengan ketiga-tiga sahabat baik itu. Boleh juga mengenali mereka dengan lebih dekat lagi.

Makan cikgu? Wow…Mesti best! Cikgu masak sendiri ke,?” tanya Ikhwan.

“Yalah, siapa lagi nak masak. Cikgu buat nasi goreng pagi tadi.  Nasi goreng Cina aje. Mula ingat nak buat pedas-pedas, tapi pagi lagi  ini takut ada antara kamu yang perutnya tak tahan. Nanti tak jadi buat kerja pulak.

“Harap kamu semua suka lah. Semua orang mesti makan kenyang-kenyang. Lepas tu, kita bolehlah buat kerja. Nanti dah tengahari panas tentu letih nak buat kerja. Hah! Sekarang makanlah cepat.” Cikgu Norazah menjemput mereka makan sekali lagi.

“Cikgu jangan risau, macam saya tolak batu dan kayu aje. Bagilah makanan apa saja, jarang sekali saya akan tolak,” balas Khairy tersengih-sengih.