Friday, December 28, 2018

Bab 8 Rahsia album merah jambu

Teks Nor Affizar Ibrahim

Rahsia album merah jambu 

Bab 8

Sarapan disediakan cikgu Norazah membuatkan ketiga-tiga mereka sungguh berselera. Kebetulan, ketiga-tiganya memang belum bersarapan.

Apatah lagi,  nasi goreng yang dihidangkan itu masih panas dan apabila dipadankan dengan MILO, bertambah berselera lagi. Hinggakan, Khairy dan Ikhwan, masing-masing makan bertambah.

Sebenarnya, pagi tadi Bibik ada menyediakan sarapan bihun untuk Ikhwan tetapi kerana tidak sabar hendak ke rumah cikgu Norazah, dia pun menolaknya.

Berkali-kali juga Radzi menyuruhnya mengambil sarapan terlebih dahulu sebelum bertolak ke rumah cikgu Norazah tetapi pelbagai alasan pula yang diberikan.

Tak ada selera, takut perut sakitlah dan macam-macam lagi.  Akhirnya, duduklah Radzi di meja makan bersarapan seorang diri.  

Malah, apabila Radzi menyarankan Ikhwan bersarapan dengan Khairy dan Fiqa jika mereka sampai di rumah mereka nanti, cepat-cepat Ikhwan memintas kata-kata bapanya.

“Tak apalah ayah. Fiqa dengan Khairy itu dah siap-siap sarapan di rumah mereka. Ikhwan dah cakap dengan dorang, sarapan kat rumah dulu sebelum datang ke sini,” ujar Ikhwan.

Tidak mahu memanjangkan cerita, Radzi akur sahaja dengan kata-kata Ikhwan.  Sebab itulah juga sebaik Khairy dan Fiqa sampai di rumah pagi tadi, Radzi tidak pun menjemput mereka bersarapan, sebaliknya menunggu masa untuk membawa ketiga-tiganya terus ke rumah cikgu Norazah.   

“Fuhh! Kenyang sangat ni. Licin pingggan ini.” Tiba-tiba Khairy  bersuara sambil mengurut-urut perutnya.

Tersenyum simpul cikgu Norazah melihat telatah Khairy.

“Okey. Oleh sebab semua dah kenyang, cikgu rasa kamu bertiga rehat seketika dulu sebelum mulakan tugasan. Lepas tu, tak boleh ponteng dah,” kata cikgu Norazah.

Jadi, selesai makan dan berehat seketika, akhirnya mereka berempat pun memulakan kerja masing-masing.

Cikgu Norazah mengarahkan Shafiqa membuka kotak-kotak yang dibalut kemas dengan plastik. Kebanyakan daripada kotak itu berisi barangan kaca sebab itulah ia dibalut dengan kemas bagi memastikannya  tidak pecah.

Khairy pula disuruh menyusun buku-buku di atas  rak. Buku-buku cikgu Norazah memang banyak dan hampir semua tebal-tebal belaka serta agak berat. Oleh sebab itulah dia tidak harapkan Shafiqa membuat kerja itu.

“Banyak betul buku cikgu ni. Semua sudah habis baca ke? Tentu cikgu minat membaca.” Khairy meneka sambil menelek-nelek beberapa buku sebelum menyusunnya di atas rak.

“Buku itu kebanyakan cikgu beli masa di universiti dulu. Memanglah cikgu suka membaca dan semuanya cikgu sudah habis baca. Tetapi ada di antaranya cikgu baca berulang kali kerana seronok sangat bahan yang ditulis.

“Kata orang, membaca boleh membuka minda kita dan menambahkan banyak ilmu. Banyak benda yang kita tidak tahu, boleh jadi tahu apabila kita banyak membaca.  Lagi banyak membaca, lagi seronok. Lebih-lebih lagi baca mengenai perkara yang kita suka.  

"Jadi, cikgu harap,  kamu bertiga juga mesti rajin membaca.”  Cikgu Norazah memberikan penjelasan panjang sedangkan tangannya sibuk mengemaskan barang-barang yang dikeluarkan daripada kotak.

Ketiga-tiga sahabat tu tidak pula berkata apa-apa, sebaliknya masing-masing membalas dengan hanya menyeringai saja.

“Dalam setahun, berapa banyak buku yang kamu baca?” Tiba-tiba cikgu Norazah mengajukan soalan itu.

“Emm...cikgu sebenarya saya  juga suka membaca. Tapi baca buku novel lah. Dalam setahun lebih kurang lapan novel saya baca. Kalau ikutkan hati,  nak baca lebih banyak lagi tapi emak selalu pesan, kalau nak baca novel mesti pastikan masa betul-betul terluang dan kena pastikan pandai bahagi masa dengan buat kerja sekolah.” Shafiqa membalas pertanyaan cikgu Norazah.

“Bagus juga baca buku novel itu. Tapi kalau boleh pilihlah karya novel yang memberikan manfaat. Dan betul juga kata ibu Shafiqa, kena pandai bahagi masa sebab walau apapun perlu beri keutamaan pada kerja sekolah,” balas cikgu Norazah.

“Saya tak suka membaca novel sangat cikgu. Tapi kalau baca komik itu memang favourite  saya. Kat rumah saya koleksi buku komik yang dikumpul. Kalau saya dah start baca komik, jangan sekali-kali ganggu saya.”  Khairy pula memberikan jawapannya.

“Oh ya ke…suka baca komik. Bagus juga itu. Tapi macam baca novel jugalah, kena pilih bahan bacaan yang sesuai. Satu lagi janganlah cepat berkhayal pula apabila baca komik itu atau berangan nak jadi watak dalam komik itu.

“Komik ini kreativitinya tinggi, sama ada jalan cerita ataupun lukisannya.  Mana tahu, suatu hari nanti Khairy pula mampu melukis gambar komik dan menghasilkan jalan cerita menarik. Cikgu nampak Khairy pun berbakat juga.” Kata cikgu Norazah hingga membuatkan Khairy tersengih-sengih sekali lagi.

“Ikhwan suka baca buka apa pula?” Cikgu Norazah mengajukan soalan pada Ikhwan pula yang dilihat senyap sahaja dari tadi.

“Emmm…saya pun suka baca buku cikgu.” Jawap Ikhwan antara dengar tak dengar suaranya.

“Alaa…Ikhwan cakaplah kau kan suka baca buku fiksyen dan buku yang ada banyak gambar pasal bangunan. Nak jadi arkitek lah kan! Rak buku kat rumah kau tu aku tengok banyak buku-buku macam tu. Malu-malu pulak nak bagi tahu,” Tiba-tiba Khairy pula yang bersuara.

“Hello kawan! Siapa Ikhwan ni? Tuan badan tak jawab, dia pulak sibuk menjawab.” Giliran Shafiqa pula menyampuk.

Merah padam muka Ikhwan. Dia mula berasa tidak senang dengan kata-kata Khairy. Rasa geram pun ada. Kalaulah cikgu Norazah tak ada di situ, mahu juga Ikhwan berbalas-balas dengan Khairy.  Disebabkan cikgu Norazah ada, malu pula Ikhwan jika tidak menjaga tingkah laku.

“Ohhh! Ikhwan bercita-cita nak jadi arkitek  rupanya. Dan suka baca buku fiksyen dan ada banyak buku mengenai bangunan. Baguslah tu. Cikgu doakan cita-cita Ikhwan nak jadi arkitek termakbul.

Gembira cikgu dengar, kamu semua suka membaca. Jadi, rasa-rasanya tidak adalah masa terluang terbiar begitu sahaja. Teruskanlah membaca dengan buku-buku yang kamu minati itu,”  Cikgu Norazah  faham situasi antara ketiga-tiga sahabat itu agak tegang sebab itulah dia segera mencelah.

“Okey, cikgu rasa nak berhenti dulu lah. Kamu bertiga teruslah berkemas, cikgu hendak ke dapur untuk sediakan makanan tengahari kita,” kata cikgu Norazah bingkas bangun dan menuju ke dapur.

Sementara itu, Ikhwan yang duduk di satu sudut turut leka membuat kerja-kerjanya. Cikgu Norazah memintanya tolong mengemaskan album-album yang sempat dikeluarkan dari kotak beberapa hari lalu. Cuma, dia tidak ada kesempatan untuk menyusunnya lagi di tempat yang sepatutnya.

Mula-mula tu, Ikhwan sibuk juga menyelak satu persatu album yang dipegangnya. Melihatnya leka menelek album berkenaan, Shafiqa pun menegurnya.

“Kau ni Ikhwan, asyik nak tengok album aje. Nanti lambatlah siap. Cepatlah sikit, banyak lagi kerja kita nak buat ni.” Kata Shafiqa yang sudahpun berpeluh-peluh mukanya.

“Rilekslah Fiqa. Aku tengok sikit-sikit saja bukan semua. Kau tengoklah ni gambar cikgu Norazah masa kat universiti. Lainkan…tapi cantik. Hah…yang ini gambar cikgu ambil ijazah.”  Ikhwan menjawab sambil menunjukkan album itu kepada Afiqa.

“Haah…yalah. Cantik ya. Tapi sekarang ni Cikgu Norazah cantik juga.
Tiba-tiba  Cikgu Norazah muncul dari dapur.

“Heiii…Ikhwan dan Fiqa buat apa tu. Ohh…tengok gambar lama cikgu ya. Kalau nak tengok boleh tetapi album merah jambu yang dalam kotak tu jangan buka ye. Itu banyak rahsia. Cikgu tidak izinkan buka tau. Janji tau jangan sesekali buka.”

“Rahsia cikgu!” Kata Ikhwan dan Shafiqa hampir serentak.

“Ya rahsia! Dalam gambar tu banyak kenangan .
“Ala..dengan kami sahajalah cikgu bercerita. Apabila cikgu cakap macam itu, lagilah kami berasa teringin nak tahu. Ceritalah cikgu. Kami janji tidak akan kongsikan,” rayu Shafiqa.

“Tak bolehlah Shafiqa. Insya-Allah suatu hari cikgu akan bagi kamu tengok. Tapi buat masa ini tidak boleh. Cikgu belum bersedia  untuk berkongsi dengan kamu semua. Shafiqa dan Ikhwan faham kan?”

Cikgu Norazah bertanya kepada kedua-dua anak muridnya dan berasa senang hati apabila mereka mengangguk dan akur dengan permintaannya.

Hampir separuh hari berlalu, kerja-kerja mengemas hampir 70 peratus siap. Walaupun penat, Ikhwan, Khairy dan Shafiqa terus leka dengan kerja-kerja yang diarahkan cikgu Norazah. 

Apabila terasa terlalu penat, mereka akan berhenti seketika dan adakala kedengaran mereka bertiga berderai ketawa. Barangkali ada perkara lucu yang dikongsi mereka.

Shafiqa juga sudah selesai membantu mengemas bilik cikgu Norazah, termasuk memasukkan dan menyusun baju-baju di dalam almari pakaian. 

Selesai kerja memasukkan baju di dalam almari, barulah kelihatan kemas sedikit bilik tidur berkenaan berbanding sebelum itu.

“Oooi…sedapnya bau ni. Tiba-tiba aje aku rasa laparlah,” Khairy tiba-tiba bersuara.

“Yalah! Bau sedap ni dari dapur. Mesti cikgu masak untuk makan tengahari kita,” Fiqa setuju dengan kata-kata Khairy.

“Isyy kau orang ni tak malulah. Entah-entah cikgu masak untuk makan sendiri. Kamu berdua pandai-pandai pulak. Cepatlah buat kerja tu.Tak apa kalau kamu berdua lapar, kita makan kat rumah aku aje. Nanti aku mintak tolong Bibik masakkan,” Ikhwan menegur kawan-kawannya kerana tidak mahu mereka terlalu berharap.

Sedang mereka rancak berbual, cikgu Norazah muncul dan berada di depan mereka.

“Okey, sekarang ini dah hampir Zohor. Cikgu rasa elok kita semua berhenti dan rehat. Kamu semua bolehlah bersihkah diri. Lepas tu, pergi sembahyang. Lepas semua sudah sembahyang kita makan sama-sama” Cikgu Norazah seolah-olah memberi perintah.

“Makan cikgu! Bestnya. Pagi tadi nasi goreng cikgu masak sedap. Makan tengahari ni pun lauknya mesti sedap. Tadi bau pun dah rasa sedap,” Khairy  menyampuk.

“Kalau kau bau pun rasa sedap, tak perlulah makan nanti,” Shafiqa tiba-tiba bersuara.
“Amboi! Banyak cantik kau. Nak ambil portion akulah kan! Sebab tu cakap macam tu,” jawab Khairy.

Sedang Khairy dan Shafiqa bersoal jawab, Ikhwan pula terus leka duduk di sudut tempatnya mengemas tadi.

Ikhwan duduk di situ sambil memegang album merah jambu itu. Tetapi apabila mendengar suara cikgu Norazah, cepat-cepat diletaknya semula album itu

Sebenarnya, Ikhwan hampir membukanya sekali lagi tetapi kemunculan cikgu Norazah membuatkan hasratnya terbantut.

“Apakah gambar kenangan itu?” Hati Ikhwan berkata-kata sendirian dan perasaannya  bagaikan begitu mendesak untuk mengetahui jawapannya. Tetapi melihat cikgu Norazah yang penuh  berahsia tidak mungkin Ikhwan mendapat  jawapan.


No comments:

Post a Comment