Tuesday, August 14, 2018

Roti Perata Coklat Pisang

Koleksi Kulinari


Roti perata coklat pisang

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Roti perata atau lebih dikenali sebagai roti canai adalah antara makanan kegemaran rakyat Malaysia.
           
Makanan yang diperbuat daripada tepung gandum ini, enak dicicah dengan kuah kari atau dal.

Lazimnya, untuk merasakan keenakan roti perata, kebanyakan lebih senang menikmatinya di warung ataupun di restoran kerana untuk membuat hidangan ini, agak rumit dan memerlukan kemahiran.
           
Namun, untuk memudahkan makanan ini dihidangkan di rumah dan pada bilabila masa, kini ia diperkenalkan dalam jenis makanan sejuk beku.
           
Justeru, bagi mereka yang teringin untuk menikmati roti perata, tetapi malas keluar makan di luar, bolehlah memilih roti perata sejuk beku sebagai pilihan kerana ia mudah disediakan.
           
Tanpa perlu bersusah payah, letak saja roti perata sejuk beku di dalam kuali, tidak sampai 10 minit, ia sudah pun masak dan boleh dimakan.

Malah, roti perata sejuk beku boleh disimpan lama sehingga tiga bulan, sekali gus anda boleh simpan stok di rumah dan jika teringin, terus saja memasaknya.
           
Hidangan kreatif
           


Lebih menarik, roti perata sejuk beku boleh dipelbagaikan menjadi hidangan kreatif yang lebih enak dan membangkitkan selera.
           
Minggu ini, Aroma Kulinari berkongsi resipi roti perata coklat pisang yang menggunakan roti perata sejuk beku sebagai bahan utama.

Resipi ini sesuai untuk anda yang sukakan kelainan atau mahu bertukar cita rasa kepada sesuatu yang manis dan rangup.
           
Dengan adunan coklat cair, pisang dan keju sebagai bahan tambahan, ia memberikan rasa manis yang menambat selera.
           
Hidangan ini pastinya disukai kanakkanak yang biasanya tidak suka mencecah roti perata bersama kuah kari atau dal.
           

Info
           
Roti perata atau roti canai
           
- Biasanya dijadikan hidangan sarapan atau minum petang.
           
- Bahan untuk membuatnya ialah tepung gandum, air dan garam.
           
- Dihasilkan daripada tepung gandum yang diuli menjadi doh, kemudian ditempa seperti lempeng dan seterusnya dibakar.
           

- Sedap dimakan bersama dal, kari atau sambal

Koleksi Artikel _ Sokong Cuti Bersalin 90 hari

ISU


Sokong cuti bersalin 90 hari

Oleh Nor Affizar Ibrahim


Cadangan kerajaan agar majikan di sektor swasta untuk menambah cuti bersalin daripada 60 hari hingga 90 hari masih lagi dipandang sinis segelintir pihak. Malah, ada majikan dilaporkan, berpandangan bahawa langkah itu akan membawa kerugian kewangan berbilion ringgit.
           
Setuju atau tidak, penambahan cuti bersalin ini sudah pun diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Bajet 2018. Justeru, pelaksanaan dasar pemberian cuti bersalin mandatori untuk sektor swasta perlu dilaksanakan secepat mungkin.
           
Perincian kerajaan wajar bagi mempercepatkan pelaksanaan pemberian peningkatan tempoh cuti bersalin itu, sekali gus membolehkan pindaan peruntukan undang-undang sedia ada dibuat bagi memastikan sektor swasta mewajibkan pemberian cuti bersalin selama 90 hari.
           
Pindaan yang bakal dilakukan membabitkan, Seksyen 37 Akta Kerja 1955; Seksyen 83 Ordinan Buruh Sabah Bab 67 dan Seksyen 84 Ordinan Buruh Sarawak Bab 76. Buat masa ini, peruntukan undang-undang sedia ada tidak menghalang mana-mana majikan untuk memberi cuti dan elaun bersalin kepada pekerja.
           
Rasionalnya, penambahan cuti bersalin ini secara tidak langsung tanda keprihatinan majikan dalam meningkatkan kebajikan pekerja. Sudah tiba masanya, majikan mengubah pemikiran tradisional dan konvensional berhubung isu pelaksanaan cuti bersalin 90 hari yang dicadangkan dalam sektor swasta.
           

Faedah sampingan pekerja
           
Seiring arus pemodenan, majikan sepatutnya tidak sekadar mementingkan perkiraan faktor kos, sebaliknya turut mempertimbangkan pemberian faedah sampingan terhadap pekerja. Hakikatnya, penambahan cuti bersalin kepada 90 hari seperti dilaksanakan perkhidmatan awam, bukan sahaja satu kehendak tetapi keperluan penting wanita.
           
Penambahan cuti bersalin juga tidak seharusnya dianggap isu peribadi atau satu tempoh merugikan sesebuah organisasi, sebaliknya dipercayai berupaya memacu produktiviti, selain mengurangkan tekanan di tempat kerja.
           
Selain itu, ia turut memberi galakan kerana wanita bukan sahaja sumber tenaga, tetapi merekalah individu mustahak dalam melahirkan generasi masa depan. Oleh itu, keistimewaan cuti bersalin selama 90 hari tidak wajar dianggap mempengaruhi produktiviti negara, sebaliknya mengeratkan rasa kasih sayang di antara ibu dan anak bagi mewujudkan masyarakat yang baik.
           
Penambahan cuti bersalin tidak dinafikan, membolehkan wanita terbabit memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bayi, termasuk memberi penyusuan eksklusif, selain memastikan kesihatan ibu benar-benar pulih sebelum memulakan tugas.
           
Banyak perkara sebenarnya yang perlu difikirkan oleh ibu terbabit selain memberikan tumpuan kepada bayi dengan memberi penyusuan eksklusif untuk tempoh tiga bulan, termasuk perlu memikirkan soal mendapatkan pengasuh untuk menguruskan bayi berkenaan.
           
Jadi, sekiranya mereka diberi cuti bersalin sehingga 90 hari, kehidupan mereka akan menjadi lebih teratur serta memberi ruang secukupnya kepada bayi, sekali gus selepas tempoh itu berakhir mereka boleh kembali memulakan kerja dengan tenang dan lebih bersemangat.
           
Apatah lagi, mengikut peruntukan perlindungan kesihatan ibu dan anak yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), majikan wajar menyediakan keperluan tertentu sepanjang tiga fasa kehidupan reproduktif wanita - kehamilan, melahirkan bayi dan selepas bersalin.
           

Usah pinggir pekerja wanita
           
Bagaimanapun, diharapkan selepas langkah kerajaan menetapkan cuti 90 hari untuk wanita bersalin bagi pekerja sektor swasta, majikan di negara ini tidak meminggirkan pekerja wanita. Majikan tidak boleh mengamalkan sikap diskriminasi dengan hanya menawarkan kerja pada orang lelaki saja dan enggan mengambil wanita bekerja.
           
Janganlah dengan ada kemudahan cuti ini nanti, peluang untuk wanita bekerja semakin terhad. Begitu juga dengan peluang pekerja wanita untuk naik pangkat dan gaji tidak seharusnya dinafikan.
           
Sebagai rakan kongsi transformasi besar negara, peranan tenaga kerja wanita amat diperlukan untuk membantu mencapai negara maju berpendapatan tinggi.
           

Kini, tiba masanya pendekatan baru dan menyeluruh dibuat agar hak, kepentingan serta kebajikan pekerja wanita sentiasa diberikan perhatian dan dinilai dari aspek kemanusiaan dan fitrah semula jadi wanita itu sendiri.

Kokeksi artikel - Destinasi meterai cinta

Teks Nor Affizar Ibrahim

Destinasi meterai cinta
           

Scotland terletak di utara United Kingdom, terkenal dengan keindahan semula jadi yang memukau kerana mempunyai lembah gunung yang cantik dan tasik mendamaikan.
           
Negara itu juga popular dengan istana lama yang gah dengan seni binanya menarik untuk dilawati. Antara istana yang menggamit tumpuan ramai adalah Istana di Edinburgh, Stirling dan Eilan Donean.
           
Setiap istana mempunyai sejarah tersendiri. Selain menyimpan sejuta keindahan alam dan memiliki istana indah, satu lagi yang menarik perhatian di Scotland ialah mempunyai destinasi perkahwinan paling popular di dunia iaitu Gretna Green.
                   
Pemanduan menuju Gretna Green, sebuah perkampungan kecil di selatan Scotland dari Driumlanrig Castle melalui kawasan pergunungan sekitar Dumfries, cukup menarik kerana disajikan dengan pemandangan begitu mempesona.
           
Laluan sejauh 65 kilometer atau sekitar satu jam itu turut membawa anda ke satu kawasan desa yang nyaman.
           
Lokasi istimewa ini suatu ketika dulu terkenal dengan majlis perkahwinan bagi pasangan yang melarikan diri dan berkahwin secara senyap-senyap. Ia terletak berhampiran Galloway dan juga berdekatan Sungai Esk.
           
Kampung ini menjadi tempat bersejarah di Scotland memandangkan kewujudannya begitu strategik dan menjadi laluan utama pengembara dari London menuju Edinburgh.
           
Tunaikan hasrat
           
Sampai di Desa Gretna Green, anda dapat merasakan inilah yang dikatakan 'syurga' bagi pasangan kahwin lari sejak 250 tahun silam. Beribu-ribu pasangan tekad melarikan diri ke desa itu, semata-mata ingin menunaikan hasrat mereka berkahwin di situ.
           
Penulis sampai sekitar jam 3.30 petang dan hari hampir gelap, namun kesuraman cuaca mengimbau kembali zaman kegemilangan tempat itu sebagai lokasi tumpuan muda muda memeterai cintai sejati mereka.
           
Berdasarkan sejarah awal Gretna Green, pada tahun 1754, kerajaan England mengeluarkan undangundang Lord Hardwicke's Marriage Act yang menyatakan, pasangan perlu mencapai umur 21 tahun sebelum boleh berkahwin dan acara perkahwinan mesti diadakan di gereja.
           
Jika pasangan hendak berkahwin masih di bawah umur 21 tahun, ibu bapa mereka berhak membuat permohonan agar pernikahan boleh dibatalkan.
           
Bagaimanapun, undang-undang itu hanya di England dan Wales tetapi tidak termaktub di Scotland. Justeru, pasangan di Wales yang ingin menghindari undang-undang berkenaan mengambil keputusan melarikan diri dan mengadakan upacara pernikahan di Gretna Green.
           
Ringkas dan mudah
           
Ini kerana ketika itu Gretna Green menjadi kampung pertama yang mudah dikunjungi berhampiran sempadan Scotland, berikutan pembinaan jalan yang melalui Graitney.
           
Undang-undang Scotland membenarkan pasangan bawah umur berkahwin tanpa tempat khusus dan acara perkahwinan berlangsung dengan pantas, mudah serta ringkas.
           
Pasangan hanya perlu mengemukakan dua saksi dan jaminan dari pasangan bahawa mereka berdua bebas untuk berkahwin.
           
Sehinggakan, Gretna Green sering dijadikan contoh idealisme bukti percintaan bagi pasangan bercinta; ironinya pernikahan berlaku dari rasa cinta dan menemukan dua insan untuk bersatu sekalipun ada halangan.
           
Tumpuan pelancong
           
Undang-undang Scotland ketika itu turut membenarkan 'perkahwinan tidak rasmi', dilakukan sesiapa saja sekali pun individu itu tidak mempunyai kuasa menjalankan upacara perkahwinan.
           
Pandai besi di Gretna, Richard Rennison, antara yang banyak melakukan upacara perkahwinan bagi pasangan kahwin lari dan ia dijalankan di dua tempat khusus iaitu The Old Blacksmith's Shop yang dibina pada tahun 1712 dan Gretna Hall Blacksmith's Shop (1710). Rennison dikatakan, menjalankan upacara perkahwinan terhadap lebih 5,000 pasangan kahwin lari dan mereka datang dengan pelbagai cerita tersendiri.
           
Kisah pasangan kahwin lari di Gretna Green menjadi cerita rakyat paling popular dan kini tempat itu adalah titik tumpuan dan tarikan kepada pelancong dari serata dunia. Malah, Gretna Green juga dijadikan simbol kasih sayang dan kini ia bukan lagi destinasi khusus perkahwinan untuk pasangan kahwin lari tetapi juga menjadi pilihan bagi pasangan yang mendapat restu keluarga tetapi ingin mengabadikan hari bahagia mereka di situ.
           
         
Info
           
 - Perjalanan Gretna Green dari Lake District mengambil masa 1 jam manakala dari Glasgow, Edinburgh dan Newcastle adalah 1 jam 30 minit.
           
 - Perjalanan Gretna Green dari Manchester atau Stranraer pula mengambil masa 2 jam 30 minit.
           
 - Dibuka setiap hari kecuali hari Krismas.










Koleksi Artikel - Kota Warna-warrni

Susunan Nor Affizar Ibrahim

Kota warna-warni









Meneroka bandar yang dilatari dengan bangunan berwarna-warni, pastinya memberikan tarikan tersendiri. Selain menampilkan keunikan, kreativiti dan karakter yang punyai daya tarikan tinggi, ia turut memberikan aura menceriakan.
           
Ini bukanlah mustahil kerana warna adalah salah satu unsur seni rupa yang membuatkan suatu ciptaan hidup dan lebih menarik perhatian.
           
Warna juga mempengaruhi perasaan dan fikiran, malah berupaya menyentuh kepekaan penglihatan sehingga merangsang perasaan, perhatian serta minat seseorang.
           
Segar dan cantik
           
Justeru, apabila berpeluang menjejakkan kaki ke bandar yang penuh dengan dengan warna terang dan ceria, pastinya tidak dapat menyangkal bahawa kota itu tampak segar dan cantik. Sehingga boleh melekakan dan tidak berasa jemu apabila berada di tempat seumpama itu.
           
Berikut antara beberapa bandar berwarna-warni di seluruh dunia yang memberikan pesona tarikan dan menggugat perasaan pengunjung. Tarikan warna-warni itu juga boleh memberi inspirasi kepada jurugambar untuk mengembara dan merakam foto di sana.
           
Bo-Kaap, Afrika Selatan
           
Bo-Kaap terletak di kawasan lereng Signal Hill, berhampiran Cape Town, Afrika Selatan, sering dirujuk sebagai penempatan suku kaum Melayu. Di situ, kebanyakan rumah asal dibina pada 1760 hingga 1850 manakala jalan berbatu adalah tinggalan abad ke-18.
           
Kawasan ini dipenuhi bangunan berwarna dalam kelompok tersendiri. Rumah dicat dalam warna terang, dari rona ungu dan biru hinggalah hijau dan kuning. Dikatakan, ia simbol kegembiraan menandakan dasar apartheid berakhir pada tahun 90-an.
           
Wroclaw, Poland
           
Bandar Wroclaw, keempat terbesar dan salah satu bandar yang paling indah di Poland. Bandar ini mempunyai hubungan kuat dengan Katolik Rom, sama seperti sebahagian besar negara di Eropah, justeru terdapat banyak gereja yang berwarna-warni menghiasi bandar ini.
           
Wroclaw dikenali European Capital of Culture tahun 2016 dan terkenal dengan budaya santai, jambatan serta pulau indah.
           
Kehidupan malam di bandar dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Tengah-tengah bandar adalah Market Square, bandar lama, yang menampilkan deretan bangunan berwarna-warni dan memberikan banyak peluang untuk fotografi.
           

Guanajuato, Mexico
           
Ditemui pada tahun 1554, Guanajuota adalah bandar kecil tetapi kaya dengan arkitektur kolonial Sepanyol. Guanajuota membawa maksud bukit katak kerana haiwan itu simbol kebijaksanaan manakala bangunan berwarna hijau mempunyai banyak maksud tersurat dan tersirat bagi penduduk tempatan.
           
Struktur warna seperti pelangi di bandar ini terletak berdekatan lombong perak di mana keduaduanya adalah Tapak Warisan Dunia UNESCO. Guanjuota, dianggap penduduk tempatan dan pelancong, tempat paling indah di Mexico.
           
Ladang yang berwarna-warni dan bangunan kolonial di semua arah ke bukit, dengan rangkaian terowong bawah tanah yang berfungsi sebagai jalan utama, menjadikan ia bandar menarik untuk diteroka.
           

 Riomaggiore, Itali
           
Bandar Riomaggiore kaya dengan warna. Kebanyakan bangunan yang terdiri daripada batu pasir ini dicat dengan pelbagai warna sehingga menjadi lokasi pelancong untuk bergambar tanpa perlu mencari latar-belakang yang menarik.
           
Warna kuning sinar matahari, oren terang dan merah jambu tembikai di sekelilingnya, membatasi biru cerah di langit serta menimbulkan perasaan perayaan.
           

 La Boca, Buenos Aires, Argentina
           
La Boca terletak di Buenos Aires. Ia destinasi popular bagi pelancong yang melawat Argentina dan salah satu tarikan di Buenos Aires.
           
Ini berikutan, rumah dibina berwarna-warni. Dalam kalangan peminat sukan, Boca terkenal sebagai tempat kelab bola sepak terkenal dunia Boca Juniors



Inspirasi Bekerja Di Rumah

Teks Nor Affizar Ibrahim
Inspirasi Bekerja Di Rumah


Ebuku berjudul. Inspirasi Bekerja Di Rumah menarik dijadikan koleksi kerana ia memberikan idea pelbagai kerjaya dan juga suntikan semangat kepada  suri rumah untuk menjana pendapatan sendiri, biarpun hanya dari rumah.

Ebuku tulisan, Masayu Ahmad ini menghimpunkan 13 kisah  ibu yang berlainan cerita dan pengalaman,, bagaimana mereka bermula serta subur inspirasi untuk bekerja dari rumah.

Ada di antaranya pernah bermula dengan sumber yang ada, pernah berkedai dan kemudian kembali mengemudi hanya dari rumah.
Kisah dipaparkan tentunya memberikan inspirisai  kepada  wanita  lain yang baru bermula atau sedang berada turun naik semangat.

Antara yang menarik ialah kisah Dila Aris yang pernah mengikuti kelas kemahiran menjahit di Baitulmal dan hanya 2 jam setiap sesi belajar .

Tetapi kini beliau sudah  mampu  mengadakan Kelas Jahitan secara intensif.

Dikurniakan bakat menjahit  dan banyak belajar sendiri dengan cara melihat dan membelek-belek baju contoh, Dila akhirnya boleh menguasai sepernuhnya bidang jahitan, sekali gus menjana pendapatan tetap.


Kisah Fidawati Osman yang pernah bekerja di syarikat telekomunikasi terkenal tetapi berhenti akhirnya kerana ingin menumpukan perhatian kepada keluarga juga menarik untuk dijadikan penyuntik semangat.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda bidang Pentadbiran & Perniagaan dari Universiti tempatan ini akui, berhenti kerja bukanlah satu keputusan mudah dibuatnya.

Namun, beliau nekad dan memilih perniagaan kek dan pastri dari rumah secara sepenuh masa dan memulakan operasi Amida Homemade Bakery.

Apabila suami bertugas di negara Korea Selatan dan Dubai dari tahun 2003 hingga 2012, Fidawati menemaninya dan pada masa sama terus mengembangkan Amida Homemade Bakery di negara orang.

Sekembalinya di Malaysia, beliau meneruskan perniagaan ini dan kini pelanggannya semakin meningkat dari individu hinggalah syarikat koporat.

Moga perkongsian dipaparkan di dalam Inspirasi Bekerja Di Rumah dapat  memberikan lebih keyakinan kepada suri rumah untuk berdikari dan yakin dengan kemahiran dimiliki.


Penulis: Masayu Ahmad


URL: www.masayuahmad. com

Monday, August 13, 2018

Kurus Dengan Eat Clean

Teks Nor Affizar Ibrahim
Kurus Dengan Eat Clean

Kebanyakan individu akan berasa bimbang apabila berat badannya bertambah dan terus bertambah. Justeru, mula mengambil langkah tertentu untuk menurunkan berat badan.

Untuk mengetahui cara menguruskan berat badan dengan sihat, dapatkanlah ebook, Kurus Dengan Eat Clean karya Laila Ismail.

Di dalam ebuku ini, diterangkan maksud Eat Clean iaitu cara pemakanan sihat yang merangkumi semua aspek makronutrien diperlukan oleh tubuh antaranya, karbohidrat, protein, lemak dan serat.

Laila turut menjelaskan kepada pembaca konsep Eat Clean iaitu perlu makan dengan protein yang betul dan mengambil ¼ karbohidrat dan protein, di samping ½ serat.

Bagi memberikan lebih kefahaman, ebuku ini memberikan panduan mengenai perkara yang perlu dielakkan dan dilakukan semasa menurunkan berat badan menggunakan kaedah Eat Clean.

Antara perkara perlu dielakkan semasa menurunkan berat badan ialah menghindari makanan yang diproses, berlemak dan bergoreng. Individu turut disarankan, elak makan di luar atau kurangkan kekerapan makan di luar.

Perkara yang perlu dilakukan semasa menurunkan berat badan pula adalah makan secara seimbang iaitu kombinasi karbohidrat, protein, lemak, serat di dalam setiap hidangan.  Pada masa sama, dinasihatkan makan pada waktu yang tetap setiap hari.

Ebuku Kurus Dengan Eat Clean turut memuatkan beberapa resepi untuk dicuba dan diamalkan oleh mereka yang memilih menggunakan kaedah berkenaan bagi menguruskan berat badan.

  


Penulis : Laila Ismail


URL: www.kurusdenganeatclean.blogspot.com

Jalan Menuju Baitullah

Teks Nor Affizar Ibrahim
Jalan Menuju Baitullah


Baru-baru ini, saya sempat meluangkan masa membaca ebook tulisan Noorulazwaliza Noh mengenai pengalaman kali pertamanya menjejakkan kaki ke Baitullah dan berpuasa di sana.

Ibu dua anak itu berangkat ke Makkah pada pertengahan Mei tahun ini dan terpaksa meninggalkan dua puteranya berusia 4 tahun dan 9 tahun.

Walaupun berasa sedih untuk berpisah beberapa hari dengan keluarga, Noorulazwaliza cekalkan hati demi memenuhi hasrat dan jiwanya yang meronta-ronta sejak beberapa tahun lalu ingin menunaikan umrah.

Melalui ebook berjudul, Jalan Menuju Baitullah, Noorulazwaliza mencatatkan cerita dan pengalaman yang dilaluinya sepanjang berada di Tanah Suci itu.

Menariknya, ebook itu turut mengandungi maklumat mengenai persediaan awal perlu dilakukan jemaah seebelum berangkat.

Selain itu penulis  turut memuatkan  cara-cara perlaksanaan rukun umrah dan berkongsi beberapa doa khusus yang boleh diamalkan ketika menunaikan ibadat di sana.

Bagi yang kali pertama menunaikan ibadat umrah, bolehlah menjadikan ebook ini panduan sebelum keberangkatan ke tanah suci.


Penulis:  Noorulazwaliza Noh







AMARAN

AMARAN

Amaran

1. Ebook ini adalah hak cipta terpelihara www.sersmenulis.com 

2. Anda dilarang sama sekali sama ada menyalin, mengubah, mengedar atau menjual ebook ini kepada pihak lain. 

3. Sebarang tindakan yang menyalahi etika undang-undang boleh dikenakan tindakan undang undang.

4. Oleh itu hendaklah melaporkan kepada pihak admin sekiranya menerima ebook ini tanpa melalui www.servismenulis.com atau mana mana pengedar online yang sah. 

5. Tindakan anda amat dihargai bagi membanteras kegiatan kegiatan sebegini.

6. Bagi anda yang mahu atau mengedar ebook ini boleh mendaftar sebagai pengurus online atau menghubungi affizar@gmail.com
Sekian, terima kasih.

Nor Affizar Ibrahim
www.servismenulis.com

Kebaikan Upah Penulis Dan Caj Servis

Kebaikan Upah Penulis dan Caj Servis

“Kalau upah penulis apa kita dapat?”
“Berbaloi ke keluar duit bayar upah ni?”
“Mahal sangat, nantilah fikir dulu.”
“Nanti kita dah bayar, kerja tak buat.”
“Macam membazir je kalau upah.”

Satu persatu soalan seperti di atas mungkin akan bermain di fikiran anda yang masih teragak-agak sama ada perlu atau tidak, mengambil khidmat penulis upahan.

Keinginan untuk mengambil atau menggunakan khidmat penulis upahan memang ada tetapi ada beberapa keraguan yang timbul. Justeru, hasrat itu pun terbantut.

Soalan - “Kalau upah penulis apa kita dapat?” Antara soalan yang kerap dilontarkan sebelum keputusan mengambil penulis upahan diputuskan. 

Saya tidak salahkan anda mengajukan kembali soalan itu apabila disarankan mengambil khidmat penulis upah untuk membuat kerja penulisan untuk anda.
  
Pelaburan jangka panjang

Wang anda dan anda yang akan mengeluarkan perbelanjaan!  Jadi, anda sememanngnya tidak salah untuk bertanyakan soalan itu. Lumrah, apabila kita mengeluarkan duit, sudah tentu empunya diri ingin tahu apakah faedah yang diperolehi.

Jawapan saya – “Banyak manfaat sebenarnya,” Contohnya, untuk penulisan buku biografi atau profail, pertama sekali anda boleh menganggapnya ia sebagai pelaburan jangka panjang.

Ini kerana buku biografi dan profil itu boleh dijadikan sebagai ‘bukti’ atau proposal anda untuk mengembangkan perniagaan serta membina rangkai kerja lebih luas.

Ini kerana di dalam buku berkenaan sudah tentu tercatat kesungguhan dan kewibawaan anda untuk membina kejayaan mengenai apa yang diusahakan.


Cara pantas

Sebagai usahawan atau individu yang menjalankan perniagaan, sudah tentu anda mahu dikenali dan mendekati orang ramai. Jadi, dengan adanya buku biografi atau profil itu, ia salah satu cara terpantas untuk memenuhi hasrat itu.

Apabila siap pula, pastinya buku itu akan disimpan untuk rujukan diri sendiri dan juga individu lain.

Ini seharusnya menjadi kebanggaan kerana secara tidak langsung anda menjadi sifu dan dapat membimbing orang lain. Sesungguhnya, ilmu dikongsi memberikan lebih keberkatan.





Kerja lebih teratur



Banyak lagi faedah lain apabila anda mendapatkan khidmat penulis upahan, termasuklan ia tidak akan merugikan anda jika betul cara dan strateginya. 

Hendak menulis sendiri, mungkin anda tidak ada skil mengarang. Hendak belajar menulis, ia bukan sehari dua.

Lebih-lebih lagi, jika anda sendiri malas belajar atau sememangnya tidak berminat dengan dunia penulisan!


Jika hendak belajar menulis pula, adakah anda mempunyai banyak masa untuk berbuat demikian? Sedangkan, rutin setiap hari pun sudah cukup memenatkan anda.
Anda perlu tahu bahawa menulis adalah skil penting bukan sahaja untuk menulis biografi atau profil tetapi juga bagi menghasilkan pemasaran yang berkesan.
Begitu juga untuk merangka strategi sesuatu kempen iklan dan mempromosikan produk guna Fb Ads, anda perlu menulis.
Justeru, jika anda tidak ada skil itu adalah lebih baik untuk mendapatkan khidmat penulis upahan yang arif mengarang dan mengguna perkataan atau tatabahasa betul serta boleh difahami untuk sesuatu artikel promosi.  
Saya percaya, setiap kerja dan perancangan akan lebih teratur lagi jika anda mendapatkan khidmat individu yang ada skil penulisan untuk membantu anda.


 Jimatkan kos

Saya tahu untuk kerja-kerja promosi yang memerlukan penulisan iklan seperti copywriting dan terjemahan, ada usahawan, agen atau stokis yang sanggup mengambil pekerja tetap dan membayar gaji mereka.

Pada hal, jika dihitung semula sudah tentu mengambil pekerja memerlukan kos lebih tinggi.

Ini kerana selain daripada gaji, ada bebanan lain yang perlu ditanggung oleh anda sebagai majikan.


 Ini termasuklah, pembayaran perubatan, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bayaran gaji lebih masa dan lain-lain lagi. Tidakkah semua itu membebankan?

Lebih menyesakkan fikiran,  jika pekerja itu tidak boleh atau mampu melakukan kerja berkenaan.

Berbanding jika anda mengambil khidmat penulis upahan, hanya perlu bayar caj upah menulis dan tiada kos sampingan lain.

Penulis itu pula sudah tahu apa yang hendak ditulis dan faham apa kemahuan kamu.

Anda hanya perlu membuat bayaran penuh apabila semua kerja siap seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.  Semua ini jauh lebih menjimatkan masa, tenaga dan juga wang!

Jadi, jika anda tanya “Berbaloi ke keluar duit bayar upah ni?”  Jawapan saya – Memang berbaloi-baloi!

  
Murah berbanding iklan berbayar

Saya juga yakin, sebagai peniaga mahupun usahawan anda tentu pernah mendengar cara pengiklanan berbayar,  Fb Ads dan Google Ads.

Kedua-dua servis periklanan berbayar ini tidak disangkal, kaedah pemasaran paling cepat untuk mendapatkan hasil.

Bagaimanapun, kedua-dua kaedah pemasaran ini perlukan kemahiran. Jika tidak, sudah pasti duit pelaburan anda untuk pengiklanan ini akan lebur begitu sahaja.

Kos untuk kedua-dua servis pengiklanan ini juga tidak menentu. Ia bergantung kepada kepakaran dan pengalaman individu yang menjalankan servis pengiklanan melalui dua medium berkenaan.

Iklan anda juga hanya akan berjalan jika anda mempunyai bajet untuk menggunakan dua servis perngiklanan ini. Tiada bajet, bermakna tiada iklan.

Namun, menerusi servis advertorial iaitu perkhidmatan pengiklanan melalui kandungan editorial ataupun dikenali sebagai iklan melalui penulisan review ia boleh menjimatkan kos.

Segala maklumat berkaitan produk atau servis anda boleh dituliskan secara lengkap oleh penulis upahan.

Hasil tulisan advertorial itu kemudiannya bolehlah dimasukkan di dalam blog atau mana-mana laman web, membuat risalah dan sebagainya,  

Bermula dari kelebihan produk atau servis anda, siapa pemiliknya, apa tawaran dan bagaimana untuk menghubungi pemilik produk atau servis.

Apa yang pasti, artikel ditulis penulis upahan itu boleh digunakan untuk anda berkongsi maklumat dengan mereka yang sedang mencari maklumat menerusi internet mengenai produk atau perkhidamatan ditawarkan.

Sebagai penjual produk dan individu yang menawarkan produk atau perkhidmatan, anda perlu berkongsi lebih banyak informasi kepada prospek, 

Dengan berkongsikan maklumat yang menarik, berguna dan padat menerusi artikel, anda akan dapat membina kepercayaan  dalam diri pelanggan terhadap anda.

Oleh itu, dapatkanlah khidmat penulis upahan yang sememangnya sentiasa bersedia membantu anda untuk menghasilkan seberapa banyak mungkin artikel diperlukan.

“Nanti kita dah bayar, kerja tak buat.” Jangan risau mengenai hal ini.
Setiap tugasan hanya perlu pembayaran 30 peratus sahaja apabila kedua-dua pihak sudah pun bersetuju.

Baki selebihnya hanya dibayar selepas semua kerja selesai disiapkan seperti mana diinginkan oleh pelanggan.

Oleh sebab itulah pentingnya perbincangan antara usahawan dan penulis upahan. Pastikan adanya kata sepakat atau sefahaman antara kedua-dua belah pihak  terlebih dahulu sebelum bersetuju dan membuat keputusan.

  
Penulisan berkualiti

Satu lagi kelebihan mengupah penulis upahan ialah anda dapat memastikan hasil penulisan yang berkualiti, sama ada untuk biografi atau profil dan artikel periklanan.

Ini penting kerana penulisan berkualiti seharusnya mampu menarik minat pembaca untuk terus membaca dan mengetahui lebih lanjut.

Ciri-ciri penulisan berkualiti dimaksudkan ini antaranya;


Penggunaan ejaan penuh dan tatabahasa betul
·        * Artikel disampaikan dalam pelbagai gaya penulisan
·       * Berupaya membuat pembaca menyelami dan memahami isi kandungan yang ingin disampaikan
     * Penulisan mesra SEO bagi memudahkan laman web  berada dalam top ranking carian Go

Sebagai usahawan, anda tentu berpuas hati dengan hasil kerja bermutu. Lebih-lebih lagi jika ia dapat membantu melonjakkan pasaran dan permintaan.


Penuhi matlamat


Wang bukanlah segala-galanya dalam menghasilkan sesuatu penulisan bagi penulis upahan yang beretika. 

Justeru, tidak hairanlah penulis upahan yang mempunyai ciri-ciri itu akan sentiasa melakukan terbaik dan berusaha memenuhi  matlamat pelanggannya.

Ia supaya kedua-dua belah pihak berpuas hati apabila ada tugasan yang perlu diselesaikan.

Untuk itu, setiap tugasan menyiapkan artikel dan copywriting pasti akan disiapkan mengikut tempoh atau deadline yang sudah ditetapkan dan dipersetujui.

Pada masa sama, pelanggan tidak perlu risaukan kualiti penulisan sekalipun tempoh deadline diberikan adalah singkat. Tiba deadline diberi, pasti akan disiapkan.

Saya yakin, dengan penulisan berkualiti dan menarik ia pasti dapat menarik minat pembaca untuk kongsikan kepada lebih ramai orang sekaligus menaikkan trafik laman web.

Penulisan copywriting yang mantap juga  mampu menarik minat dan perhatian prospek anda membeli produk atau servis ditawarkan.


Harga Servis

Buat masa ini, saya menawarkan servis kerja-kerja penulisan upahan hanya dalam Bahasa Melayu.

Bagaimanapun, saya turut menawarkan perkhidmatan penterjemahan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu.

Adakah saya mengenakan caj yang mahal? Tentu sekali TIDAK! Saya selalu menetapkan niat untuk membantu mereka yang perlukan bantuan.

Jika individu atau usahawan yang saya bantu itu berjaya dan terus berjaya, ia sebenarnya menjadi satu kepuasan serta kebanggaan kepada saya.

Justeru, setiap kali saya mengenakan caj atas setiap perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan,  ia adalah fleksibel dan semuanya berdasarkan kata sepakat.

Jadi, diharapkan anda tidak segan silu berhubung dengan saya jika ingin mendapatkan khidmat saya.

Bagaimanapun, perkhidmatan saya tawarkan tidak merangkumi artikel atau perkhidmatan berunsur lucah, yang boleh membawa sentiviti, politik,  berunsur hasutan, ancaman dan ugutan serta yang menyalahi dan melanggar undang-undang ataupun adab susila.

Namun, sebagai panduan berikut adalah caj bayaran bagi perkhidmatan yang saya tawarkan;




i.  Biografi/Profil  - Bermula dari RM5000  (Harga ditetapkan berdasarkan konsep penulisan, bahan-bahan disediakan dan   kajian serta penyelidikan dibuat)


*   
     ii. Artikel periklanan (Review)/Copywriting - Bermula dari RM50.00 untuk 500 patah perkataan (Untuk artikel saja tanpa pemasaran internet).



iii. Artikel periklanan (Review)/Copywriting  - Bermula dari RM300   Untuk sekali dengan pakej pemasaran internet) seperti Facebook, dimuat turun ke dalam media sosial Panduanterkini.com dan kumpulan lain, linkedin, Instagram. 



iv. Penyuntingan artikel (Editing) – Bermula dari RM50.00 (Harga ditetapkan berdasarkan jumlah patah perkataan, teknikal dan gaya serta ciri penulisan asal) 



v. Penyelarasan artikel (Proofreading) – Bermula dari RM50.00 (Harga ditetapkan berdasarkan jumlah patah perkataan, teknikal dan  gaya serta ciri penulisan asal)



vi. Penterjemahan artikel – Bermula 70 sen sepatah perkataan                (Harga ditetapkan berdasarkan jumlah patah perkataan, teknikal dan gaya serta ciri penulisan asal)                                                                                                                                                                          
    

     

     Bagi yang berminat bolehlah menghubungi saya melalui email affizar@gmail.com atau www.servismenulis.blogspot.com dan facebook Fizz Zainun


Apa pun, bagi saya adalah lebih baik kita saling membantu dan berkongsi rezeki kerana pada akhirnya, semua yang datang serta dimiliki itu adalah daripada-Nya.