Sunday, November 18, 2018

Tulis ya kisah saya!


Teks Nor Affizar Ibrahim

Tulis ya kisah saya!

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, isu LGBT marak diperbahaskan di negara ini. LGBT adalah singkatan dari Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender.


Ada yang melihat, golongan terbabit dalam hubungan songsang ini sudah melampau dan keterlaluan.


Lebih-lebih lagi, ada yang lantang menuntut haknya, namun ada di antara tuntutan itu sememangnya sukar diterima akal fikiran waras.


Memperkatakan isu LGBT ini, ia mengingatkan pengalaman saya ketika menjadi wartawan di REMAJA. 


Waktu itu saya sudah pun bekerja setahun lebih di majalah itu yang bukan sahaja memaparkan gaya hidup remaja tetapi juga berkaitan isu sosial remaja.


Oleh kerana majalah itu mensasarkan golongan remaja, jadi sudah tentu kebanyakan pembacanya adalah golongan terbabit.


Antara ruangan popular ketika saya menjadi penulis di majalah REMAJA ialah kisah pengakuan. 


Tetamu tak diundang
Suatu hari, REMAJA dikunjungi seorang remaja lelaki berusia dalam lingkungan 16 tahun. Remaja ini datang bersendirian dan ingin berjumpa Editor REMAJA, Richie Rachman.


Pada mulanya, saya tidaklah tahu apa tujuan sebenarnya datang ke pejabat. Sebagai tetamu tentu sahaja dia dilayani. Dia kemudian, dibawa ke sebuah bilik supaya lebih selesa untuk berbicara.


Berada di dalam bilik itu pada awalnya hanya Richie dan remaja itu. Lima minit kemudian, Richie memanggil saya untuk turut serta.


Saya yang ketika itu sibuk mengetuk story terus menangguhkan kerja.


“Affizar mari sini! Adik ni katanya nak kongsi cerita kisahnya. Kau dengarlah, kot boleh buat kisah pengakuan.” Kata bos saya.


Tanpa banyak soal jawab, saya pun bawa buku catatan dan pen, terus masuk ke bilik itu.

Richie memperkenalkan remaja itu kepada saya. 

Remaja lelaki itu berkulit putih dan kurus manakala ketinggiannya hampir sama dengan saya.


Pakaiannya pula tampak kemas dan bergaya tidak seperti budak sekolah walaupun usianya dalam lingkungan belasan tahun. Perwatakan dan lagaknya pula agak lembut.  Istilah orang kini, macam ‘kunyit’.


Nak kongsi cerita

“Saya nak cerita, tulis ya kisah saya.” Kata remaja itu sebaik saya duduk mengadapnya.

“Akak nak tahu…saya ni ada boy friend tau. Dia lelaki Mat Salleh.” Telan air liur dibuatnya  apabila mendengar cerita awalnya itu.


Saya mula berasa tidak selesa berdepan dengan remaja berkenaan. Tetapi terpaksa berpura-pura dan mula menanyakan beberapa soalan kepadanya.


“Mana awak jumpa boy friend tu dan dia kerja apa?” Saya cuba menggali kisah peribadinya.

Remaja itu memberitahu, dia berjumpa dengan boy friendnya itu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.



“Dulu tiap-tiap malam, saya suka lepak kat Dataran Merdeka. Suatu malam, sedang saya lepak-lepak, boy friend saya datang dekat dan ingin berkenalan dengan saya. Katanya, nak jadi adik angkat.”


Kata remaja itu, tentulah dia suka sebab kesunyian, keluarga pula tidak pernah ambil kisah halnya.


“Dia baik kak, macam-macam dia belikan saya. Suatu hari, dia ajak saya temankannya ke hotel. Saya pun ikut lah.” 

Berlaku hubungan songsang

Sejak mengikuti boy friendnya ke hotel itu, bermulalah detik hitam dalam hidupnya. Hubungan songsang hampir setiap hari berlaku di antara remaja itu dan abang angkatnya.


“Saya tak suka kak sebab sakit tetapi Mat Salleh itu selalu sahaja nak. Saya tak tahu nak elak. Tetapi saya suka dan berasa gembira setiap kali bersama dengan dia. Akak nak tahu macam mana dia buat kat saya?”


Sebaik sahaja berkata demikian, remaja itu terus berdiri. Dengan tubuh melentuk dia meletakkan separuh badannya dia atas meja.


“Dah! Dah! Tak payah nak demo!” Saya cepat-cepat mematahkan aksinya itu. Sungguh sebenarnya, saya terkejut seketika kelakuannya ketika itu.


Saya berasa lega apabila remaja itu duduk kembali di kerusinya.


“Habis apa awak nak buat sekarang. Tinggal dan lupakanlah boy friend  awak itu.” Saya menyarankan kepada remaja itu.


Namun, tiada jawapan dari remaja itu. Sebaliknya, dia sibuk bertanya; “Akak akan tuliskan cerita saya.”


Temubual itu berlangsung lebih kurang 30 minit. Banyak perkara lagi soalan diajukan, tapi biarlah saya tidak menceritakannya.


Yang pasti, kesudahannya saya tidak pun menulis cerita remaja itu. Saya begitu simpati dengan apa yang dilaluinya.  


Jiwa kacau
Menerusi tembual itu, saya dapat rumuskan remaja itu dalam keadaan jiwa kacau. Dia tidak ada tempat untuk bercerita.  

Saya juga percaya, apa yang diceritanya mengenai dirinya dengan Mat Salleh itu memang berlaku!


Sebenarnya, banyak faktor berlakunya LGBT. Pertama, faktor lingkungan, misalnya saja kerana salah pergaulan.


Apabila seseorang berteman dengan individu golongan LGBT, ada kecenderungan dia akan ikut menjadi LGBT disebabkan faktor pengaruh teman.


Kedua, faktor keluarga. Jika seorang anak mengalami kekerasan di dalam keluarganya, ia 
boleh menjadi salah satu faktor yang menyebabkan dia menjadi LGBT.


Contohnya, anak perempuan yang mendapatkan perlakukan kasar dari ayah atau saudara laki-lakinya akan berfikir untuk membenci lawan jenisnya. Lalu, dia memilih untuk hidup sebagai LGBT kerana pengalaman hidup yang tidak menyeronokkan.



Faktor lain adalah genetik. Penyimpangan seksual seperti lesbian, gay, biseksual ataupun transgender boleh tejadi berikutan keturunan dari anggota keluarga. Mungkin juga ada fakor lain yang menyebabkan berlakunya LGBT.



Naratifnya, masyarakat di Malaysia melihat gejala LGBT sebagai sesuatu yang menjijikkan dan merosakkan kerana ia boleh mengakibatkan pelbagai impak kepada individu mahupun masyarakat.

Berbalik kisah remaja tadi, itu adalah pertemuan pertama dan terakhir saya dengannya. 

Sejak dari hari itu, dia pun tidak pernah muncul lagi di REMAJA dan saya tidak tahu apa yang berlaku seterusnya kepadanya.


Saya amat berharap, ada 'tangan' yang menghulur untuk membantu remaja itu supaya dia menemui jalan pulang dan diberikan hidayah-Nya.


No comments:

Post a Comment