Thursday, November 15, 2018

Yeay! Mama sudah 'resign'


Teks Nor Affizar Ibrahim

Yeay! Mama sudah ‘resgin’


Ebuku berjudul, Yeay! Mama sudah ‘resign’ ini sudah lama saya terima untuk dibuat ulasan. Namun, kesibukan masa, saya terpaksa menangguh membacanya.
 
Apabila ada kelapangan pula, saya terlupa langsung mengenai ebuku ini, walaupun ketika mula-mula menerimanya dulu saya memang teruja untuk membacanya.

Alhamdulillah, semalam akhirnya saya berjaya juga menyudahkan pembacaan ebuku Yeay! Mama sudah ‘resign’.

Seperti yang saya duga, buku ini pasti akan memberikan inspirasi kepada ramai wanita, khususnya yang ingin meninggalkan alam kerjaya sepenuh masa dan menjadi  WHAM
(Work at Home Moms).

Tuntutan antara kerjaya dan mencari wang untuk hidup lebih selesa serta menghabiskan masa lebih banyak masa dengan anak dan melihatnya membesar di depan mata, sememangnya sering menjadi dilema bagi kebanyakan wanita yang sudah berumah tangga.

Lebih-lebih lagi, jika wanita itu mempunyai anak yang masih kecil dan perlukan perhatian. Rutin hidup kalut setiap pagi untuk menyiapkan dan menghantar anak ke sekolah.

Balik dari kerja pula, hari hampir senja dan adakala melewati jam 8.00 malam, hingga tiada kesempatan untuk membelai anak. Semua itu dirasakan bagaikan satu kerugian besar dalam hidup, lalu seringlah terdetik di hati untuk berhenti kerja.

Bagaimanpun, keputusan berhenti kerja bukan semudah memetik jari, ada persimpangan yang perlu dipilih.

Selain itu banyak faktor perlu diambilkira, termasuklah kos kehidupan semakin tinggi yang perlukan pendapatan tambahan, bimbang akan mendapat tentangan, takut tidak dapat membiasakan diri dengan kehidupan baharu, memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas tiada kerja dan sebagainya.

Namun, semua keresahan dan persoalan itu anda akan dapat jawapannya apabila membaca ebuku Yeay Mama sudah ‘resign’.

Ebuku ini terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, ia membawa kisah pengalaman lima wanita mengenai hasrat ingin berhenti kerja dan kenapa mereka mahu meninggalkan kerjaya walaupun ada di antaranya sudah pun lama membina kerjaya.

Antara yang berkongsi cerita ialah Nor Atiqah Hamidi yang pernah bekerja sebagai pelukis pelan selama enam tahun.

Beliau memendam impian menjadi surirumah dan membesarkan sendiri anak tanpa ada campur tangan pengasuh. Namun, agak mustahil impian direalisasikan dan berhenti kerja secara mendadak.
   

Apabila suami ditugaskan bekerja di Kuala Lumpur, bermulalah detik hidup berjauahan sebagai suami isteri.

Keadaan itulah juga menyebabkan Nor Atiqah cuba memenuhi impian dengna meneroka pelbagai peluang untuk  menjadi WHAM.

Beliau mula belajar berniaga dalam talian dan menjadi dropship baju Muslimah. Setahun selepas itu Nor Atiqah berhenti kerja dan berasa lebih gembira apabila hasrat menjadi WHAM berjaya direalisasikan.  

Berbeza dengan cerita, Rahayu Abdul Rashid yang mengambil keputusan berhenti kerja kerana berasa tidak gembira lagi apabila ditukarkan ke bahagian baharu. Beliau berasa di bahagian baharu banyak bebanan kerja dan memberi lebih tekanan.

Ibu dua anak ini lulusan Ijazah Sarjan Muda (Kepujian) Teknologi Maklumat (Sistem Informasi Perniagaan). Rahayu berasa lebih penat bekerja apabila suami bertugas out station.

Pada masa sama, Rahayu turut berasakan beliau lebih mementing kerjaya daripada anaknya. Keadaan itu lebih dirasakan apabila perlu pergi ke kerja walaupun anak tidak sihat.

Akhirnya, selepas beberapa lama bergelut dengan jiwa yang tidak menggembirakan dan habis membuat perhitungan, beliau menghantar notis meletak jawatan kepada majikan.

Rahayu kemudiannya memilih menjalankan perniagaan MLM selepas berhenti kerja dan ternyata pilihan itu lebih membahagiakannya bersama anak dan suami.  

Hakikatnya, kebanyakan mereka yang memutuskan menjadi WHAM tidak duduk goyang kaki sahaja di rumah.

Mereka sentiasa kreatif berfikir untuk mencari sumber pendapatan baharu. Paling penting, mereka bebas tekanan di tempat kerja dan hidup lebih bahagia dapat sentiasa bersama anak.

Sementara itu, Bahagian 2 menumpukan soal jawab yang merungkai pelbagai persoalan mengenai kehidupan sebagai WHAM.

Ini termasuklah, mengenai persediaan awal seperti mengenal pasti minat, kemahiran dan kepakaran, serta memilih program sesuai untuk disertai dan diyakini.

Pada masa sama, ia juga memberi panduan bagaimana ingin memulakan langkah awal untuk menjadi WHAM.

Selain itu terdapat juga saranan dan cadangan, bagaimana hendak meningkatkan pendapatan dan terus maju dalam apa sahaja bidang baharu yang diceburi.

Untuk Bahagian 3, ia menghimpunkan beberapa koleksi perkongsian pengalaman manis dan jatuh bangun beberapa usahawan SOHO wanita.

Antaranya termasuklah kisah Wani Hamid yang membangunkan Amani Management Services dengan menjadi penyedia perkhidmatan terutama dalam perakaunan dan pengurusan perniagaan.

Wani pernah melalui pengalaman getir ketika tidak mendapat sebarang permintaan daripada klien sedangkan komitmen bulanan tetap juga perlu dibayar.

Namun, disebabkan tidak pernah kenal erti putus asa, beliau berjaya tempuhi segala cabaran sehingga mampu menyewa pejabat di Cheras dan dapat menganjurkan Bengkel Asas Perakaunan setiap bulan yang sentiasa mendapat sambutan hangat.

Banyak lagi kisah menarik yang dipaparkan dalam ebuku Yeay! Mama sudah ‘resign’.  Bagi anda yang inginkan inspirasi dan bercita-cita menjadi WHAM, buku ini wajar dimiliki.
  
   
Penulis: Masayu Ahmad

URL: www.masayuahmad. com

No comments:

Post a Comment