Monday, November 26, 2018

Letter! Letter! Please...


Teks Nor Affizar Ibrahim

Letter! Letter! Please...


Bertugas sebagai wartawan memberi peluang kepada saya pergi ke luar negara, bukan saja di negara Asia tetapi juga Eropah.

Bunyinya memang menyeronokkan! Manakan tidak, kata orang  - bekerja sambil melancong. 

Saya sendiri tidak menyangkalkan hal itu kerana untuk pergi sendiri terutama negara seperti Eropah, perbelanjaan diperlukan bukannya sedikit.

Kos tambang sahaja sudah melambung tinggi, apa lagi kos penginapan dan makan minum. Berbanding apabila ada tugasan, lazimnya semua ditaja pihak penganjur.

Paling seronok, sudah tentu saya dapat melihat dan meneroka tempat orang. Namun, kadang-kadang tidak semuanya manis belaka. Ada ketika saya ‘terjebak’ juga hal tidak enak dan memberikan pengalaman pahit yang tidak boleh dilupakan.

Peristiwa di soal siasat hampir setengah jam di lapangan terbang antarabangsa Athens ketika memenuhi tugasan di Greece pada tahun 2004, antara yang tidak boleh saya lupakan.

Wakil Asia Tenggara

Saya ke sana untuk menyaksikan hari bersejarah pelancaran pameran Kaleidoscope, oleh Swatch yang diiktiraf sebagai penjaga masa rasmi Sukan Olimpik 2004. Acara besar itu diadakan di Acropolis, simbol kuno paling terkenal di Athens.

Saya di sana sebagai mewakili wakil media dari Asia Tenggara. Selain saya, ada seorang lagi wartawan dari akbhar tempatan berbahasa Inggeris, turut sama hadir untuk acara hebat itu.

Selain dari Malaysia, wakil media dari luar negara yang hadir sama ialah dari Switzerland, Kanada, Perancis, Arab Saudi, Taiwan, Korea dan Amerika Syarikat.

Sebenarnya, saya sudah pun menolak untuk tugasan itu. Bukan tidak berminat atau tidak teruja untuk pergi ke Greece, sebaliknya rasa seronok juga apatah lagi saya tidak pernah menjejakkan kaki ke sana.  

Yang membuatkan saya berbelah bahagi kerana jemputan itu diterima, beberapa hari sebelum saya berangkat untuk menunaikan umrah.

Saya menolaknya kerana fokus saya ketika itu ialah ingin menunaikan ibadat umrah. 

Namun, editor saya ketika itu Puan Rashidah Dahan tetap mahu menghantar saya membuat tugasan itu.

“Tak pa Fizar. Balik umrah Fizar pergi tau. Orang caya kat kita, kenalah pergi jugak.” Saya tidak mampu menolak, akhirnya akur dengan arahan Editor.

Tidak silap saya, lima hari selepas  balik dari umrah saya terus bertolak ke Greece.

Ketika itu, penat mengerjakan umrah masih terasa manakala kulit muka saya memang gelap. 

Ini kerana sepanjang di Makkah dan Madinah cuaca terlalu panas. Hampir setiap hari terdedah dengan matahari menjadikan kulit wajah saya gelap.

Sebelum bertolak, mood untuk berkemas pun tidak ada sangat. Lazimnya, setiap kali ada tugasan di luar, saya agak teliti berkemas. 

Tetapi kali ini, saya masukkan sahaja barang-barang  yang diperlukan ke dalam beg tanpa menelitinya.  

Perjalanan ke Greece itu turut disertai seorang wakil Swatch yang berpusat di Singapura.
Kapal terbang yang saya naiki dari Malaysia transit di Singapura. 


Disoal siasat

Di lapangan terbang  Changi, Singapura itulah saya bertemu kali pertama dengan wakil dari Swatch itu. Dia warga negara Singapura.

Dari lapangan terbang Changi, kami terus meneruskan perjalanan menaiki kapal terbang ke Greece. Perjalanan lebih kurang 15 jam.

Alhamdulillah, segalanya lancar. Hinggalah ketika membuat pemeriksaan imigresen.

Wakil Swatch dan rakan wartawan melepasi pemeriksaan imigresen tanpa sebarang masalah. 

Namun, apabila tiba giliran saya, pegawai imigresen itu beberapa kali membelek-belek passport saya.

Dia bertanyakan kepada saya beberapa soalan dalam Bahasa Greek. Malangnya, saya tidak faham.

“Sorry…English please. I don’t understand.”  

Beberapa kali saya mengulanginya dan beberapa kali pula pegawai itu membalasnya dengan bahasanya.

“I came here to work.” Saya cuba menjelaskannya.

Kemudian dia menjawab, “Letter! Letter! Please...”

Saya mengagak pegawai imegresen terbabit inginkan surat sebagai bukti. 

Malangnya, semua dokumen termasuk jemputan dari penaja kepada saya, jadual acara dan sebagainya, sudah saya sumbatkan dalam beg yang di check in ketika di  lapangan terbang KLIA.

Selalunya, semua dokumen seumpama itu saya akan bawa dalam beg hand carry.  Entah macam mana, mungkin sebab kurang prepare perjalanan itu, saya main ‘hentam’ saja packing.

Pegawai imegresen itu masih tidah puas hati dan terus bertanya soalan, Sudahnya, antara kami macam ayam dan itik bercakap.

Akhirnya, pegawai itu memanggil pegawai atasannya. Saya kemudiannya, disuruh keluar dari barisan kaunter imigresan dan diminta masuk ke bilik.

Semakin cemas

Perasaan saya ketika itu memang bercelaru. Dalam hati berkata-kata, apalah nak jadi ini.

Saya terus terfikir dan membayangkan, kalau kena buat pemeriksaan teliti di bilik, nanti di suruh bogel. Aduh! Cemas sungguh perasaan saya!

Mujur, sebaik keluar dari barisan imigresen dan ke tepi, wakil dari Swatch meninjau saya di kaunter imigresen.

Rupa-rupanya, dia sudah lama menunggu saya di luar dan berasa tidak senang hati apabila saya tidak muncul-muncul lagi.

“Affizar what happen,” Tanyanya.

Saya pun terangkanlah kepadanya masalah yang saya hadapi. Cepat-cepat, wakil dari Swatch itu menunjukkan beberapa dokumen mengenai perjalanan itu kepada pegawai imegresen.

Surat itu dalam Bahasa Inggeris dan pegawai imigresen itu tidak memahaminya. Dia seolah-olah masih tidak puas hati lagi untuk melepaskan saya.  

“You see here…this two watch. Its Swatch’s brand. We come here for event Swatch.” Wakil  dari Swatch itu masih terus berusaha menjelaskan sambil menunjukkan kedua-dua pergelangan tangannya yang memakai jam Swatch.

Selepas beberapa ketika, barulah nampak pegawai imigresen itu berpuas hati dan melepaskan saya pergi.

Fuhh! Lega rasanya.

Selepas melepasi imigresen barulah saya tahu kenapa, pegawai imigresen itu curiga dengan saya.

Tragedi 9/11 yang baru berlaku pada waktu itu, membuatkan orang barat dan Eropah sentiasa berhati-hati dan curiga dengan orang Islam.

Kebetulan, visa umrah saya masih hidup manakala passport saya jelas ada cop yang menyatakan saya baru balik dari Arab Saudi.

Nama bapa saya pula Ibrahim, jadi bertambah-tambah lah curiga mereka kepada saya. Mereka bimbang saya adalah pengganas!

Saya berasa marah juga dengan sikap prejudis itu tetapi tak mampu untuk meluahkan sebarang kata. Dalam hati saya berkata, “Aku ni di tempat orang, kalau apa-apa berlaku nanti susah pula.”

Kejadian yang berlaku di pusat pemeriksaan imgeresen itu, membuatkan saya semakin tawar hati untuk meneroka Greece. 

Setiap hari, saya menghitung hari untuk pulang segera ke Malaysia!




No comments:

Post a Comment