Thursday, November 15, 2018

Bab 1 Teruja nak ke ibu kota

Teks: Nor Affizar Ibrahim

Jam di dinding tepat menunjukkan 12.30 tengahari. Ikhwan yang dari jam 11 pagi membaca buku cerita fiksyen kegemarannya kini mulai bosan.

Tumpuan Ikhwan pada buku itu sudah hilang walaupun ia adalah cerita fiksyen yang digemarinya.

Disebabkan minat, masuk kali ini sudah tiga kali dia membacanya. Setiap bait-bait dalam buku cerita itu akan diteliti, malah ada di antaranya sudah dihafalnya.  Sikit pun Ihhwan  tidak jemu membaca buku itu.  

Oleh sebab itulah Ikhwan tidak kisah untuk membacanya kali ketiga. Cuma hari ini, hatinya diburu rasa gelisah dan tidak keruan hinggakan mood membaca hilang sama sekali.

Baru diselak tiga empat muka surat buku itu, fokusnya  hilang.  Berkali-kali Ikhwan cuba juga meneruskan pembacaan tetapi tertanya sukar sekali hendak beri tumpuan. 

“Mana ayah ni?” Hatinya mula berdetik risau.  Janji nak balik cepat. Kata ayah, kita semua hendak pergi jalan KL. Tapi dah pukul 12.30 pun masih tidak balik lagi. Ikhwan terus berkata-kata sendirian dalam hati.

Muka Ikhwan jelas memperlihatkan riak resah dan tidak tenteram. Sesekali terdengar dengusan dan keluhan, menandakan perasaan tidak sabarnya.

Semua dirasakan serba tidak kena. Sekejap duduk dan sekejap kemudian membaringkan diri di atas sofa sambil memandang siling dan melihat kipas berputar laju. 

Rimas dengan keadaan itu, Ikhwan bangun semula, Lalu menuju ke Izhar yang sedang leka bermain komputer.

“Angah, ayah ada telefon ke? Kata nak balik cepat” ? Ikhwan bertanya pada abang keduanya, Izhar yang sedang tekun bermain komputer game.

“Tak ada. Adik ni kenapa? Tak boleh sabar ke? Ayah kan janji kita keluar lepas Zohor. Kejap lagi baliklah. Semalam kan ayah dah cakap, dia nak jumpa kawan lama dulu. Biarlah dorang jumpa dan borak-borak panjang.  

"Lagi pun, bukannya selalu ayah jumpa kawan lama. Angah dapat tahu, sudah beberapa tahun juga ayah tak jumpa kawannya itu.

“Jadi, macam-macamlah benda yang diceritakan. Jadi, adik abang ni bertenang ya, Jangan nak mengelabah tak tentu pasal. 

"Ayah kan kalau dah berjanji mana pernah mungkir janji. Kalau tak dapat tunai pun, ayah mesti beritahu awal-awal lagi. Dan biasanya, ayah akan ganti hari lain.

“Lagi elok juga ayah tak balik lagi ini sebab game Angah pun tak habis lagi. Angah hendak menang ni!”  Izhar menjawab tetapi masih tekun memberi tumpuan pada komputer.

Ikhwan tidak menjawab kembali tetapi sedikit mendengus apabila mendengar jawapan Izhar. Tidak kuasa lagi hendak  bertanya pada Izhar. Begitulah sikap Izhar kalau sudah leka dengan computer game.

Akhirnya, Ikhwan  membiarkan Izhar terus tekun mengadap komputer. Memang asyik sekali Izhar bermain. Barangkali, sebab itulah pertanyaan Ikhwan dijawabnya acuh tak acuh.

Mata Ikhwan melihat kembali jam di dinding. Jarum panjang sudahpun berganjak ke angka tujuh. Maknanya, lima minit baru saja berlalu.
“Ah…lambatlah,”  getus hatinya.

Memang Ikhwan tidak sabar hendak keluar jalan-jalan ke KL. Sejak malam tadi, hatinya melonjak gembira apabila ayahnya memberitahu hari ini mereka sekeluarga akan pergi ke KL. Perasaan tidak sabar terus mencengkam hatinya.

Ikhwan juga sudah merancang apa yang hendak dibeli dan di buat nanti apabila mereka sekeluarga ke KL.  

Malah, perancangan untuk ke KL juga sudah dihebahkan kepada kawan baiknya Khairy dan Shafiqa.

Ikhwan tersengih panjang, apabila Khairy berkata, tentu seronok dapat jalan-jalan di KL dan seolah-olah berasa cemburu padanya.

“Wow! Bestnya! Nanti kau pergi singgah Mid Valley ke?. Situ best juga macam-macam ada. Orang ceritalah…aku sendiri pun tak pernah pergi.”  Kata Khairy sambil tersengih. 

Dia juga ‘tumpang’ teruja apaba mendapat tahu Ikhwan, kawan baiknya akan ke KL.

“Tak sempat pergi Mid Valley kot. Pergi pun dah tengahari, mana sempat hendak ke situ.”
Tapi tak pe, yang penting aku dapat pergi KL. Dah lama woi, aku tak pergi.” Balas  Ikwan.

Dia sebenarnya, sudah pun merancang hendak belikan buah tangan untuk Khairy dan Shafiqa apabila pergi ke KL nanti. Cuma hasrat itu tidaklah diberitahu kepada kedua-dua kawannya itu.  

Sejak setahun keluarga mereka berpindah ke Bangi, Ikhwan dan abang-abangnya jarang sekali pergi berjalan-jalan ke KL.  

Berbanding dulu, sekurang-kurangnya dua minggu sekali mereka sekeluarga berjalan ke KL, malah ada saja aktiviti yang hendak dibuat.

Jika tidak menonton wayang, sekurang-kurangnya ayah akan mengajak mereka sekeluarga pergi ke KFC, menikmati ayam goreng kegemaran Ikhwan dan abangnya, Izhar.

Jika hendak dikira jarak dari Bangi ke KL, bukanlah jauh sangat. Hanya lebih kurang setengah jam. Tetapi ayahnya kini lebih suka bawa mereka sekeluarga berjalan-jalan di sekitar Bangi saja.

Kata Ayah, di Bangi semua sudah ada dan buat apa-apa hendak pergi jauh. Tetapi bagi Ikhwan Bangi dan KL tetap tidak sama. Lagipun, Ikhwan suka tengok bangunan tinggi-tinggi di ibu negara.

 Ikhwan juga selalu berangan, jika sudah dewasa nanti dia juga hendak merekacipta bangunan yang tinggi dan bereka bentuk unik. 

Ikhwan masih ingat lagi, masa arwah ibunya ada dia selalu menunjukkan hasil lukisan bangunan kepada ibunya. 

Ikhwan akan berasa bangga apabila setiap kali arwah ibunya memuji lukisan bangunannya cantik.

Selain membaca, Ikhwan memang suka melukis. Subjek utama yang suka dilukisnya ialah bangunan. Malah, itulah hobi pertamanya. Satu lagi kegemaran Ikhwan ialah bermain catur. 

Kegemaran bermain catur diwarisi dari ibu dan ayahnya yang suka sangat dengan permainan itu. Bahkan, selain Ikhwan dua abangnya – Izhar dan Ilham juga boleh bermain catur.  

“Along mana? Dalam bilik lagi ke?” Ikhwan tiba-tiba teringatkan pula abang sulungnya, Ilham. Dari tadi dia tidak nampak abangnya itu duduk bersama mereka berdua di ruang tamu itu.

“Along dalam bilik dia. Adalah benda yang dibuatnya itu. Minggu depankan Along hendak masuk semula asrama. Tentulah sibuk kemas barangnya,” jawab Izhar.

 “Ala! Dah kena tembak.” Baru nak score lebih dah kalah.” Keluh Izhar tiba-tiba.
Itulah ragam Izhar setiap kali mengadap komputer. 

Ketika itu jugalah Ikhwan terdengar bunyi hon kereta dari luar pagar rumah.  Sebuah kereta NISSAN Teana warna hitam terus masuk di depan laman rumah.

Melihat kereta itu, hati Ikhwan terus berbunga riang. Lalu, terus meluru keluar menyambut ayahnya di kereta.

“Ayah sekarang dah pukul 12.45. Jadikan kita keluar ke KL hari ini?” Ikhwan bertanya dengan perasaan tidak sabar.

Mendengar pertanyaan dan gelagat anak bongsunya itu, Radzi tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya. 

Radzi terus melangkah masuk sambil itu tangannya menggosok kepala Ikhwan yang sejak dari tadi mengekori setiap langkahnya.

“Adik ayah kan baru balik. Tentu penat. Bagilah ayah peluang rehat dan tarik nafas dulu. Tak sabah-sabarlah.”

Izhar yang tadinya leka bermain computer game menegur adiknya. Kasihan Izhar tengok ayahnya yang belum sempat berehat sudah diajukan soalan bertalu-talu.

Ikhwan memandang Izhar dengan muka mencebik dan ada sedikit perasaan marah apabila ditegur sebegitu oleh abangnya.

“Ah! Angah ni sibuk pulak menyampuk. Tadi asyik main computer game aje. Orang cakap dengan ayah, dia pulak menjawab.”kata Ikhwan.

Namun, kata-kata itu hanya disuarakan di hati saja. Takut juga Ikhwan, jika menjawab begitu tentu ayahnya akan marah kerana bersikap kurang ajar, tidak menghormati abangnya.

Radzi yang tidak menjawab pertanyaan Ikhwan terus melabuhkan punggungnya ke sofa. Senyuman masih terukir pada bibirnya. Ketika ini Ikhwan terus memerhati gelagat ayahnya yang seolah-olah mahu berteka-teki dengannya.

“Ah…Ikhwan dah siap ke? Pergilah mandi dulu. Luar tu panas. Bagi segar badan itu. Lepas tu pakai baju elok sikit dan jangan lupa sembahyang. Lagipun, kejap lagi Zohor masuk. 

"Kalau semua sudah sembahyang Zohor bolehlah kita keluar. Kita semua makan tengahari di luar,” kata Radzi akhirnya.

Ikhwan mula tersengih mendengar kata-kata ayahnya itu. Memang tidak sabar lagi hendak jalan-jalan di KL. Macam-macam yang sudah dirancang di benar kepalanya.




No comments:

Post a Comment