Thursday, November 15, 2018

Bab 3 Masih sedih berpisah

Teks Nor Affizar Ibrahim

Dua minggu sudah pun berlalu. Ini bermakna, sudah dua minggu Izhar tinggal di asrama. Barangkali, Izhar juga sudah dapat membiasakan dunia baharunya.  

Itulah perkara berlegar dalam fikiran Ikhwan kini yang  masih tidak dapat membiasakan diri tanpa Izhar kerana waktu-waktu begini mereka akan pulang bersama-sama dari sekolah.

Dua minggu lalu, walaupun berasa sedih dan langsung tidak seronok, Izhar  diterima masuk ke asrama penuh, Ikhwan  turut menemani Radzi menghantarnya. Malah, ketika di asrama, tanpa disuruh Ikhwan yang banyak membantu Izhar menyusun baju dan mengemas katil.

“Hah! Macam nilah adik abang rajin pun. Dulu kat rumah, tak pernah pun nak tolong Angah kemas katil dan baju. Tetapi hari ni, adik abang sporting dan rajinlah.” Izhar mengusik Ikhwan.

Ketika diusik, Ikhwan tidak berkata-kata apa tapi cuba juga tersenyum. Namun, jelas senyuman itu kelat dan tidak  ikhlas dari hatinya.

Izhar  perasan akan perkara itu tetapi masih cuba sedaya upaya menghiburkan hati adik bongsu. 

Sebenarnya, Izhar juga sedih hendak berpisah dengan Ikhwan. Lebih-lebih lagi, mereka tidak pernah berpisah sebelum ini.

“Ikhwan, Angah nak cakap ni. Nanti kalau Angah tak ada janganlah sedih sangat tau. Nanti, ayah pun susah hati. Kasihan kat ayah tu. 

Angah pun sedih juga nak pisah dengan Ikhwan dan ayah.  Angah mesti rindu pada perkara yang biasanya kita lakukan sama-sama sebelum ini.

“Tapi Ikhwan janganlah terlalu ikutkan rasa sedih tu.  Angah bukan tak balik langsung. Cuti sekolah atau hujung minggu apabila dibenarkan balik kita masih boleh bersama semula. 

Masa itu, kita habiskanlah masa bersama-sama sepenuhnya. Dan semasa Angah kat asrama, Ikhwan pun boleh tulis surat atau hantar emel pada Angah. Ala…nanti Angah pun akan selalu call. Sini kan ada public phone . Tak susahkan?”

Izhar cuba memujuk Ikhwan. Kata-kata itu membuatkan Ikhwan cuba sekali lagi melemparkan senyuman.  Kali ini senyuman itu tidaklah sekelat tadi.

 “Hah! Adik abang dah mula tersenyum nampaknya. Cool lah sikit. Tak comel adik abang  ini, kalau muka masam  aje, ” Izhar mengusik lagi Ikhwan.

Kali ini, Ikhwan mencebik apabila  Izhar menyebut perkataan ‘comel’.

“Apa pulak comel. Bukannya baby!  Kalau kata handsome tu patutlah juga.” Balas Ikhwan.

“Hah! Tahu pun bukan baby lagi, jadi tak yahlah sedih sangat.  Lagi pun, nanti kawan-kawan baru Angah kat sini ingat, Angah yang marah Ikhwan dan dera suruh kemaskan barang-barang ini.  Sebab itulah muka seposen aje,”  ujar Izhar lagi.

Tiba-tiba Ikhwan terasa lucu dengan kata-kata abangnya itu. Dia tahu, Izhar cuba memujuknya.

Akhirnya, selepas berbalas-balas usikan kedua-dua beradik itu sama-sama meleraikan ketawa.

Suasana dua minggu lalu itu masih melekat dalam ingatan Ikhwan. Setiap kali mengingatkannya, pasti Ikhwan berasa sedih.
  
Begitu juga hari itu, ketika berada dalam bas sekolah untuk pulang ke rumah, fikiran Ikhwan berterusan menerawang mengingatkan Izhar  dan cuba memikirkan apa yang dilakukan abangnya pada ketika itu.

Hubungan Ikhwan dan Izhar memang rapat, lebih-lebih lagi sejak Ilham masuk sekolah asrama dan selepas arwah ibu mereka meninggal.

Malah, banyak perkara yang mereka berdua lakukan bersama termasuk pergi ke sekolah, pergi tuisyen, bermain bola di padang, mengemas rumah dan sebagainnya. Barangkali sebab itulah yang menyebabkan sukar bagi Ikhwan untuk berenggang jauh dengan Izhar.

Jauh berkhayal dan tenggelam melayan perasaan, tanpa sedar  akhirnya bas sekolah berwarna kuning pinang masak yang membawa Ikhwan sudah pun sampai di rumah.

Ikhwan dengan langkah yang tidak bersemangat, perlahan-lahan turun dari bas berkenaan. 

Sebelum bas bergerak, Ikhwan walaupun seolah-olah tidak berada di alam nyata  masih sempat melemparkan senyuman paksa sambil melambai-lambai perlahan kawan-kawannya yang masih berada di dalam bas itu.

Lambaian itu disambut oleh kawan-kawannya yang masih berada dalam perut bas.

“Ikhwan! Nanti jangan tak datang tuisyen ya. Aku tunggu kau kat sana.” Khairy, kawan baik Ikhwan menjerit dari atas bas dan turut melambai.

Ikhwan hanya mengangguk-anggukkan kepala. Malas sekali dia hendak bersuara dan menjawab pesanan kawannya itu,

Ikhwan kemudian melangkah longlai ke pintu pagar dan membukanya perlahan-lahan.  Pintu rumah sudahpun dibuka dan Ikhwan yang sudah membuka kasut sekolah memandang sekeliling rumahnya.

Setiap sudut ditatap. Semua bagaikan kosong dan sunyi sekali baginya. Keadaannya jauh bezanya ketika Izhar ada. Walaupun Ilham tinggal di asrama, Izhar sentiasa ada untuk diajak berbual, main dan makan bersama.

Biasanya, sebaik turun dari bas, Izhar dan Ikhwan akan berlumba-lumba untuk sampai ke pintu rumah. 

Siapa yang sampai dulu, dialah juara.  Ikhwan biasanya akan tewas dan ketika itu, Izhar akan terkekek-kekek mengejeknya dan lazimnya, siapa yang kalah, kena denda.

Antara denda yang Izhar selalu kenakan pada Ikhwan ialah basuh pinggan selepas makan atau pun kemaskan meja makan.

Tetapi pernah juga suatu hari, Ikhwan berjaya kalahkan Izhar kerana kebetulan, hari itu abangnya kurang sihat. Betapa bangga Ikhwan dapat mengalahkan Izhar tetapi apabila tiba waktu hendak mendenda abangnya, Ikhwan berasa tidak sampai hati.

Lalu, Ikhwan turut sama membantunya membasuh pinggan dan mengemas meja. Malah, hari itu Ikhwan seharian menjaga Izhar dengan memberinya ubat bagi meredakan demam yang dialaminya.

“Eh…eh Ikhwan dah balik. Maaflah, Bibik di dapur tadi tak perasan pun Ikhwan masuk tadi,” kata wanita berusia lebih kurang 40-an yang membahasakan dirinya Bibik itu.

Suara Bibik dengan pelat bahasa Indonesia yang menegur, secara tidak langsung mematikan segala ingatan pada kenangan lalu.

“Ya…Bik. Saya baru aje balik.” Jawab Ikhwan dengan nada yang lemah. Kemudian, satu lagi keluhan dilontarkan. Memang segala-galanya bagaikan serba tidak kena.

“Ikhwan cepatlah mandi. Bibik ada masak lauk kegemaran Ikhwan, sambal sotong. Tentu Ikhwan suka,” ujar Bibik lagi.

Kalau dulu ada Izhar , dia memang seronok berebut-rebut dan berlumba makan. Siapa dapat habiskan makan sotong yang banyak, dialah jaguh. Dalam bab ini, biasanya 
Ikhwanlah jaguh. Tidak musatahil pun, sambal sotong memang makanan kegemarannya.

“Tak apalah Bik, Ikhwan belum nak makan lagi. Simpan dulu. Nanti makan malam baru Ikhwan makan dengan Ayah.” .

Terlopong seketika Bibik mendengar jawapan Ikhwan,  Pagi tadi majikannya, Radzi yang menyuruhnya masak sambal sotong. Kata Radzi, itu adalah lauk kegemaran anak bongsunya.

Bagaimanapun, wanita yang baru seminggu tinggal dan bekerja di rumah dua tingkat itu hanya mendiamkan diri. Barangkali dia berpendapat, itu bukan masa sesuai untuk bertanya lanjut pada anak bongsu majikannya itu.

Lagipun, Bibik baru saja bekerja di situ, Banyak perkara yang tidak difahaminya, termasuklah perangai atau ragam Ikhwan.

“Bibik, Ikhwan nak pergi tuisyen ni. Kalau tidak ada apa-apa pukul enam nanti Ikhwan balik.”  Ikhwan muncul dan kali ini sudah pun bertukar pakaian sekolah yang dipakainya tadi dengan baju T merah bersama jeans biru.

Ikhwan sedar walaupun kurang senang dengan kehadiran Bibik di rumah itu, dia perlu menghormatinynya. Sekurang-kurangnya, sebagai orang yang lebih tua daripadanya.

Lagipun, itulah yang arwah ibunya selalu berpesan ketika hayatnya masih ada.  Jadi, tidak semudah itu Ikhwan akan melupakan nasihat dan didikan ibu yang disayanginya itu.

Kata ayah Ikhwan, keluarga mereka perlu menggaji Bibik dan mengambilnya tinggal bersama. Kalau dulu ada Izhar, ayahnya tidak begitu risau meninggalkan mereka bersama di rumah.

Izhar boleh diharap dan begitu bertanggungjawab menjaga Ikhwan. Soal makan minum pun tidak kisah kerana biasanya Radzi akan memasakkan lauk untuk kedua-dua anaknya itu sebelum pergi ke kerja.

Balik dari sekolah, Izhar yang akan melayan Ikhwan. Sebagai anak kedua, Izhar memang boleh dipercayai. Pada waktu-waktu begitu, Radzi juga biasanya akan menelefon anak-anaknya bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Radzi juga tidak membiarkan kedua-dua anaknya begitu saja. Pada jiran sebelah, selalu dia berpesan agar tolong tengok-tengokkan mereka sepanjang ketiadaannya.
  
Kini, selepas Izhar masuk asrama, Radzi  terpaksa mengambil Bibik jika tidak sebagai pengasuh setidak-tidaknya boleh menjadi teman kepada Ikhwan agar tidak keseorangan di rumah. Radzi juga risau keselamatan Ikhwan jika dibiarkan tinggal seorang diri di rumah.

Namun, bukan mudah keputusan mengambil Bibik dibuat. Ketika Radzi menyatakan hasrat untuk mengambil Bibik bekerja, Ikhwan protes habis-habisan. Mujur, ayah dan ibu Radzi dari kampung yang datang menjenguk Ikhwan tidak henti-henti memujuk.

Lega hati Radzi apabila Ikhwan akhirnya termakan pujuk datuk dan neneknya.  Selain manja dengan arwah ibunya, Ikhwan agak rapat dengan datuk dan neneknya. Jika cuti sekolah atau ada masa lapang, Ikhwan, Izhar dan Ilham akan balik kampung.

Kadang-kadang, datuk dan nenek mereka yang turun ke KL. Tetapi biasanya tidak lama, dua hari tidur  di Bangi, mereka biasanya sudah hendak balik kampung semula.

Telefon tiba-tiba berdering. Bibik berlari-lari anak untuk menjawab panggilan itu.

“Ikhwan bapaknya  telefon. Katanya nak cakap dengan Ikhwan.” Bibik memanggil Ikhwan  yang sedang memakai kasut untuk bersiap ke tempat tuisyen.

Ikhwan  menoleh apabila mendengar panggilan Bibik tapi terus menyarung kasutnya. Kini, kedua-dua kakinya sudah pun menyarung kasut dan bersedia untuk meneruskan langkah.

“Tak apalah Bibik. Kata kat ayah, Ikhwan dah lambat ni dan nak pergi tuisyen sekarang,”

Ikhwan terasa malas sekali menjawab panggilan telefon ayahnya walaupun di hati kecilnya berasa bersalah berbuat demikian.

Bibik yang mendengar jawapan Ikhwan kini memperlihatkan wajah keliru. Serba salah juga dia hendak menjawab telefon majikannya.  Tetapi akhirnya, Bibik memberitahu kepada 
Radzi apa yang dikatakan Ikhwan.

Lega Bibir apabila tuannya dapat menerima penerangannya tanpa bersoal banyak. Maklum, baru seminggu bekerja di rumah itu, masih banyak perkara yang Bibik  tidak faham.


*****************************************************************************************************


Malam itu, Radzi dan Ikhwan bersembahyang berjemaah. Itulah kebiasaan yang cuba Radzi tekankan kepada ketiga-tiga anak lelakinya dalam mendidik mereka menegakkan solat.

Jika ada kesempatan, Radzi akan jadi imam manakala anak-anaknya menjadi jemaah.  Lepas solat Maghrib, biasanya mereka sekeluarga akan ke meja makan pula untuk makan malam bersama.

“Hah! Ikhwan ambillah lauk sambal sotong tu. Tengahari tadi tidak makan kan? Penat Bibik masak tak nak makan pula,” ujar Radzi kepada Ikhwan.

Dari tadi Radzi lihat Ikhwan muram saja. Begitulah keadaannya dalam dua minggu ini termasuklah ketika mengadap di meja makan malam hari itu.

“Tak apalah ayah. Ikhwan dah kenyang. Lepas ni nak buat kerja sekolah. Lepas itu bolehlah masuk tidur,” balas Ikwan lalu bangun dari kerusi.

Radzi faham, Ikhwan masih bersedih dan masih tidak dapat membiasakan diri tinggal seorang diri di rumah.  Dulu ketika Ilham masuk asrama pun Ikhwan bersikap demikian. 

Tetapi Izhar pandai memujuk dan ketika itu arwah isterinya masih ada. Tiga hari selepas itu, Ikhwan sudah kembali ceria.

Kini, sudah masuk dua minggu Izhar masuk asrama dan selama dua minggu itulah Radzi sedikit tertekan dengan sikap anak bongsunya itu. Manakan tidak, asyik murung saja. Selera makan sentiasa tidak ada.

Tiga hari lalu, Radzi menelefon ayah dan ibunya di kampung kerana ingin meminta nasihat bagaimana hendak mengatasi karenah Ikhwan.  Sebagai bapa, tentu sekali Radzi risau melihat perubahan Ikhwan sejak kebelakangan ini.

Tetapi Radzi tahu, bukan mudah hendak memujuk anak bongsunya itu. Ayah dan ibunya pula selalu menyuruhnya banyak bersabar. 

Mereka berpendapat, lama kelamaan, Ikhwan akan dapat membiasakan diri tanpa Izhar dan boleh menerima hakikat kemasukan abangnya ke asrama penuh.

“Ikhwan tidak boleh berterusan macam ini. Angahkan dah pesan jangan sedih-sedih. Ayah janji, minggu lagi satu kita jenguk Angah. Minggu ini tak boleh sebab sekolahnya sudah atur program untuk pelajar baru. Jadi, tak bolehlah pergi,” Radzi terus memujuk.

Mendengar janji Radzi, Ikhwan memandang wajah ayahnya dan mula melemparkan senyuman. Tetapi seleranya masih belum terbuka untuk menjamah lauk kegemarannya.
  
“Betul ke ayah? Kalau betul, memang Ikhwan seronok. Duduk sorang-sorang kat rumah ni langsung tak seronok.”

Radzi tersenyum melihat perubahan ceria tiba-tiba pada wajah anak bongsunya dan terus mengangguk-anggukkan kepala.

“Siapa kata Ikhwan sorang, ayah dan Bibik kan ada. Kalau Ikhwan bosan sangat, ajaklah Fiqa dan Khairy datang rumah. Jadi, adalah teman.”

“Ala Fiqa dan Khairy tu hari-hari boleh jumpa kat sekolah. Kadang-kadang, tak tahu nak cakap apa lagi. Kalau ada Angah tu lainlah, macam-macam perkara boleh buat bersama.” Ikhwan  tidak setuju cadangan ayahnya.

Radzi tidak membalas kata-kata itu, sebaliknya tersenyum sambil mencubit pipi Ikhwan.
“Ada-ada sajalah Ikhwan ni. Okeylah sekarang ni Ikhwan masuk bilik dan buat sedikit ulang kaji, lepas tu tidur sebelum jam 10.30 malam ya,” Radzi memberikan arahan.
  
Ikhwan mengangguk  dan bangun untuk masuk ke biliknya. Tetapi dirinya masih terasa kosong kerana masih teringatkan Izhar yang barangkali sibuk mengulangkaji ketika ini di asrama, fikir Ikhwan.



No comments:

Post a Comment