Thursday, November 15, 2018

Bab 2 Sampai hati tidak bagi tahu

Teks Nor Affizar Ibrahim

“Sedapnya makan tengahari hari ini. Sudah lama kita tidak makan di
 restoran ini kan ayah. Tengok! Licin pinggan ini,” kata Ikhwan sambal
 menghabiskan sisa-sisa  makanan yang masih tinggal di dalam pinggan.

Tengahari itu mereka empat beranak makan dengan penuh berselera selepas hidangan yang dipesan, sudah berada di atas meja.

Radzi membawa ketiga-tiga anaknya menjamu selera di restoran yang berdekatan dengan pusat beli belah di Sogo. 

Restoran itu memang menjadi kegemaran mereka sekeluarga, malah ketika arwah isterinya, Salamiah masih hidup pun mereka selalu ke situ.

“Aha, dah lama kita semua tak makan di sini. Untung kita kan hari ini, ayah belanja makan di sini,” kata Izhar.

“Ikhwan, kalau sudah kenyang tu jangan lupa ucap Alhamdulillah. Allah sudah beri kita rezeki ini, janganlah pula lupa nikmat diberikan. Ucapkan Alhamdulillah tu kan tandanya kita berterima kasih,” nasihat Radzi kepada Ikhwan.

“Yalah Ikhwan ni… Jangan juga lupa ucap terima kasih kepada ayah. Kalau ayah tidak belanja tentu tidak dapat makan semua ini.”

Giliran Ilham pula mencelah sambil turut menasihatkan adik bongsunya itu.

“Ayah, kalau kita dapat turun KL tiap-tiap minggu kan best?” kata Ikhwan.

“Ikhwan nak buat apa selalu datang KL. Along tak sukalah, ramai sangat orang. Kalau setakat nak makan sedap, di Bangi pun ada.” Ilham menyangkal adik bongsunya.

“Along…Wan bukan nak makan aje tapi suka tengok bangunan tinggi-tinggi tu. Along bukan tidak tahu, Ikhwan kan nak jadi arkitek. Suatu hari, Ikhwan nak reka bentuk bangunan tinggi jugak bila besar nanti.” Ikhwan memberikan penjelasannya.

“Ala adik, kalau setakat nak tengok bangunan tinggi, lebih elok tengok dalam Internet. Lagi banyak dan macam-macam. Bukan saja dapat tengok bangunan dalam negeri, di seluruh dunia pun boleh,” Izhar memberikan idea.

“Itu Wan tahulah Angah. Tapi dapat tengok bangunan tinggi depan mata, lagi seronok. Dalam Internet, bila-bila pun boleh.” Ikhwan terus memberikan pendapat.

Setakat ini, Radzi hanya menjadi pendengar sahaja. Baginya, biarlah ketiga-tiga anaknya itu berdebat dan memberikan pandangan masing-masing.

Radzi pun tahu, Ikhwan memang suka datang ke KL kerana hendak melihat bangunan tinggi. Malah, ketika arwah isterinya ada dulu, Ikhwan selalu berkongsi minat dengan Mamanya.

Biasanya, setiap kali datang ke KL, Ikhwan tidak akan berhenti bercerita dengan Mamanya mengenai bangunan tinggi yang dilihat depan matanya. 

Arwah Salamiah sentiasa melayan celoteh anak bongsunya itu jika dia bercerita atau bertanya banyak soalan. 

Kebetulan, arwah juga memang lulusan dalam bidang arkitek. Malah, arwah pernah enam tahun bekerja sebagai arkitek di sebuah syarikat perundingan arkitek.

Apabila kesihatannya tidak begitu sihat dan perlu kerap ke hospital, Salamiah akhirnya terpaksa meletakkan jawatan. Kini, minat itu diwarisi Ikhwan. 

“Ayah cakap-cakap jugak. Sekarang semua sudah kenyang. Sekarang dah pukul 4.30 petang. Jomlah kita cari barang  Angah. Nanti ada yang terlupa nak beli,” tiba-tiba Izhar menyampuk.

Radzi melihat jam tangannya. Betul kata Izhar dah jam 4.30. Buat masa ini belum satu barang pun lagi dibeli sedangkan membeli belah untuk membuat persiapan Izhar adalah tujuan utama mereka sekeluarga ke KL.

“Nak beli barang apa, Angah? Game baru lagi ke? Minggu lepas kan baru beli. Asyik nak beli game aje.” Ikhwan menyampuk sambil mencebik mukanya kepada Izhar.

Radzi, Ilham dan Izhar kini berpandangan antara satu sama lain. Tiada seorang pun yang berkata-kata.

Melihat perubahan wajah ketiga-tiga mereka Ikhwan tidak senang hati dan berasakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan daripadanya.

“Kenapa semua diam? Ikhwan salah cakap ke?”  Melihat semuanya diam,
 Ikhwan yang tidak senang hati dengan situasi itu terus bertanya.

Radzi menarik nafas panjang kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Tangannya memegang tangan Ikhwan dan matanya memandang tepat merenung muka anak bongsunya itu.

“Ikhwan anak yang baik kan?” Tanya Razdi.

Ikhwan memandang muka bapanya sambil mengangguk-anggukkan kepala tanpa mengeluarkan sepatah pun kata-kata.

Hairan juga kenapa ayahnya bertanyakan soalan itu, Hatinya tiba-tiba berasa cuak apabila diajukan soalan itu.

“Dengar sini ayah nak cakap,” kata Radzi lagi dan berhenti seketika sambil terus memandang muka Ikhwan yang mula menunjukkan riak wajah kebingungan.

“Ikhwan kan tahu, Angah dapat 5A dalam UPSR. Jadi…ayah..

“Ohhh…ayah nak belikan Angah hadiahlah ye? Jangan risaulah ayah, Ikhwan tak cemburu pun, Angah sudah belajar sungguh-sungguh memang patutlah dapat hadiah. 

"Angah mesti minta hadiah mahal dari ayahkan. Nanti, kalau Ikhwan dapat keputusan baik, Ikhwan pun nak hadiah mahal?” Ikhwan meneka sambil menyeringai.

Radzi, Izhar dan Ilham sekali lagi berpandangan antara satu sama lain tanpa berkata-kata. Akhirnya, Radzi mula bersuara.

“Bukan pasal hadiah Ikhwan. Ayah nak beritahu, kali ini giliran Angah masuk asrama macam Along dulu,” kata Radzi menyusun kata-kata satu persatu.

Penjelasan Radzi membuatkan Ikhwan terlopong seketika mungkin kerana terkejut mendengar nya.

“Maknanya, nanti tinggal Ikhwan saja seorang yang duduk di rumah. Angah pun nak masuk asrama macam Along. Tapi kenapa Ikhwan tidak tahu. 

Mengapa semua orang cuba nak sorok hal ini pada Ikhwan? Sampai hati semua orang buat begini pada Ikhwan,” tanyanya bertalu-talu.

“Adik, bukan kita orang nak sorok. Tapi tak sampai hati hendak beritahu. Nanti Adik tentu sedih.” Izhar pula bersuara.

“Betul tu Adik. Dulu masa Along dapat tawaran masuk asrama pun Adik tidak mahu bercakap dengan semua orang beberapa hari. Jadi, kami fikir buat sementara ini eloklah tidak beritahu. 

"Kami tidak mahu Adik sedih. Nanti kita orang semua susah hati,” kata Ilham cuba menerangkan perkara sebenar.”

“Ayah memang nak beritahu Ikhwan hal ini, tapi hendak cari masa yang sesuai. Ikhwan tahulah, sepanjang minggu lepas ayah sibuk sikit. Terutama kerana hendak uruskan kemasukan Angah ke asrama. 

"Jadi, ayah fikir eloklah apabila Angah benar-benar sudah hendak pergi, barulah beritahu Ikhwan.” Radzi pula cuba menerangkan keadaan sebenar.

Tetapi Ikhwan tidak mahu mendengar penjelasan Izhar, Ilham mahu pun bapanya Radzi. Entah mengapa hatinya rasa sakit dan sedih mendengar berita itu.

Ikhwan bungkam.  Wajah yang sejak dari tadi tampak ceria, tiba-tiba tidak lagi berseri. Perasaan teruja untuk berjalan-jalan di ibu kota juga sudah mula
dirasakan tidak seronok lagi.

Walaupun Ikhwan tahu, sebagai adik dia sepatut berasa bangga kerana Izhar turut mengikut langkah kejayaan abang sulungnya, Ilham.

Malah, Ikhwan juga mempunyai cita-cita untuk belajar bersungguh-sungguh dan dapat masuk asrama penuh seperti abang sulungnya. 

Ini kerana setiap kali balik kampung, Atuk dan nenek mereka selalu saja memuji Ilham kerana pandai dalam pelajaran.

Begitu juga cikgu di sekolah, sebagai bekas pelajar di sekolah Ikhwan belajar kini, Ilham sering dijadikan contoh sebagai pelajar cemerlang.

Apatah lagi, kecemerlangan Ilham bukan saja dalam bidang akademik tetapi juga sukan. Ini yang selalu membuatkan Ikhwan sentiasa bangga dengan abang sulungnya itu.

“Ah…sudahlah tu ayah harap Ikhwan tidak bersedih lagi. Balik nanti kita semua bincang kat rumah. Sekarang ni jom kita pergi cari barang Angah dulu. 

"Selain beli barang Angah, ayah janji hari ini Ikhwan boleh minta beli apa saja. Lagipun, sudah lama Ikhwan tidak minta apa-apa daripada ayah. Ok!” Radzi cuba merungkai keadaan tegang itu dengan cuba mengambil hati Ikhwan.

Namun, Ikhwan tidak memberi apa-apa reaksi. Matanya seolah-olah berkaca-kaca. Tangannya digenggam erat seperti penumbuk manakala mukanya sudah mencuka.

Selepas membayar bil restoran, Radzi terus membawa Ilham, Izhar dan Ikhwan di tengah-tengah kesibukan orang ramai membeli belah.

Jika tadi Ikhwan tidak sabar-sabar hendak ke KL, kini dia berasa tidak sabar pula untuk pulang ke rumah. 

Darjah keseronokannya untuk berjalan-jalan di ibu negara semakin berkurangan apabila mendengar berita yang baru diterimanya itu.

Ikhwan juga sudah tidak ada hati untuk beli apa-apa barang termasuklah buah tangan untuk Khairy dan Shafiqa yang sudah dirancangnya sejak beberapa hari lalu.



No comments:

Post a Comment