Wednesday, November 21, 2018

Bab 5 Rindu pada Mama

Teks Nor Affizar Ibrahim

BAB 5 Rindu pada Mama

Malam itu, Ikhwan makan malam bersama bapanya. Lauk ayam masak merah yang dimasak Bibik membuatkannya begitu berselera.

Radzi hanya melihat gelagat anak bongsunya makan dengan penuh berselera. Senang hatinya melihat Ikhwan yang sudah menunjukkan perubahan. 

Wajahnya nampak ceria tidak murung seperti tiga minggu lalu iaitu seminggu sebelum Izhar masuk asrama dan dua minggu selepas Radzi menghantarnya ke asrama.

“Hah… macam inilah anak ayah. Hendak makan, taklah membazir nasi dan lauk tu nanti.  Bibik pun tidak terasa penat memasak lauk-lauk ini,” puji Radzi.

Ikhwan tersengih dengan kata-kata ayahnya. Dia sudah pun menambah nasi untuk kali kedua.
“Ayah, minggu depan jadikan kita tengok Angah. Tidak sabar hendak jumpanya,” Ikhwan bertanya meminta kepastian. 

“Insya-Allah. Tapi Ikhwan dengan Angah kan boleh berutus emel. Apa guna kita ada teknologi moden. Inilah masanya kita gunakan segala kemudahan yang ada,” Radzi memberi cadangan. 

Radzi tahu ketiga-tiga anak lelakinya memang suka melayari Internet. Ikhwan masih ingat lagi ketika mula-mula memasukkan Internet  dulu. Anak-anaknya berebut-rebut hendak menggunakannya. 

Bagi Radzi, anak sulungnya, Ilham tidak begitu menimbulkan masalah. Ilham sejak masuk asrama semakin matang dan begitu berdisiplin mengatur jadual. 

Anak bongsunya, Ikhwan juga tidak banyak masalah. Ikhwan bukan tidak berminat dengan komputer tetapi mungkin usianya masih kecil dan sebab itulah dia cepat bosan.  

Paling lama dia bertahan depan komputer,  satu jam. Lepas itu, mulalah hendak buat perkara lain pula.

Tetapi berbeza dengan Izhar dan itulah paling yang dirisaukan Radzi.  Anak keduanya, memang suka mengadap komputer. 

Jika sudah mengadapnya, bukan sejam dua sebaliknya berjam-jam. Itulah yang merisaukan Radzi. Akhirnya,  Radzi terpaksa membuat peraturan. 

“Takkan nak guna komputer pun ada peraturan. Lecehlah ayah. Kalau belajar aje boring jugak. Hendak lepas tension, kenalah main game. Baru otak berfikir semula untuk belajar.” 
Izhar cuba membantah peraturan yang ditetapkan Radzi.

Tetapi ternyata, ia tidak berjaya mengubah fikiran Radzi. Lagipun, hanya Izhar saja yang menentang peraturan itu sedangkan Ilham dan Ikhwan, langsung tiada masalah dengan keputusan  dibuat oleh bapa mereka.

Peraturan akhirnya dibuat dan ditetapkan. Radzi membenarkan anak-anaknya menggunakan komputer hanya pada hujung minggu dan cuti sekolah saja. 

Paling lama mereka boleh mengadap komputer ialah tiga jam. Untuk hari biasa dari Isnin hingga Jumaat, Ilham, Izhar dan Ikhwan boleh menggunakan hanya sekali dalam lima hari. 

Itupun hanya satu jam dan selepas semua kerja sekolah disiapkan terlebih dulu.
Bagaimanapun, mereka bertiga masih boleh menggunakan komputer jika perlu atau ada kaitan dengan kerja sekolah yang perlu disiapkan. 

Mendengar syarat Radzi, Izhar mogok tidak  keluar bilik selama dua hari berturut-turut.  Bila Radzi ajak makan bersama, pelbagai alasan yang diberikan. Tetapi Radzi tetap dengan keputusannya. 

Radzi memang sayang ketiga-tiga anaknya, malah rasa kasih itu tidak pernah berbelah bahagi. Namun,  itu tidak bermakna dia perlu memanjakan dan mengikut semua kata telunjuk ketiga-tiga anaknya. 

Ada ketika, Radzi perlu bertegas apatah lagi jika ia membabitkan masa depan anak-anaknya. 

Sejak arwah ibu mereka meninggal, menjadi tanggungjawab Radzi sepenuhnya untuk mengambil berat dan memantau Ilham, Izhar dan juga Ikhwan.

Mujur, Ilham sebagai abang dan anak sulung bijak memainkan peranannya. Lalu, dialah yang banyak memberi nasihat kepada Izhar. 

Katanya, apa yang dibuat ayah mereka itu betul dan ada kebaikan untuk mereka juga. 
“Ala ayah, bukan Ikhwan tidak mahu emel Angah.  Kalau dapat jumpa kan best. Ikhwan ada banyak cerita dengan Angah. Tentu seronok.”

Jawapan Ikhwan mematikan khayalan Radzi yang tiba-tiba terus teringatkan karenah anak keduanya, Izhar.  

Jika dibandingkan dengan dua anaknya yang lain, Izhar memang agak keras kepala sedikit berbanding Ilham yang lebih mudah mendengar kata manakala Ikhwan, sebagai anak bongsu tentu manja dan sentiasa inginkan perhatian.

Radzi  tersenyum mendengar kata-kata anak bongsunya itu. Dia tahu Ikhwan  dengan Izhar memang rapat dan sering  berkongsi cerita. Berbanding  dengan Ilham yang sudah dewasa dan anak sulungnya itu lebih suka menghabiskan masa dengan dunia sendiri.

“Ayah, agak-agaknya apa Angah buat sekarang ni ya? Entah-entah, Ikhwan aje yang ingatkan Angah sedangkan dia seronok dengan kawan-kawan barunya.  

Mesti bestkan ayah, dapat kawan baru.” Ikhwan cuba membayangkan apa yang dilakukan Izhar di asrama pada waktu-waktu begitu.

“Ayah ingat, Angah tentu sedang buat kerja sekolah atau ulang kaji. Dan yang pasti, Angah tidak main computer game sebab semua benda itu dilarang bawa ke asrama.” Radzi menjawab selamba.

Izhar tergelak kecil mendengar jawapan akhir bapanya itu. 

“Baru padan Angah!”  Ikhwan tahu,Izhar memang sukar hendak ‘melepaskan’ computer game yang menjadi kegemaranya sejak dulu lagi. Pantang hujung minggu, bangun dari tidur itulah perkara pertama yang dilakukan – terus mengadap komputer.

Malah, sehari sebelum berangkat ke asrama, Izhar cuba menyorok-nyorok untuk membawa barang kegemarannya itu. 

Entah macam ‘kantoi’ apabila Ilham mula memeriksa satu persatu barang-barang yang dibawanya ke asrama. 

Mahu atau tidak, Izhar terpaksa melupakan niatnya untuk membawa barang digemarinya itu.

“Ikhwan  ni  sibuk dengan nak tengok Angah aje,  dengan Along tidak rindu ke?”  Radzi ingin menguji  perasaan anak bongsunya itu terhadap abang sulungnya.

“Tentulah rindu jugak tapi dengan Along dah biasa lama tak jumpa. Dengan Angah inikan first time. Tentulah lain sikit,” jawab Ikhwan.

Benar juga kata Ikhwan itu. Tahun ini, sudah empat tahun Ilham tinggal di asrama. Jadi, mereka tiga beradik sudah biasa berpisah. Izhar pula baru saja tahun ini masuk asrama. 
Tentu tidak sama.

Malah, ketika arwah isterinya masih hidup, Izhar sudahpun tinggal di asrama. Namun, Ilham beruntung semasa hayat ibunya ada, macam-macam nasihat yang dititipkan. 

Radzi akui, isterinya juga banyak beri dorongan kepada Ilham agar kuat semangat dan belajar berdikari apabila tinggal di asrama.

“Ikhwan ini jangan asyik sibuk fikirkan nak jumpa Angah aje. Pelajaran di sekolah macam mana,” Radzi kemudian menanyakan perkembangan pelajaran anak bongsunya. 

“Semua okey ayah. Tapi ayah nak tahu...Hari ini lagi best sebab ada cikgu  baru hari ini. Cantik tau ayah. Ikhwan suka tengok mukanya – manis dan cakap pun  lembut.” Ikhwan berkongsi cerita dengan ayahnya mengenai cikgu baru yang dikenali hari itu

“Wah! Anak ayah ini. Sudah pandai cerita tentanga perempuan ya. Tapi ayah rasa cikgu baru itu memang tentu baik kalau tidak takkkan anak ayah ini puji habis-habisan,” usik Radzi.

Ikhwan tersengih mendengar usikan ayahnya. Dia sudahpun selesai makan. Nasi yang ditambah untuk kali kedua sudahpun licin dipinggannya. Selepas mencuci tangan dia menuang segelas air masak.

“Memanglah ayah. Tapikan ayah cikgu baru tu mengingatkan Ikhwan dengan arwah Mama. Ikhwan rindulah dengan Mama! Kalau ada Mama tentu Ikhwan tak sunyi macam ini walaupun Angah masuk asrama,” suara Ikhwan yang tadinya agak ceria bertukar bernada perlahan. 

Ketika meluahkan kata-kata itu terdengar ada getaran rasa sedih.

Radzi mengerti perasaan Ikhwan. Namun, dia pasrah dengan keadaan itu. Sebagai bapa, Radzi cuba memberikan terbaik agar Ikhwan tidak begitu terasa kehilangan orang yang disayanginya. 

Tetapi apakan daya, sudah tentu anaknya itu akan merinduinya. Apatah lagi, pemergian arwah isterinya, Sofea  akibat sakit buah pingggang  lebih dua tahun lalu ketika itu  sememangnya Ikhwan belum puas lagi mendapat kasih sayang seorang ibu.

Bukan anak-anak saja yang rindu. Radzi juga begitu merindui isterinya. Apakan daya Radzi, dia pula reda suratan takdir-Nya.  

Ketika anak masih perlukan belaian seorang ibu, Sofea pergi meninggalkan mereka untuk selama-lamanya. 

Sebagai bapa dan kini tempat anak-anak mencurah kasih sayang, Radzi perlu kuat dan memastikan ketiga-tiga anaknya dapat melalui kehidupan seperti biasa walaupun ibu mereka sudah tidak ada lagi.

“Dahlah tu. Kalau Ikhwan sayang Mama, setiap malam sebelum tidur jangan lupa sedekahkan Al-Fatihah dan doakan roh Mama berada di tempat orang yang beriman. 

Sebenarnya Ikhwan, ayah pun rindu juga arwah Mama. Tetapi nak buat macam mana, Allah lebih menyayangi Mama.” Radzi berkongsi perasaan dengan Ikhwan sambil tangannya mengusap-ngusap lembut ubun-ubun anak bongsunya itu.

No comments:

Post a Comment