Sunday, November 18, 2018

Bab 4 Cikgu baharu ubat rindu

Teks Nor Affizar Ibrahhim

BAB 4

Pagi itu Ikhwan sedikit ceria.  Janji ayahnya hendak  melawat Izhar di asrama hendak melawat Izhar di asrama minggu lagi satu membuatkan hatinya sedikit gembira.

“Wah! Ikhwan kau nampak gembira aje hari ni. Kenapa?”  Rakan baik Ikhwan, Khairy  yang sekelas kelas menyapa.

“Yalah…Khairy , Fiqa tengok cuaca terang sikitlah. Sudah  dua minggu  mendung, tiba-tiba cerahlah hari ini,”  Shafiqa pula mengusik Ikhwan.

“Mestilah…minggu depan aku akan jumpa Angah aku. Kau orang tahu tak, bosan duduk sorang-sorang di rumah. Dulu masa Angah aku tidak duduk asrama, macam-macam kami lakukan bersama.  Memang best.  

Tetapi sejak Angah aku masuk asrama, semua benda buat sorang-sorang. Memang tak ada mood lah!

Korang lainlah, macam Khairy ada dua  adik di rumah. Tentu sibuk melayan mereka. Kau pulak Fiqa, Mama kau sentiasa ada di rumah bolehlah kongsi banyak hal. Dah tu…boleh masak sedap-sedap untuk kau,”  ujar Ikhwan yang tidak senang dengan usikan kedua-dua kawannya.

“Okeylah  tu…lepas ini kami tak mahu tengok muka sepuluh sen kau tu. Kau tahu tak, sejak kau berubah kami pun tak seronok. Kami nak tegur pun takut!” kata Shafiqa lagi.

Khairy yang duduk di sebelah mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda setuju dengan kata-kata rakannya itu.

“Ah…ah, muka ceria macam ini kan seronok. Kami pun senang hati dan tak takut nak usik kau. Tapi kau ka nada Bibik sekarang. Ajaklah Bibik itu berbual,.”  Khairy menyampuk lagi

“Hissh..mana samalah Khairy. Bibik tu dahlah cakap Indonesia, sudah berusia pulak tu. Takkan Ikhwan hendak duduk bercerita atau bebual panjang dengan Ikhwan. Cerita apa mereka hendak kongsi sama?

Lagipun, Bibik tu kan baru satu minggu kerja tentulah banyak kerja rumah dia tidak faham lagi. Ini pulak nak melayan Ikhwan bercakap. Apalah kau ni, nasib baik kau tak suruh Ikhwan dengan Bibik main bola sepak sama-sama. 

Fikirlah dulu sebelum bagi cadangan yang tak bernas itu,” Shafiqa tidak senang dengan kata-kata Khairy tadi.

“Betul cakap Fiqa tu  Khairy. Kau ni, nak sakitkan hati aku ada saja. Kalau kau berada di tempat aku, barulah kau tahu bagaimana rasanya.” Ikhwan turut membantah.

“Okeylah…aku sekali lagi nak minta maaf.” 

Sedang mereka rancak berborak, loceng tanda masuk kelas tiba-tiba  berbungyi.

“Alamak! Loceng dah bunyi. Jomlah masuk kelas,” ajar Shafiqa.
Ikhwan,, Khairy dan Shafiqa bergegas bangun dan cepat-cepat menuju ke kelas mereka.


********************************************************************************************************

Semua murid sudah pun berada di dalam kelas. Mereka duduk di tempat masing-masing daan sementara menunggu guru Matematik masuk ada di antaranya berbual-bual sesama mereka dan ada juga mengambil peluang membaca buku.

10 minit kemudian, seorang wanita muda berpakaian baju kurung merah jambu bercorak bunga kecil terpacul di muka pintu bilik darjah.  

Semua mata murid di dalam kelas itu beralih kepada wanita berkenaan yang kini sudah pun berdiri di depan mereka.

Semua murid diam dan masing-masing terpingga-pingga.  Mereka memang  sama sekali tidak mengenali wanita muda berwajah lembut itu. Malah, itulah kali pertama mereka melihatnya.

Ada juga yang sudah mula berbisik-bisik antara satu sama lain. Mereka semua sememangnya tidak mengenali wanita muda dan cantik itu.

“Baiklah murid-murid, Selamat pagi semua! Nama saya, cikgu Norazah.  Mulai hari ini saya akan menggantikan cikgu Khoo yang sudah berpindah sekolah lain,” katanya sambil melemparkan senyuman.

Penerangan cikgu Norazah merungkai semua teka-teki.  Semua murid berada di dalam kelas itu cepat-cepat bangun lalu memberi hormat kepada cikgu Norazah.

Tetapi ada lagi di antara murid-murid di dalam  kelas itu masih terus  berbisik-bisik sesame sendiri.

Sebaik saja murid-murid di dalam kelas itu memberikan ucapan hormat, cikgu Norazah mengarahkan mereka duduk semula.

“Cikgu! Kenapa kami tidak diberitahu cikgu Khoo akan berpindah?” Tiba-tiba seorang murid mengangkat tangan,  kemudian berdiri dan terus bertanya.

“Ohhh! Itu cikgu tidak pasti pulak. Apa yang cikgu tahu, cikgu memang memohon berpindah ke sekolah ini. Sebelum ini, cikgu mengajar di Sabah,” jawab cikgu Norazah.

“Tak pelah…mungkin cikgu ada sebabnya sendiri yang mungkin dia tidak mahu kongsi dengan kamu semua.  Okey, kita  lupakan hal itu sebab hari ini cikgu sudah pun ada dan menggantikan cikgu Khoo.

“Oleh kerana ini hari pertama cikgu,  apa kata  sebelum  kita memulakan kelas kita cuba kenal antara satu sama lain dulu. 

Cikgu rasa lebih baik kita berkenalan dulu, kata orang tak kenal, maka tak cinta.  Jadi, cikgu nak seorang demi seorang kenalkan diri masing-masing. Boleh tak?”
“Boleh cikgu,!” Balas semua murid di dalam kelas itu.

Selepas itu bermula daripada barisan hinggalah belakang. Seorang demi seorang memperkenalkan diri.

Tutur kata cikgu Norazah yang lembut dan pandai mengambil hati ternyata disenangi  semua murid di dalam kelas itu termasuklah Ikhwan. Malah, sejak dari mula lagi dia cukup senang hati sekali melihat wajah cikgu Norazah.

Terpandangkan raut wajah guru muda itu membuatkan Ikhwan berasakan  seseorang  yang sudah lama dirindukan kembali menjelma di depannya.

Ya..wajah arwah ibunya. Sudah dua tahun lebih Mamanya pergi.  Pemergiannya memang amat dirindui Ikhwan dan sehingga kini belum ada lagi pengganti yang dapat mengubat kerinduan itu.

“Ya… yang duduk baris nombor lima itu, silalah perkenalkan diri. Sekarang ni giliran kamu,”
Sapaan cikgu Norazah membuatkan Ikhwan  terkejut dari lamunannya. 

Entah apa yang diingatkan sebentar tadi, sehingga tidak sedar gilirannya untuk memperkenalkan diri sudah tiba rupa-rupanya.

Ikhwan termalu-malu apabila ditegur oleh cikgu Norazah. Mukanya juga sudah kemerah-merahan. Sedikit perasaan malu membaluti dirinya ketika itu.

Khairy yang duduk di sebelah terkekeh-kekeh ketawa apabila melihat Ikhwan.
“Kenapa kau tidak cakap giliran aku dah sampai.” Ikhwan berasa sedikit panas hati apatah lagi apabila melihat rakan baiknya itu tersengih-sengih kepadanya.

“Kamu berangan ke tadi? Hmmm… macam jauh je berangan,”  Cikgu Norazah mengusik Ikhwan .

“Hah cepatlah! Perkenalkan diri. Cikgu nak tahu juga nama kamu.” Cikgu Norazah bercakap lembut menyuruh Ikhwan perkenalkan diri.

“Maaf cikgu, saya tidak sangka tadi giliran saya dah sampai. Hahh, nama saya Ikhwan bin Radzi, cikgu. Saya harap cikgu dapat beri tunjuk ajar kalau saya tidak faham atau tidak boleh buat kerja latihan yang diberi.”

Ikhwan akhirnya, dapat menyusun kata-kata untuk memperkenalkan diri tetapi masih terispu-sipu menahan malu. Apatah lagi, dia melihat ada rakan-rakan yang lain turut ketawakan dirinya seperti mana juga dengan  Khairy.

Dengan rakan-rakan yang lain, Ikhwan tidak marah sangat tetapi melihat Khairy, hatinya berasa sedikit geram.

Dalam hatinya berkata, kalau Khairy memberikan isyarat sudah tentu semua itu tidak berlaku. Ikhwan masih tidak puas hati dengan Khairy .

Tetapi apa nak buat dan cakap banyak pun tidak berguna kerana semua sudah berlaku.

Bagaimanapun, bagi Ikhwan kehadiran cikgu Norazah membuatkan perasaan gembiranya berputik.  

Paling penting, ia seolah-olah mengubat kerinduan kepada arwah Mamanya yang sudah pergi mengadap Pencipta-Nya.

******************************************************************************************************

“Hoi! Khairy , Ikwan tunggulah aku! Jalanlah perlahan-lahan sedikit!” Shafiqa menjerit memanggil dua rakan karibnya yang sudah jauh ke depan.

“Kau cepatlah sikit. Lecehlah budak perempuan ini. Lambat sangat,” Khairy membalas sambil menggesa Fiqa supaya berjalan lebih pantas.

Khairy dan Ikhwan akhirnya menghentikan  langkah dan menunggu Shafiqa supaya mereka boleh berjalan bersaing bertiga-tiga.

“Teruklah korang ni. Jalan cepat sangat. Tinggalkan aku kat belakang,”  Shafiqa dengan suara tercungap-cungap separuh merungut apabila tiba di tempat Khairy dan Ikhwan berhenti.

“Fiqa…aku ingat kau kena kuruskan berat badanlah. Bila dah kurus, jalan pun cepatlah sikit, tidaklah ketinggalan jauh sangat,” kata Khairy

“Amboi-amboi, sedapnya kau bercakap. Aku ni bukanlah gemuk sangat. Lebih kurang aje saiz badan kau dengan aku ni. 

Kalau Ikhwan tu cakap lainlah, dia tu memang kurus sikit daripada kita berdua. Sebenarnya, kau berdua tu yang jalan cepat sangat sebab itu aku tak terkejar tadi.” Shafiqa membela diri dan tidak puas hati dengan kata-kata Khairy tadi.

“Okeylah kita jalan perlahan-lahan supaya kau tak ketinggalan ke belakang.”  Ikhwan cuba meredakan perasaan marah Shafiqa.

Kini mereka sudah pun berjalan beriring. Hari itu mereka ada ko kurikulum dan terpaksa pulang lewat. Lazimnya, ibu Shafiqa yang menjemput mereka tetapi hari itu dia ada hal dan terpaksalah mereka balik menaiki bas awam.

“Hey, korang suka tak cikgu baru kita itu? Aku sukalah kat dia.  Lemah lembut dan cara dia mengajar pun mudah faham,” tiba-tiba Ikhwan bersuara.

“Maksud kau cikgu Norazah. Ha..ah aku pun suka dia. Cikgu, Khoo dulu pun best juga tapi muka dia garang sikit. Kadang-kadang , kecut juga terutama kalau tak tahu hendak selesaikan masalah Matematik.” Shafiqa membalas.

Khairy  tidak menjawab tetapi mengangguk-anggukkan kepala, bersetuju dengan kata-kata dua rakannya itu. Tiba-tiba dia tersenyum dan memandang muka Ikhwan. Lalu, mengusiknya.

“Wah…wah! Ikhwan hari ini kau ceria aje. Dari pagi tadi hinggalah petang ni. Mentang-mentanglah  nak pergi tengok abang kau minggu ini. Hari ini pulak dapat cikgu cantik, terus berangan dalam kelas. Entah apalah yang difikirkannya.” Khairy menyakatnya.

“Alah… kau dua orang pun apa kurangnya. Jangan mengata aku aje. Paku dulang, paku serpih aje.” Ikhwan cuba membela diri.

Seperti mana Khairy dan Shafiqa, Ikhwan juga tidak benci kepada cikgu Khoo. Cuma kadang-kadang apabila cikgu Khoo meninggikan suara sedikit mulalah berasa kecut.

Cikgu Khoo sebenarnya seorang yang tegas dan amat disiplin. Apabila mengajar, cikgu Khoo tidak suka melihat anak muridnya tidak memberikan tumpuan. 

Oleh sebab itulah jika ada dua tiga murid yang bercakap di dalam kelas ketika mengajar, Cikgu Khoo akan memarahi mereka.

Satu lagi mengenai cikgu Khoo, biasanya dia akan pastikan setiap anak murid faham apa yang diajar. Jika ada yang tidak faham, cikgu Khoo mahu mereka bertanya tidak kiralah sama ada soalan itu mudah atau sebaliknya. 

“Ikhwan..kau suka kat mana cikgu Norazah tu. Aku suka tengok cara dia berpakaian nampak cantik. Dah tu, tak lepas-lepas dari senyuman.” Khairy mengajukan soalan kepada Ikhwan.

“Ha..ah! Aku pun suka tengok cara cikgu Norazah berpakaian.  Sweet je. Kulit dia putih pulak tu, memang cantik.  Tak mekap tebal pun dah Nampak lawa. Suaranya lembut pulak.” Shafiqa pula menjawab.

“Entahlah…banyak yang aku suka kat cikgu Norazah tu sebab tulah  aku sampai berangan tadi. Aku tengok muka dia, macam rupa seseorang dan tiba-tiba ia membuatkan berasa rindu sekali.” Kata Ikhwan pula.

“Eh..eh! Kau ni Ikhwan tak kan kau dah jatuh cinta pada cikgu Norazah pulak. Jatuh cinta pandang pertama ke?” selamba saja Khairy bertanya.

“Eh kau ni Khairy ke situ pulak. Kita ni masih budak-budak lagi, janganlah nak mengarut macam tu pula.”

“Sudahlah tu, kau dua orang ni asyik bercerita pasal cikgu Norazah saja. Tengok tu, bas dah datang, tahanlah. Nanti terlepas, lagi lambat,” Shafiqa menggesa kedua-dua rakannya.

Mereka bertiga beriringan meneruskan langkah. Perhentian bas tempat mereka menunggu bas awam hanya lebih kurang 50 meter lagi.

No comments:

Post a Comment